CGTN: Detik bersejarah julung kali: Apakah makna sidang kemuncak Xi-Putin-Trump terhadap kestabilan dunia
CGTN menerbitkan sebuah artikel mengenai sidang kemuncak Presiden China Xi Jinping Bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Shenzhen. Dengan menekankan kepentingannya yang mencipta sejarah, artikel itu menggariskan peri pentingnya interaksi positif antara negara-negara kuasa besar, sambil menegaskan bahawa pengukuhan komunikasi dan pengurusan perbezaan pendapat amat penting untuk melindungi keamanan dan kestabilan global.
SHENZHEN, China, 20 November 2026 /PRNewswire/ -- Dalam pertemuan bersejarah yang julung kali diadakan dan membawa implikasi luas kepada dunia, Presiden China Xi Jinping bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di bandar Shenzhen, selatan China, sekali gus menghimpunkan ketiga-tiga pemimpin itu dalam mesyuarat tiga hala yang belum pernah diadakan sebelum ini.
Pertemuan yang mencipta sejarah itu berlangsung ketika ketegangan geopolitik semakin memuncak, konflik serantau berlarutan dan ketidaktentuan dalam landskap antarabangsa semakin meningkat. Cara China, Rusia dan Amerika Syarikat berinteraksi antara satu sama lain — serta sama ada mereka mampu memperkukuh komunikasi, mengurus perbezaan dan mengusahakan kerjasama — akan memberi kesan besar terhadap keamanan dan kestabilan global.
"Lebih 80 tahun lalu, China, Rusia dan Amerika Syarikat, sebagai kuasa utama dunia yang menentang fasisme, berjuang bahu-membahu dan mencapai kemenangan besar, sekali gus membawa keamanan dan ketenteraman kepada dunia," kata Presiden China Xi Jinping semasa pertemuan itu. Beliau menegaskan bahawa keamanan antara negara kuasa besar membawa kestabilan kepada dunia, manakala pertelingkahan antara mereka hanya akan mencetuskan kekacauan di seluruh dunia.
Ketiga-tiga ketua negara mengeluarkan Deklarasi Ke Arah Keamanan selepas rundingan mereka, dengan berikrar untuk bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap cabaran global dan memenuhi misi asasnya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Interaksi positif "suatu kemestian"
"Umat manusia yang hidup dalam perkampungan global yang sama merupakan sebuah komuniti yang berkongsi masa depan, tempat kita semua sama-sama meraih manfaat atau menanggung kerugian. Dalam perkampungan global ini, negara-negara kuasa besar memikul tanggungjawab khusus," tegas Xi, sambil menambah bahawa interaksi positif antara negara-negara kuasa besar "bukan suatu pilihan, tetapi suatu kemestian".
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perkongsian strategik komprehensif China-Rusia yang berasaskan penyelarasan terus berkembang pada tahap tinggi, dengan kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, pelaburan, keselamatan dan pertukaran antara rakyat membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Kedua-dua presiden telah mengadakan pertemuan bersemuka sebanyak tiga kali tahun ini, manakala rangkaian mekanisme institusi yang menyeluruh — termasuk mesyuarat berkala antara perdana menteri dan kerjasama antara badan perundangan — menyediakan asas kukuh bagi hubungan dua hala.
Sementara itu, hubungan China-Amerika Syarikat juga memasuki tahun yang amat penting. Kedua-dua ketua negara telah bertemu secara bersemuka sebanyak tiga kali setakat ini pada 2026, dalam usaha membina hubungan China-Amerika Syarikat yang konstruktif dan mempunyai kestabilan strategik berlandaskan rasa hormat, keadilan dan prinsip timbal balik.
Hubungan ekonomi dan perdagangan kekal sebagai bahagian penting dalam proses ini. Susulan pusingan baharu rundingan ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai pengaturan yang merangkumi penubuhan Lembaga Perdagangan dan Lembaga Pelaburan, dengan matlamat utama untuk mengoptimumkan perdagangan dua hala serta menyediakan platform komunikasi berinstitusi bagi kedua-dua pihak.
