FUJIFILM Business Innovation Singapore Diiktiraf atas Amalan Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa
Syarikat memperoleh semula lebih 500,000 kg produk terpakai setiap tahun daripada pasaran Singapura dalam tempoh dua tahun lalu
SINGAPURA, 21 September 2026 /PRNewswire/ -- FUJIFILM Business Innovation Singapore telah menerima Anugerah Ekonomi Kitaran – Singapura dan Anugerah Pengurusan Sisa – Singapura pada ESGBusiness Awards 2026. Anugerah tersebut mengiktiraf organisasi di seluruh Asia atas komitmen dan pencapaian mereka dalam amalan alam sekitar, social dan tadbir urus (ESG), termasuk.usaha syarikat dalam pengambilan semula produk, penggunaan semula komponen, pembuatan semula dan kitar semula bahan.
Usaha ini berteraskan pendekatan bersepadu yang merangkumi keseluruhan kitaran hayat produk, daripada mereka bentuk peranti agar lebih mudah dibaiki dan dinyahpasang hinggalah mengumpul peralatan terpakai serta mendapatkan semula komponen dan bahan yang masih boleh digunakan. Produk terpilih turut melalui proses pembuatan semula di Jepun bagi memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan sebelum dikembalikan ke pasaran. Secara keseluruhan, inisiatif ini bertujuan untuk memastikan produk dan bahan dapat digunakan untuk tempoh lebih lama serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar untuk dikitar semula atau dilupuskan. Pendekatan pengurusan kitaran hayat produk ini turut dilaksanakan di seluruh pasaran Asia-Pasifik yang mempunyai operasi langsung FUJIFILM Business Innovation.
Memberi Kehidupan Kedua kepada Peranti dan Bahan
Pelaksanaan pendekatan kitaran hayat ini bermula pada peringkat reka bentuk. Peranti berbilang fungsi Fujifilm menampilkan reka bentuk kompak dan ringan bagi mengurangkan penggunaan bahan serta keperluan pengangkutan di sepanjang rantaian nilai. Peranti tersebut juga direka agar mudah dinyahpasang bagi memudahkan proses pembaikan, pemerolehan semula komponen dan kitar semula bahan.
Pada akhir tempoh penggunaan komersial, produk yang dikumpul dinilai untuk menentukan kesesuaiannya bagi penggunaan semula sebelum dikitar semula. Sepanjang dua tahun lalu, FUJIFILM Business Innovation Singapore memperoleh semula secara konsisten lebih 500,000 kg produk terpakai setiap tahun daripada pasaran Singapura. Peranti yang tidak sesuai untuk dibaik pulih akan dinyahpasang supaya komponen yang masih boleh digunakan dapat diperoleh semula, dibaiki dan digunakan semula apabila sesuai. Antara 2024 dan 2025, kira-kira 110,000 kg komponen dikumpul untuk digunakan semula, sekali gus memanjangkan penggunaan sumber yang diperoleh semula dan mengurangkan keperluan terhadap bahan yang baharu diperoleh.
Peralatan selebihnya dan kartrij toner diproses oleh pengitar semula e-sisa tempatan berlesen. Menerusi rakan kitar semulanya, lebih 90 peratus bahan berdasarkan berat diasingkan untuk dikitar semula. Usaha ini dilaksanakan berlandaskan program pengambilan semula yang telah lama dijalankan oleh syarikat, yang telah diperkenalkan sebelum tanggungjawab pengeluar diperluas bagi sisa elektronik berkuat kuasa di bawah Akta Kemampanan Sumber 2019.
Memajukan Amalan Kitaran menerusi Pembuatan Semula
Selain pemerolehan semula komponen dan kitar semula, pembuatan semula menyediakan satu lagi laluan untuk memanjangkan hayat produk. Peranti berbilang fungsi terpakai terpilih yang dikumpul di seluruh rantau Asia-Pasifik menjalani proses pembuatan semula di kilang Fujifilm di Jepun. Setiap unit yang dibuat semula menjalani proses jaminan kualiti yang setara dengan proses yang digunakan bagi produk yang baharu dihasilkan sebelum dikembalikan ke pasaran. Penilaian kitaran hayat bagi model berkaitan menunjukkan pelepasan CO2 yang lebih rendah berbanding peranti setanding yang baru dihasilkan. Model yang berkenaan turut diperakui di bawah Skim Pelabelan Hijau Singapura.
Menyokong Komitmen Alam Sekitar Pelanggan
Seiring dengan inisiatif kitaran hayat produk ini, penawaran Managed Print Services (Perkhidmatan Cetakan Terurus) Fujifilm membantu pelanggan memahami dengan lebih baik penggunaan pencetakan di tempat kerja mereka. Pemahaman ini dapat menyokong penggunaan kertas, toner dan tenaga yang lebih cekap, sekali gus membantu organisasi mengenal pasti peluang untuk mengurangkan penggunaan sumber dan sisa. Pelaksanaan inisiatif ini disokong oleh sistem pengurusan alam sekitar yang diperakui serta Sijil Komitmen Alam Sekitar daripada Majlis Alam Sekitar Singapura.
Tee Hsien Wee, Ketua Pegawai Eksekutif FUJIFILM Business Innovation Singapore, berkata: "Bagi perniagaan tempatan, ekonomi kitaran menjadi pertimbangan yang semakin penting dalam pengurusan sumber dan teknologi. Anugerah ini mengiktiraf langkah yang telah kami ambil untuk menerapkan prinsip kitaran dalam seluruh operasi kami. Kami akan terus mengkaji semula dan memperkukuh amalan ini, sambil bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsi untuk menyokong penggunaan sumber yang lebih bertanggungjawab di Singapura."
– Tamat –
Latar Belakang FUJIFILM Business Innovation Singapore
Sebagai perintis dalam penyelesaian dokumen selama lebih 60 tahun, FUJIFILM Business Innovation Singapore mempunyai pemahaman mendalam tentang cara perniagaan beroperasi. Misinya adalah untuk memperkasakan organisasi agar bekerja dengan cekap dan berkesan dalam era digital. Sebagai penyedia sehenti, syarikat menawarkan rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan transformasi digital yang komprehensif, bersama-sama pencetak berbilang fungsi dan pencetak pengeluaran, serta bekerjasama dengan pelanggan untuk mengurus data, mengautomasikan aliran kerja, memanfaatkan kecerdasan data dan membina pengalaman pelanggan yang luar biasa. Tujuan Kumpulan, " Giving our world more smiles," menegaskan komitmennya untuk menghimpunkan pelbagai idea, keupayaan unik dan individu luar biasa bagi mewujudkan impak positif kepada masyarakat. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.fujifilm.com/fbsg/en.
SOURCE FUJIFILM Business Innovation Singapore
Share this article