Kerjasama ini menggabungkan keupayaan platform dengan CYiNGINE bagi membantu pelanggan mempercepat pelaksanaan dan memudahkan pengurusan rangkaian jangka panjang.
HYDERABAD, India, Nov. 12, 2026 /PRNewswire/ -- Cyient Limited, sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan sepanjang kitaran hayat bertaraf global, dan 3-GIS, penyedia terkemuka perisian pengurusan rangkaian telekomunikasi dan utiliti, mengumumkan kerjasama strategik yang membolehkan Cyient menawarkan penyelesaian 3-GIS bersama perkhidmatan kejuruteraan, pelaksanaan, migrasi dan pengurusan operasinya di seluruh Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) serta Asia Pasifik.
Ketika pengendali telekomunikasi mempercepat peluasan rangkaian gentian optik dan syarikat utiliti memodenkan infrastruktur kritikal, cabaran utama bukan lagi mengumpulkan data rangkaian, sebaliknya memastikan data tersebut tepat, saling terhubung dan boleh digunakan untuk tindakan susulan. Maklumat rangkaian sering disimpan dalam pelbagai sistem, sekali gus menjadikan proses perancangan, operasi, pematuhan dan penyampaian perkhidmatan lebih rumit. Secara tradisinya, pengendali perlu mendapatkan khidmat penyedia yang berbeza bagi platform perisian, perkhidmatan pelaksanaan dan cerapan operasi. Menerusi kerjasama ini, Cyient dan 3-GIS menggabungkan semua keupayaan tersebut dalam satu penawaran bersepadu.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad memberikan perkhidmatan kepada pelanggan telekomunikasi dan utiliti di seluruh dunia, Cyient telah membina kepakaran mendalam dalam bidang geospatial, kejuruteraan dan perkhidmatan digital. Syarikat ini telah mengurus dan memindahkan lebih 650 juta elemen data rangkaian menerusi program berskala besar, termasuk menyokong reka bentuk rangkaian gentian optik, pelaksanaan sistem maklumat geografi (GIS), pengurusan aset, operasi lapangan dan inisiatif pemodenan rangkaian. Pengalaman ini kini akan digabungkan dengan platform 3-GIS bagi membantu pelanggan mempercepat pelaksanaan, meningkatkan kualiti data dan memudahkan pengurusan rangkaian jangka panjang.
3-GIS menyediakan perisian berasaskan teknologi awan natif yang boleh dikonfigurasikan dan berfungsi sebagai sistem rekod utama bagi rangkaian infrastruktur kritikal. Pengendali telekomunikasi menggunakan platform ini untuk mengurus perancangan, reka bentuk, inventori, pembinaan dan operasi rangkaian gentian optik serta kabel tembaga, manakala syarikat utiliti elektrik dan gas memanfaatkannya untuk pengurusan rangkaian, pemeriksaan aset, operasi lapangan dan pengurusan penggunaan bersama infrastruktur. Melalui kerjasama ini, Cyient dan 3-GIS membolehkan pelanggan mendapatkan platform serta perkhidmatan yang diperlukan untuk melaksanakan dan mengendalikannya menerusi satu model kerjasama bersepadu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Cyient akan menyepadukan 3-GIS dengan CYiNGINE, platform cerapan kejuruteraannya yang menggabungkan kepakaran bidang, data yang ditadbir urus dan panduan aliran kerja berteraskan AI merentasi keseluruhan kitaran hayat kejuruteraan dan perkhidmatan. Penyepaduan ini akan membantu pelanggan memperoleh nilai yang lebih besar daripada data rangkaian, di samping meningkatkan kecekapan operasi dan proses membuat keputusan.
"Sama ada pengendali telekomunikasi yang mahu memperluas rangkaian gentian optik dengan tepat atau syarikat utiliti yang berusaha menyelaraskan rekod aset, pemeriksaan dan pemasangan peralatan pada tiang utiliti merentasi sistem yang tidak saling berhubung, cabarannya tetap sama: rekod rangkaian mestilah tepat. Jika tidak, usaha pertumbuhan hanya akan mengakibatkan kerja semula dan peningkatan risiko, bukannya menjana pendapatan serta meningkatkan kebolehpercayaan. Dengan menggabungkan platform 3-GIS bersama perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan operasi kami, kami menyediakan satu rakan kongsi yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan proses bagi pengendali telekomunikasi, elektrik dan gas, daripada migrasi data hingga pengurusan harian rekod rangkaian yang menjadi rujukan utama. Pendekatan ini menggantikan keperluan untuk menyelaraskan tiga penyedia berbeza serta menangani sendiri jurang antara perkhidmatan mereka," kata Arunav Roy, Naib Presiden Kanan dan Ketua Unit Pasaran, Connectivity, Utilities & Spatial Intelligence, Cyient.
