Air Products Bakal Merealisasikan Loji Pemisahan Udara Berasaskan Tenaga Sejuk daripada Gas Asli Cecair (LNG) yang Pertama di Malaysia kepada Syarikat Usaha Sama yang Diterajui oleh PETRONAS Gas Berhad
Projek inovatif ini menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga dan pertumbuhan sektor perindustrian di Malaysia
KUALA LUMPUR, Malaysia, Oktober 8, 2026 /PRNewswire/ -- Air Products (NYSE: APD), peneraju global dalam gas perindustrian yang telah beroperasi di Malaysia selama lebih 50 tahun, hari ini mengumumkan bahawa syarikat telah memeterai perjanjian dengan PG Cold Energy 1 Sdn. Bhd. (PGCE1), sebuah usaha sama yang diterajui oleh PETRONAS Gas Berhad melalui PG Energia Sdn. Bhd. dan DIALOG Group Berhad melalui DIALOG Equity (Three) Sdn. Bhd., untuk membekalkan loji pemisahan udara berasaskan LNG (ASU) yang pertama dalam negara di Terminal Regas LNG Pengerang, Johor.
Projek ini memperkukuh komitmen jangka panjang Air Products terhadap Malaysia, memperluas keupayaan pengeluarannya di wilayah Selatan dan Tengah Semenanjung Malaysia, serta menandakan ASU berasaskan LNG kelima Air Products di Asia.
Majlis tandatangan perjanjian telah diadakan di Menara Berkembar PETRONAS bagi menandakan pencapaian penting ini. Majlis tersebut dihadiri barisan eksekutif kanan, termasuk Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Gas Berhad, Abdul Aziz Othman, Timbalan Pengerusi Eksekutif DIALOG, Chan Yew Kai dan Presiden Asia Air Products, Kurt Lefevere, sekali gus mencerminkan kepentingan strategik projek tersebut serta kekukuhan hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara PETRONAS Gas Berhad dan Air Products.
Di bawah perjanjian tersebut, Air Products akan mereka bentuk, membina dan mengendalikan ASU berasaskan LNG di Terminal Regas LNG Pengerang, Johor. Kemudahan ini akan menghasilkan lebih daripada 600 tan sehari untuk produk cecair oksigen, nitrogen dan argon, dan dijangka mula beroperasi pada awal tahun 2027.
Loji baharu ini akan membekalkan produk gas industri kepada pasaran komersial di wilayah Selatan dan Tengah Semenanjung Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan Air Products untuk menyokong hab perindustrian utama dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor elektrik dan elektronik, petrokimia, aeroangkasa serta pembuatan.
Dengan memanfaatkan tenaga sejuk yang dipulihkan daripada proses regasifikasi LNG bagi penyejukan udara pada suhu lampau rendah, loji ini direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan daripada proses pengeluaran. Keupayaan ini akan membantu pelanggan mengurangkan jejak karbon mereka melalui bekalan penyelesaian gas industri yang lebih cekap tenaga dan menghasilkan pelepasan yang lebih rendah.
"Hubungan kami dengan PETRONAS Gas Berhad telah terjalin selama lebih empat dekad, dan kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan kepada Air Products untuk menyokong usaha PETRONAS Gas Berhad serta Malaysia dalam memacu perindustrian berpelepasan lebih rendah," kata Ramani Velu, Presiden Asia Tenggara Air Products. "Pelaburan ini menegaskan komitmen jangka panjang kami terhadap Malaysia serta tumpuan kami untuk menyediakan penyelesaian yang selamat, andal dan cekap tenaga bagi menyokong pertumbuhan pelanggan kami. Pelaburan ini juga memperkukuh keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pelanggan di seluruh negara."
Air Products telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1974 dan mempunyai rangkaian operasi yang kukuh, merangkumi kemudahan pengeluaran berteknologi terkini serta depot yang terletak secara strategik di seluruh negara. Di Wilayah Utara, syarikat ini memenuhi keperluan industri utama, termasuk sektor elektrik dan elektronik, melalui unit pemisahan udara canggih di Kawasan Perindustrian Prai serta rangkaian saluran paip di Batu Kawan dan Taman Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Mengenai Air Products
Air Products (NYSE: APD) ialah peneraju global dalam industri gas perindustrian yang telah beroperasi selama lebih 85 tahun, dengan tumpuan kepada pasaran tenaga, alam sekitar dan pasaran baharu serta usaha menjana masa depan yang lebih bersih. Syarikat ini membekalkan gas perindustrian penting, peralatan berkaitan dan kepakaran aplikasi kepada pelanggan dalam pelbagai industri, termasuk penapisan, kimia, logam, elektronik, pembuatan, perubatan dan makanan. Sebagai pembekal hidrogen global yang terkemuka, Air Products mereka bentuk, membina dan mengendalikan beberapa projek hidrogen terbesar di dunia. Menerusi perniagaan peralatannya, syarikat ini juga menyediakan jentera turbo, sistem membran dan bekas kriogenik di seluruh dunia.
Air Products mencatatkan jualan fiskal 2025 sebanyak AS$12.0 bilion daripada operasi di kira-kira 50 negara. Untuk maklumat lanjut, layari airproducts.com atau ikuti Air Products di LinkedIn, X, Facebook atau Instagram.
Nota Peringatan Mengenai Kenyataan Berpandangan Ke Hadapan
Siaran ini mengandungi "kenyataan berpandangan ke hadapan" sebagaimana yang ditakrifkan di bawah peruntukan Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Persendirian 1995. Kenyataan berpandangan ke hadapan ini adalah berdasarkan jangkaan dan andaian pihak pengurusan pada tarikh siaran ini dan bukan merupakan jaminan prestasi masa hadapan. Walaupun kenyataan berpandangan ke hadapan dibuat dengan niat baik serta berdasarkan andaian, jangkaan dan unjuran yang dipercayai oleh pihak pengurusan sebagai munasabah berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa ini, prestasi sebenar dan keputusan kewangan mungkin berbeza dengan ketara daripada unjuran dan anggaran yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk faktor risiko yang diterangkan dalam Laporan Tahunan kami menerusi Borang 10-K bagi tahun fiskal berakhir 30 September 2025 serta faktor lain yang didedahkan dalam pemfailan kamikepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat. Kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang, kami menafikan sebarang kewajipan atau tanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan yangterkandung dalam siaran ini bagi mencerminkan sebarang perubahan dalam andaian, kepercayaan atau jangkaan, atau sebarang perubahan dalam peristiwa, keadaan atau situasi yang menjadi asas kepada kenyataan berpandangan ke hadapan tersebut.
SOURCE Air Products and Chemicals, Inc.
Share this article