Envision Energy Memperkukuh Kerjasama dengan Tai Tam Group dari Vietnam Menerusi Projek Angin 45 MW dan Perkhidmatan 15 Tahun bagi Memanfaatkan Potensi Kawasan Berkelajuan Angin Rendah
HANOI, Vietnam, 18 November 2026 /PRNewswire/ -- Envision Energy, peneraju global dalam teknologi hijau, telah memperkukuh kerjasamanya dengan Tai Tam Group dari Vietnam menerusi projek tenaga angin Phuoc Dan baharu berkapasiti 45 MW. Susulan kerjasama yang berjaya selama lima tahun, kedua-dua syarikat turut menandatangani perjanjian untuk melanjutkan Perjanjian Perkhidmatan Jangka Panjang (LTSA) sedia ada selama 15 tahun, merangkumi aset tenaga angin yang sedang beroperasi dengan jumlah kapasiti 100 MW.
Terletak di Wilayah Khanh Hoa, projek Phuoc Dan berkapasiti 45 MW akan menggunakan turbin EN-182/5.X keluaran Envision daripada platform Model X. Dengan purata kelajuan angin kira-kira 6.5 m/s, tapak ini mempunyai keadaan angin sederhana hingga rendah. Envision telah menyesuaikan konfigurasi turbin mengikut keadaan tapak dengan mengoptimumkan diameter rotor dan kuasa terkadar bagi menangkap lebih banyak tenaga angin serta meningkatkan kecekapan penjanaan elektrik. Penyelesaian ini direka untuk meningkatkan daya maju ekonomi projek dan memanfaatkan potensi sumber angin berkelajuan sederhana dan rendah di Vietnam.
Perjanjian perkhidmatan yang dilanjutkan itu meliputi ladang angin Hoang Hai berkapasiti 50 MW dan Tai Tam berkapasiti 50 MW di Wilayah Quang Tri, yang kedua-duanya beroperasi sejak 2021. Perjanjian tersebut akan menyediakan sokongan perkhidmatan berterusan untuk mengekalkan operasi yang boleh dipercayai serta melindungi prestasi aset sepanjang hayat operasinya.
Edward Hou, Naib Presiden Kanan dan Presiden Rantau Asia Pasifik di Envision Energy, berkata: "Peralihan tenaga bukan sekadar menambah kapasiti tenaga boleh baharu; sebaliknya, ia melibatkan pembinaan masa depan tenaga yang lebih mampan melalui inovasi dan kerjasama jangka panjang. Ketika Vietnam menyasarkan kapasiti gabungan tenaga angin daratan dan berhampiran pantai sebanyak 26–38 GW menjelang 2030 di bawah Pelan Pembangunan Tenaga VIII yang disemak semula, peluasan kerjasama kami dengan Tai Tam mencerminkan keyakinan terhadap teknologi tenaga angin dan keupayaan perkhidmatan sepanjang kitaran hayat Envision, serta komitmen kami untuk menyokong aspirasi tersebut. Dengan menggabungkan inovasi teknologi dan kepakaran tempatan yang mendalam, kami berhasrat untuk mengubah sumber angin Vietnam yang melimpah menjadi nilai berpanjangan dan menyumbang kepada perkembangan landskap tenaga di rantau ini."
Encik Do Hoang Khai, Ketua Pegawai Eksekutif Tai Tam Group, berkata: "Sebagai salah sebuah pemaju tenaga boleh baharu terkemuka di Vietnam, dengan portfolio tenaga angin berkapasiti 1.5 GW yang merangkumi kapasiti baharu 1.4 GW untuk disiapkan menjelang 2035, Tai Tam Group komited untuk menggunakan teknologi termaju berprestasi tinggi yang memastikan tahap ketersediaan aset optimum dan pulangan mampan sepanjang keseluruhan kitaran hayat projek. Berdasarkan prestasi terbukti ladang angin kami yang sedang beroperasi di Quang Tri, dan kini dengan peluasan kepada projek Phuoc Dan di Khanh Hoa, kami yakin dan menjangkakan Envision akan terus menunjukkan kecemerlangan teknologi serta keupayaan perkhidmatan jangka panjang bertaraf dunia. Kerjasama yang diperluas antara Tai Tam dengan Envision ini mengukuhkan komitmen bersama kami untuk mempercepat peralihan tenaga hijau Vietnam dan memperkukuh keselamatan tenaga negara."
Sebagai pengusaha utama di Vietnam, Envision telah membina kedudukan yang kukuh dalam pasaran tenaga angin negara itu. Antara 2019 hingga 2022, syarikat membekalkan turbin angin daratan dengan jumlah kapasiti melebihi 1.2 GW di Vietnam, sekali gus mencapai kedudukan utama dalam pasaran. Envision juga telah mewujudkan rangkaian penghantaran dan perkhidmatan setempat, disokong oleh pasukan khusus serta hab peringkat kebangsaan dan serantau bagi komponen utama dan alat ganti. Keupayaan ini menyokong pelaksanaan projek yang cekap serta operasi dan penyelenggaraan jangka panjang yang boleh dipercayai, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap prestasi aset dan pulangan pelaburan.
SOURCE Envision Energy


Share this article