Hampir 95% video TikTok mengenai penjagaan kulit dan 'kulit kaca' Korea yang tular mengandungi dakwaan mengelirukan, menurut kajian terkini
VIENNA, 30 September 2026 /PRNewswire/ -- Hampir 95% video Tik Tok mengenai penjagaan kulit dan 'kulit kaca' yang tular mengandungi sekurang-kurangnya satu dakwaan yang berpotensi mengelirukan, sementara maklumat keselamatan asas sebahagian besarnya tiada, menurut penyelidikan baharu yang dibentangkan pada hari ini di Kongres Akademi Dermatologi dan Venereologi Eropah (EADV) 2026.
Penjagaan kulit Korea dan usaha mendapatkan 'kulit kaca' – istilah popular untuk kulit yang bersih, licin dan terhidrat secara mendalam – telah menjadi fenomena media sosial global, terutamanya di TikTok, apabila rutin penjagaan ini boleh menjangkau jutaan pengguna. Walau bagaimanapun, ketepatan dermatologi dan keselamatan kandungan ini masih belum dinilai secara meluas.
Dalam satu daripada kajian pertama seumpamanya, penyelidik menganalisis video yang berkaitan dengan rutin penjagaan kulit dan 'kulit kaca' Korea yang popular pada bulan Mei 2026. Menggunakan akaun neutral tanpa sejarah keterlibatan terdahulu untuk meminimumkan kecenderungan algoritma, para penyelidik membuat saringan video paling popular merentasi lima istilah carian berkaitan penjagaan kulit Korea. Selepas melakukan pengasingan, 38 video telah dinilai untuk dakwaan dermatologi, maklumat keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan menggunakan Skala Kualiti Global dan DISCERN yang diubah suai.
Hampir 95% daripada video tersebut mengandungi sekurang-kurangnya satu dakwaan yang mengelirukan, manakala 84% gagal mengambil kira jenis kulit yang berbeza, 45% mempromosikan kombinasi bahan aktif secara berlebihan tanpa panduan keselamatan yang sesuai dan 32% menjanjikan hasil segera.
"Perkara yang paling mengejutkan kami ialah betapa konsistennya ketiadaan maklumat keselamatan asas dalam rutin tersebut," kata pengarang utama Dr Maria Lúcia Paysano. "Hanya satu daripada 38 video, ada menyebut mengenai risiko kerengsaan, dua video lagi menyentuh tentang perlindungan matahari, tiada satu pun video yang menyebut tentang risiko dermatitis sentuh dan tiada yang mengesyorkan untuk merujuk pakar dermatologi."
Semua video diklasifikasikan sebagai tidak boleh dipercayai atau kurang boleh dipercayai, manakala tiada satu pun video yang memetik sumber atau rujukan luar. Hampir 82% video dicipta oleh pempengaruh bukan pakar perubatan, 11% oleh jenama kecantikan dan 8% oleh pencipta kandungan kecantikan lain; tiada satu pun dihasilkan oleh pakar dermatologi.
"Dapatan kami menunjukkan terdapat jurang yang jelas antara populariti kandungan ini dan kualiti maklumat yang disampaikan," kata Dr Paysano. "Mengikuti rutin ini tanpa bimbingan individu boleh menyumbang kepada kerengsaan, pengelupasan berlebihan, kemunculan jerawat, atau gangguan pada lapisan pelindung kulit, terutamanya apabila pelbagai bahan aktif digabungkan."
Para penyelidik menekankan bahawa penjagaan kulit Korea itu sendiri bukan masalahnya. Sebaliknya, perkara yang membimbangkan ialah prinsip penjagaan kulit seperti pembersihan lembut, penghidratan dan penjagaan lapisan pelindung kulit boleh diubah di media sosial menjadi rutin tular yang dianggap sesuai untuk semua orang, tanpa maklumat keselamatan yang sewajarnya.
"Pengguna perlu berwaspada dengan kandungan yang menjanjikan hasil segera atau sejagat," tambah Dr Paysano.
Share this article