Education in Motion Buka Dulwich College Bangkok, Tetapkan Piawaian Baharu bagi Pendidikan Lestari di Thailand
Kampus Bangkok menyasarkan untuk menjadi sekolah antarabangsa pertama di Thailand yang memperoleh kedua-dua pensijilan LEED Gold dan WELL Gold
BANGKOK, 11 November 2026 /PRNewswire/ -- Kumpulan pendidikan global Education in Motion (EIM) meraikan pembukaan rasmi Dulwich College International School Bangkok, yang menggabungkan warisan pendidikan British selama lebih 400 tahun dengan kelestarian, inovasi dan budaya Thailand.
Terletak di Bangna, kampus seluas 40 rai (6.4 hektar) itu menyasarkan untuk menjadi sekolah antarabangsa pertama di Thailand yang memperoleh kedua-dua pensijilan LEED Gold bagi kelestarian alam sekitar dan pensijilan WELL Gold bagi kesihatan dan kesejahteraan.
Berteraskan falsafah Students Come First (Pelajar Diutamakan), sekolah ini menggabungkan kecemerlangan akademik dengan persekitaran pembelajaran yang direka untuk menyokong kesejahteraan pelajar.
Fraser White, Pengasas dan Pengerusi EIM, berkata: "Dengan benar-benar mengutamakan pelajar, Dulwich College Bangkok membuktikan komitmen kami terhadap kelestarian dalam pendidikan, aspirasi akademik serta visi kami untuk melahirkan warga global yang membawa perubahan positif kepada dunia."
Timbalan Menteri Pendidikan Akaranun Khankittinan menyempurnakan majlis tersebut, bersama Yang Amat Berhormat Anand Panyarachun, bekas Perdana Menteri dan alumni Dulwich, serta wakil Dulwich College di London, EIM dan rakan pembangunan Thailand, Sakol Sathapat.
Mencerminkan komitmen sekolah terhadap kelestarian, para kenamaan menyiram pokok shore eugenia tempatan sebagai ganti upacara memotong reben secara tradisional, yang melambangkan pertumbuhan, semangat kemasyarakatan dan tanggungjawab memelihara alam sekitar.
Kampus Lestari Berinspirasikan Warisan Thailand
Berinspirasikan perkampungan tradisional Ayutthaya, kampus ini menampilkan bangunan bata merah bertingkat rendah dengan bumbung bercirikan seni bina Thailand serta ruang pembelajaran dalaman dan luaran.
Ciri-ciri kelestariannya merangkumi panel solar di atas bumbung, sistem pengairan menggunakan air sisa yang dikitar semula, bahan berpelepasan rendah dan sistem penapisan udara termaju bagi menangani cabaran pencemaran PM2.5 bermusim di Bangkok. Taman tropika pula berfungsi sebagai bilik darjah luar, sekali gus mengintegrasikan pembelajaran alam sekitar ke dalam pendidikan harian.
Thomas Banyard, Ketua Kolej, berkata: "Pelajar kami sentiasa diutamakan setiap hari di sekolah, daripada udara yang dihirup oleh kanak-kanak hinggalah kepada mutu pengajaran. Kami mahu kanak-kanak berasa sihat dan selamat, mendapat cabaran dalam pembelajaran mereka serta memahami mengapa penjagaan alam sekitar itu penting."
Kecemerlangan Akademik Seiring Pembelajaran Berorientasikan Masa Depan
Dulwich College Bangkok menawarkan kurikulum British yang diperkaya, menggabungkan kemantapan akademik dengan STEAM, keusahawanan, bahasa, seni dan sukan. Pelajar turut mendapat manfaat daripada Kurikulum Pemikiran Kritis AI EIM yang direka untuk membangunkan penglibatan dengan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab dan berasaskan bukti.
Ketika ini, sekolah tersebut menerima pelajar daripada peringkat Tadika hingga Tahun 7 dan akan berkembang secara berperingkat hingga Tahun 13, dengan A Levels dan Diploma International Baccalaureate dirancang sebagai laluan pendidikan peringkat senior.
Sekolah ini menyertai rangkaian Dulwich College International, yang mencatatkan purata skor 37.34 dalam kalangan graduan IB tahun 2026, jauh mengatasi purata global 30.88.
Latar Belakang Education in Motion
Education in Motion ialah kumpulan pendidikan antarabangsa yang merangkumi 15 sekolah dan lebih 11,500 pelajar di seluruh Asia dan Eropah. Portfolio kumpulan ini termasuk Dulwich College International, Dehong, Sherfield School, Hochalpines Institut Ftan dan Green School Bali.
Untuk maklumat lanjut, layari www.eimglobal.com atau bangkok.dulwich.org.
SOURCE Education in Motion


Share this article