LEBIH 2300 PENGUNJUNG SERBU STUDY IN MALAYSIA EDUCATION FAIR JAPAN AUTUMN TOUR 2026
Sambutan luar jangka di Fukuoka, Osaka dan Tokyo, bukti peningkatan minat pelajar Jepun terhadap pendidikan tinggi Malaysia
TOKYO, 14 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Education Malaysia Global Services (EMGS) telah melabuhkan tirai pameran Study in Malaysia Education Fair Japan Autumn 2026 dengan mencatatkan lebih 2,300 pengunjung keseluruhan di Fukuoka, Osaka dan Tokyo dalam tempoh tiga hari berturut-turut. Jelajah tersebut bermula di Hakata International Exhibition Hall & Conference Centre, Fukuoka pada 10 Oktober, diikuti di Otemon Gakuin Otemae High School (Temmabashi), Osaka pada 11 Oktober, sebelum berakhir di AP Tokyo Yaesu pada 12 Oktober.
Pameran tersebut memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa di Jepun untuk berinteraksi secara terus dengan 16 institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Monash University Malaysia, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), University of Nottingham Malaysia, INTI International University & Colleges, Curtin University Malaysia, Le Cordon Bleu Malaysia, English Language Company, Taylor's University, HELP University, Sunway University serta SEGi University & Colleges.
Pengunjung turut berpeluang meneroka program pengajian, mendapatkan maklumat mengenai laluan kemasukan serta membuat permohonan di lokasi. Wakil EMGS turut hadir bagi memberikan khidmat nasihat berhubung visa pelajar dan proses permohonan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.
Sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat pelajar Jepun yang semakin meningkat untuk melanjutkan pengajian di Malaysia. Jepun kini tersenarai antara 10 negara teratas dengan jumlah permohonan tertinggi, dan seramai 1,700 pelajar Jepun sedang mengikuti pengajian di IPT Malaysia ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin berkata jumlah kehadiran itu menunjukkan perubahan ketara dalam cara pelajar Jepun melihat pendidikan antarabangsa. "Kehadiran lebih 2,300 pelajar dan ibu bapa sepanjang pameran ini membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi pilihan alternatif bagi keluarga di Jepun, sebaliknya pilihan yang dibuat dengan penuh keyakinan. Mereka mencari penarafan berkualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, persekitaran berbahasa Inggeris serta nilai yang sebenar, dan Malaysia mampu menawarkan kesemuanya," katanya.
"Jepun merupakan pasaran utama kami, dan momentum yang dibina di Fukuoka, Osaka dan Tokyo membuktikan kekuatan kerjasama kami di lapangan. Kami akan terus memperkukuh penglibatan di Jepun dan memastikan perjalanan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia berjalan selancar mungkin bagi setiap pelajar," katanya lagi.
Kehadiran memberangsangkan di Tokyo, yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pengunjung, menzahirkan imej Malaysia sebagai hab utama pendidikan tinggi, sementara di Fukuoka dan Osaka pula menunjukkan minat yang semakin meningkat di luar pusat metropolitan.
Jelajah Japan Autumn Tour ini merupakan sebahagian daripada aktiviti EMGS yang bagi memperkukuh jenama Study in Malaysia serta menarik pelajar antarabangsa seluruh dunia melanjutkan pengajian ke IPT di negara ini.
DIKELUARKAN OLEH EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS)
Mengenai Education Malaysia Global Services (EMGS)
Education Malaysia Global Services (EMGS) ialah agensi rasmi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. EMGS mempromosikan Malaysia sebagai hab bakat dan ilmu serta destinasi pendidikan pilihan bagi pelajar antarabangsa. EMGS juga memudah cara kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, termasuk pemprosesan visa pelajar.
Mengenai International Student Arrival Centre (ISAC)
ISAC ialah pusat kemudahan ketibaan khas yang ditubuhkan oleh EMGS untuk menyambut dan membantu pelajar antarabangsa yang tiba di Malaysia. Terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, ISAC menyediakan sokongan khusus sebaik ketibaan, membimbing pelajar melalui prosedur ketibaan dan imigresen yang diperlukan, serta memastikan permulaan perjalanan pengajian mereka di Malaysia berjalan lancar, teratur dan mesra.
SOURCE Education Malaysia Global Services (EMGS)
Share this article