"3-GIS telah menjadi komponen penting dalam cara pengendali telekomunikasi dan utiliti membangunkan serta mengendalikan rangkaian kritikal mereka di seluruh dunia. Seiring dengan perkembangan perniagaan kami, rangkaian rakan kongsi yang kukuh amat penting bagi memberikan pilihan kepada pelanggan di pelbagai pasaran untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang mereka percayai dalam melaksanakan, menggunakan dan menyokong produk 3-GIS. Cyient telah menjadi rakan kongsi penting kami selama bertahun-tahun dan kami amat teruja dengan langkah strategik baharu dalam kerjasama ini," kata Dustin Sutton, Pengurus Besar 3-GIS.
Maklumat tentang Cyient
Cyient ialah sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan sepanjang kitaran hayat bertaraf global yang menyokong industri kritikal, daripada reka bentuk hingga perkhidmatan selepas jualan, merangkumi produk, loji dan rangkaian. Dengan lebih 300 pelanggan dan 19,000 kakitangan di lebih 30 negara, kami menggabungkan kepakaran manusia, pengetahuan mendalam dalam bidang khusus dan AI untuk menyediakan penyelesaian kejuruteraan pintar pada setiap peringkat kitaran hayat merentasi sektor aeroangkasa dan rel, automotif dan mobiliti, ketersambungan, tenaga, penjagaan kesihatan, perlombongan, utiliti serta pelbagai sektor lain.
Untuk mengetahui cara kami memberikan hasil yang cemerlang tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip Nothing Less, layari www.cyient.com.
Kenyataan Berpandangan ke Hadapan
Pernyataan tertentu dalam siaran media ini yang tidak berdasarkan fakta sejarah mungkin merupakan kenyataan berpandangan ke hadapan sebagaimana yang ditakrifkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkenaan. Kenyataan berpandangan ke hadapan tersebut tertakluk pada risiko, ketidakpastian dan andaian, termasuk perubahan ketara dalam persekitaran ekonomi di India dan luar negara, undang-undang kawal selia dan percukaian, duti import, litigasi, hubungan perusahaan serta faktor lain di luar kawalan Syarikat. Keputusan sebenar mungkin berbeza secara ketara daripada apa yang dinyatakan atau dibayangkan dalam kenyataan tersebut.
Cyient tidak mempunyai kewajipan untuk mengemas kini atau menyemak semula kenyataan berpandangan ke hadapan ini secara terbuka, sama ada akibat maklumat baharu, peristiwa pada masa hadapan atau sebab lain, kecuali sebagaimana yang dikehendaki di bawah undang-undang yang berkenaan.
Maklumat tentang 3-GIS
Rangkaian kritikal dunia beroperasi menggunakan 3-GIS, sebuah syarikat perisian perusahaan yang membantu organisasi telekomunikasi, elektrik dan gas merancang, mereka bentuk serta mengurus rangkaian yang semakin kompleks. Penyelesaian awan natif kami yang boleh dikonfigurasikan sepenuhnya menjadikan data rangkaian sebagai sumber maklumat sahih yang boleh dipercayai dan dikongsi merentasi seluruh organisasi, daripada perancangan dan reka bentuk rangkaian gentian optik hingga operasi lapangan utiliti, inventori aset, penyelenggaraan dan pemodenan. Dibangunkan khusus untuk operasi telekomunikasi dan utiliti, 3-GIS memberikan keterlihatan dan keyakinan kepada pasukan untuk membuat keputusan yang lebih baik, mengurangkan kos serta mengautomasikan pengaktifan perkhidmatan. Dengan itu, pihak yang menyediakan ketersambungan dan bekalan tenaga kepada dunia dapat bekerja dengan lebih pantas, pintar dan pada skala yang lebih besar. Ketahui lebih lanjut di www.3-gis.com atau ikuti 3-GIS di LinkedIn.

Share this article