Greenoaks dan Sequoia Capital bersama-sama menerajui pusingan yang menerima langganan melebihi jumlah yang ditawarkan, sementara Isomorphic Labs terus memajukan model simulasi asasnya, memajukan dan memperluaskan saluran pembangunan calon ubatnya secara dalaman dan bersama rakan kongsi, serta membina infrastruktur biokejuruteraan globalnya berasaskan AI.
LONDON, 18 November 2026 /PRNewswire/ -- Isomorphic Labs, sebuah syarikat AI yang memberi tumpuan kepada mereka bentuk dan membangunkan ubat-ubatan baharu, hari ini mengumumkan pusingan pembiayaan Siri C bernilai $5 Bilion Pusingan ini diterajui bersama oleh Greenoaks dan Sequoia Capital, bersama Andreessen Horowitz (a16z) dan beberapa pelabur baharu lain, dengan pelaburan besar yang berterusan daripada Alphabet. Pusingan ini juga termasuk penyertaan daripada semua pelabur sedia ada: Thrive Capital, MGX, GV, CapitalG, Temasek dan UK Sovereign AI Fund.
Isomorphic sedang meningkatkan skala enjin reka bentuk ubat miliknya (IsoDDE) dan portfolio calon terapeutik yang direka bentuk dengan AI untuk menghasilkan ubat generasi seterusnya. IsoDDE menyatukan rangkaian model AI simulasi asas yang secara semula jadi berfungsi merentasi pelbagai bidang terapeutik dan modaliti ubat. IsoDDE meneroka ruang kimia yang luas bagi membolehkan pasukan bertaraf dunia Isomorphic mereka bentuk, memperhalusi dan menghasilkan molekul yang direkayasa dengan amat teliti serta mempunyai sifat seakan ubat yang optimum.
Keluasan skop dan ketepatan model simulasi dalam IsoDDE membolehkan ramalan menghampiri tahap ketepatan eksperimen serta menawarkan pelbagai keupayaan untuk memajukan ubat inovatif. Apabila digabungkan dengan ejen proprietari berkeupayaan tinggi yang menelusuri dan membuat penaakulan tentang sistem biologi yang amat kompleks, model-model ini secara langsung dan berulang kali menghasilkan kemajuan merentasi portfolio calon terapeutik syarikat yang merangkumi pelbagai modaliti, menangani beberapa masalah paling mencabar dalam industri. Momentum ini membuahkan hasil praklinikal yang positif, baik bagi program dalaman dalam bidang onkologi dan imunologi mahupun bagi program bersama rakan kongsi, membuka jalan untuk memasuki peringkat klinikal.
Modal baharu ini mempercepatkan penemuan saintifik dan kemajuan AI proprietari yang dibuat oleh Isomorphic. Syarikat akan terus mematangkan IsoDDE serta berkembang lebih mendalam ke dalam biologi baharu dengan model yang sangat canggih. Untuk menghasilkan kelas terapeutik baharu yang transformatif, Isomorphic sedang membentuk ekosistem rakan kongsi bagi memperdalamkan pemahaman tentang mekanisme biologi yang terlibat dalam penyakit. Selari dengan itu, syarikat sedang membina infrastruktur global yang diperlukan untuk menggerakkan masa depan kejuruteraan bio berasaskan AI. Dana yang diperoleh juga akan menyokong usaha berterusan syarikat untuk membina infrastruktur penyelidikan translasi dan pembangunan klinikal yang mengutamakan AI dan boleh ditingkatkan, ketika syarikat memajukan calon ubatnya ke peringkat ujian klinikal.
"Apabila kami mengasaskan Isomorphic, keyakinan kami adalah bahawa biologi dapat difahami dan dimodelkan pada tahap molekul yang paling asas dan dipercepatkan secara radikal melalui AI," kata Sir Demis Hassabis, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Isomorphic Labs. "Enjin reka bentuk ubat kami menjana molekul dengan ketepatan dan kelajuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pusingan ini membolehkan kami mempercepatkan kemajuan kami: membina model biologi asas, memperdalamkan pemahaman penyakit sistemik kami, dan memacu program terapeutik pertama kami ke arah ujian klinikal untuk memberikan kesan nyata kepada pesakit."
"Setiap minggu kami membuat kemajuan saintifik berulang yang didayakan oleh model kami," kata Max Jaderberg, Presiden Isomorphic Labs. "Semua ini secara langsung menghasilkan profil molekul yang lebih baik, dengan potensi untuk menghasilkan ubat baharu dan membantu menyelesaikan beberapa masalah paling sukar dalam penemuan ubat. Pasukan antara disiplin kami menghimpunkan penyelidik pembelajaran mesin terkemuka dunia dan pakar penemuan ubat bertaraf tinggi. Secara bersama, mereka kerap menyelesaikan masalah biologi kompleks yang telah merencatkan kemajuan penyelidikan tradisional selama berdekad-dekad. Kami memanfaatkan penemuan kami secara langsung untuk menghasilkan ubat yang berpotensi mengubah kehidupan, berasaskan infrastruktur yang sedang kami bina untuk masa depan biokejuruteraan dengan sokongan pelabur ini."
"Menemui dan membangunkan ubat-ubatan baharu merupakan cabaran pengoptimuman dalam skala yang hampir tidak terbatas," kata Neil Mehta, Pengasas dan Rakan Kongsi Urusan Greenoaks. "Isomorphic sedang mengubah proses tersebut dengan membina sistem pembelajaran mendalam yang mampu meramalkan tingkah laku biologi yang kompleks dengan ketepatan yang luar biasa dan memetakan laluan ke arah ubat baharu secara sistematik. Kami percaya bahawa Demis, Max dan pasukan Isomorphic sedang membina masa depan penemuan ubat berasaskan AI, dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan mereka dalam misi penting ini."
"Isomorphic Labs sedang membina teknologi asas untuk masa depan perubatan," kata Konstantine Buhler, Rakan Kongsi di Sequoia Capital. "Melihat pasukan Isomorphic memanfaatkan AI termaju untuk menghasilkan portfolio calon ubat yang semakin berkembang amat menginspirasikan. Menggunakan AI untuk meningkatkan kesihatan manusia adalah salah satu cabaran yang paling penting dalam generasi kita. Kami berbangga dapat bersama-sama menerajui pusingan ini dan membantu memajukan penemuan saintifik dalam bidang perubatan."
MAKLUMAT TENTANG ISOMORPHIC LABS
Isomorphic Labs diasaskan pada tahun 2021 untuk mentransformasikan penemuan ubat dengan memanfaatkan kuasa kecerdasan buatan, membuka era baharu kejayaan besar dalam bidang bioperubatan. Isomorphic Labs diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sir Demis Hassabis dan Presiden Max Jaderberg. Isomorphic Labs telah membina enjin reka bentuk ubat berasaskan AI yang terkemuka di dunia, yang terdiri daripada model AI asas yang mampu berfungsi merentasi pelbagai bidang terapeutik dan modaliti ubat. Syarikat itu terus berinovasi dalam seni bina model dan membangunkan keupayaan tercanggih untuk memajukan reka bentuk ubat. Isomorphic Labs beribu pejabat di London dan mempunyai pejabat di Cambridge, Massachusetts dan Lausanne, Switzerland. Isomorphic Labs memajukan portfolio reka bentuk ubat yang luas dan progresif melalui program rakan kongsi dan program dalaman milik penuh. Untuk maklumat lanjut, pergi ke www.isomorphiclabs.com dan ikuti kami di LinkedIn dan X.

Share this article