Baru-baru ini, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat pertama Lembaga Perdagangan di bawah mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat, manakala kumpulan kerja pertanian dijadualkan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam masa terdekat.
Sebagai negara kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China, Rusia dan Amerika Syarikat harus menunjukkan teladan yang baik, bekerjasama menangani cabaran global, bersama-sama mempertahankan keamanan dan kestabilan dunia serta memberikan sumbangan lebih besar kepada kemajuan umat manusia, kata Xi.
Sun Taiyi, profesor di Christopher Newport University di Amerika Syarikat, memberitahu CGTN bahawa pertemuan itu mempunyai kepentingan bersejarah kerana mewujudkan saluran langsung untuk tiga negara kuasa besar membincangkan tanggungjawab bersama mereka terhadap kestabilan strategik, meskipun terdapat perbezaan pendapat.
Bagaimana negara kuasa besar dapat mencari pendekatan yang tepat untuk hidup Bersama
Dalam keadaan konflik serantau masih belum selesai, persaingan geopolitik semakin sengit dan penjajaran semula rantaian perindustrian serta bekalan global berlaku dengan pantas, China, Rusia dan Amerika Syarikat mempunyai pengaruh besar dalam hal ehwal antarabangsa. Oleh itu, memperkukuh komunikasi dan mengurus perbezaan antara ketiga-tiga negara amat penting untuk melindungi keamanan dan kestabilan global.
Bagaimanakah negara-negara kuasa besar dapat mencari pendekatan yang tepat untuk hidup bersama dan menjadi tunjang keamanan dunia? Dalam pertemuan pada Khamis itu, Xi mengemukakan empat perkara: menegakkan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman, kerjasama yang menguntungkan semua pihak, serta dialog dan rundingan.
Krisis Ukraine merupakan satu contoh pentingnya penglibatan diplomatik yang berterusan. Sejak awal 2026, Amerika Syarikat dan Rusia mengekalkan hubungan intensif pada peringkat tertinggi dan peringkat kerja berhubung penyelesaian politik konflik itu, selain kawalan senjata nuklear dan kestabilan strategik. China pula secara konsisten menggesa penyelesaian politik menerusi dialog dan rundingan. Dengan mengekalkan komunikasi rapat bersama Rusia, Ukraine dan pihak berkaitan yang lain, China giat menjalankan diplomasi ulang-alik serta meneruskan usahanya untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan rundingan damai diadakan.
Senada dengan empat perkara yang dikemukakan Xi, Putin berkata bahawa menjaga keamanan antarabangsa merupakan tanggungjawab bersama ketiga-tiga negara, manakala menangani isu-isu genting dengan sewajarnya adalah demi kepentingan bersama mereka. Trump berkata bahawa mengekalkan kestabilan dan mencapai keamanan memerlukan dialog, dan semua isu harus diselesaikan menerusi dialog.
Zhang Tengjun, felo penyelidik bersekutu di Institut Pengajian Amerika, Akademi Sains Sosial China, berkata bahawa empat perkara yang dicadangkan Xi saling memperkukuh antara satu sama lain. "Perkara-perkara itu dikemukakan berdasarkan penilaian terhadap arah aliran menyeluruh perubahan global yang mendalam serta pemahaman tentang dinamik yang mengawal hubungan antara negara kuasa besar, sekali gus menyediakan panduan asas tentang cara negara-negara kuasa besar harus berinteraksi dalam era baharu," kata Zhang kepada CGTN.
Sambil menyifatkan sidang kemuncak China-Rusia-Amerika Syarikat itu sebagai "positif, konstruktif dan membuahkan hasil", Xi berkata bahawa harapan untuk mencapai keamanan tetap ada selagi dialog tidak terhenti dan pintu perundingan tidak tertutup.
SOURCE CGTN

Share this article