Ampang Puteri Specialist Hospital Lancar Wad Khusus Pesakit Antarabangsa Pertama KPJ Healthcare
Kemudahan 33 katil ini memperkukuh perkhidmatan pelancongan kesihatan menerusi kemudahan penginapan khusus, bantuan pelbagai bahasa dan sokongan pesakit secara peribadi
KUALA LUMPUR, Malaysia, 16 November 2026 /PRNewswire/ -- Ampang Puteri Specialist Hospital (APSH), sebahagian daripada rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare atau Kumpulan), telah melancarkan International Jasmine Ward, wad khusus pertama KPJ Healthcare untuk pesakit antarabangsa. Kemudahan yang mempunyai 33 katil ini diperkenalkan bagi meningkatkan pengalaman penjagaan kesihatan pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di Malaysia.
International Jasmine Ward menawarkan tiga pilihan penginapan, iaitu bilik standard seorang, bilik deluxe eksekutif dan bilik dua katil. Bagi memastikan keperluan pesakit sepanjang tempoh penginapan mereka dipenuhi, penyelaras pesakit antarabangsa dan perkhidmatan concierge turut disediakan. Bantuan penterjemahan dalam bahasa Khmer, Indonesia dan Arab juga ditawarkan, selain pilihan menu yang disesuaikan serta saluran televisyen antarabangsa bagi memenuhi keperluan pesakit dari pelbagai negara. Urusan kemasukan dan discaj pesakit juga boleh dilakukan terus di wad berkenaan.
Prof. Dato' Dr Hanafiah Harunarashid, Pegawai yang Menjalankan Tugas (Officer-in-Charge) KPJ Healthcare Berhad berkata, "Seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan perubatan, penyedia perkhidmatan kesihatan perlu melihat keperluan pesakit antarabangsa secara lebih menyeluruh, melangkaui aspek rawatan klinikal semata-mata. Bagi KPJ Healthcare, ini bermakna memastikan setiap pesakit menerima rawatan pakar yang berkualiti, komunikasi yang jelas serta sokongan yang terselaras sepanjang tempoh mereka berada di hospital.
"International Jasmine Ward melengkapi keupayaan klinikal dan standard penjagaan yang terus kami perkukuh menerusi KPJ Health System. Di APSH, kami melengkapkan kepakaran klinikal tersebut dengan menyediakan persekitaran khusus yang memenuhi keperluan pesakit antarabangsa, selaras dengan aspirasi kami melalui Care for Life."
APSH turut menerima pengiktirafan dalam bidang pembedahan bariatrik, penjagaan jantung dan pembedahan jantung, oftalmologi serta ortopedik menerusi senarai World's Best Hospitals & Clinics for Medical Tourism 2027 yang diterbitkan oleh Newsweek dan Statista. Pengiktirafan ini, bersama akreditasi daripada Joint Commission International (JCI) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), mengukuhkan lagi kedudukan APSH dalam penyediaan rawatan kepakaran dan perkhidmatan kepada pesakit antarabangsa.
Sempena pelancaran ini, APSH turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Riau Kepri Syariah (BRK Syariah), Indonesia. Menerusi kerjasama ini, pelanggan bank yang layak, kakitangan serta ahli keluarga mereka berpeluang menikmati manfaat penjagaan kesihatan istimewa di APSH dan hospital serta pusat pakar KPJ lain yang mengambil bahagian dalam program ini.
Kerjasama tersebut merangkumi pelbagai perkhidmatan kesihatan terpilih, termasuk saringan kesihatan, penginapan dan makanan, rawatan pesakit dalam dan pesakit luar, serta saringan asas pergigian dan mata di fasiliti yang mengambil bahagian. Penerima manfaat yang layak turut berpeluang menikmati kemudahan naik taraf bilik secara percuma di APSH, tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan.
Selain manfaat penjagaan kesihatan, APSH dan BRK Syariah turut akan bekerjasama dalam penganjuran ceramah kesihatan, aktiviti penglibatan pelanggan serta inisiatif promosi bersama bagi meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kepada pelanggan bank yang layak.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh wakil Kedutaan Kemboja dan Indonesia, Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), ejen penjagaan kesihatan antarabangsa, rakan kerjasama rujukan pesakit serta pihak pengurusan KPJ Healthcare.
Mengenai Ampang Puteri Specialist Hospital
Ditubuhkan pada tahun 1995, Ampang Puteri Specialist Hospital (APSH) merupakan sebuah hospital tertiari pelbagai disiplin di bawah KPJ Healthcare Berhad, salah satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia. Dengan pengalaman selama tiga dekad dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, hospital ini komited untuk menawarkan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan berteraskan pesakit menerusi rangkaian kepakaran perubatan dan pembedahan yang luas. Perkhidmatan ini disokong oleh Pakar Perunding berpengalaman, profesional penjagaan kesihatan yang berkemahiran serta teknologi perubatan terkini.
Bidang tumpuan klinikal utama hospital ini merangkumi Onkologi, Ortopedik dan Kardiologi, dengan penekanan terhadap penyediaan rawatan khusus melalui pendekatan pelbagai disiplin serta peningkatan keupayaan perubatan secara berterusan. Selain memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat tempatan, APSH turut menyediakan perkhidmatan khusus untuk pesakit antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranannya dalam sektor pelancongan kesihatan Malaysia.
Berteraskan komitmen terhadap kecemerlangan klinikal, penjagaan penuh ihsan dan inovasi berterusan, Ampang Puteri Specialist Hospital sentiasa berusaha memberikan pengalaman penjagaan kesihatan yang diyakini serta hasil rawatan yang lebih baik kepada setiap pesakit.
SOURCE AMPANG PUTERI SPECIALIST HOSPITAL SDN. BHD.


Share this article