LGMG Pamerkan Pengecasan Ultra Pantas dan Penyelesaian Tenaga Bersepadu untuk Elektrifikasi Perlombongan
Demonstrasi secara langsung mengetengahkan teknologi yang direka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap diesel dan mengekalkan produktiviti lombong
ORDOS, China, 13 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- LGMG mempamerkan peralatan perlombongan elektrik, pengecasan ultra pantas dan pengurusan tenaga bersepadu pada Festival Perkhidmatan Pelanggan Perlombongan Global sulungnya di Ordos, Mongolia Dalam, yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober. Lebih 500 wakil daripada syarikat perlombongan, organisasi industri, rakan kongsi teknologi dan pihak media menghadiri acara tersebut.
Di sebuah lombong yang sedang beroperasi, para peserta menyaksikan trak perlombongan elektrik LGMG, sistem penghantaran armada pintar, penjanaan tenaga solar, penyimpanan tenaga dan infrastruktur pengecasan ultra pantas berfungsi secara bersepadu dalam keadaan perlombongan sebenar.
Demonstrasi tersebut memperlihatkan pendekatan LGMG terhadap elektrifikasi perlombongan yang melangkaui penggunaan mesin secara individu dengan turut merangkumi infrastruktur tenaga sokongan. Sistem solar-penyimpanan-pengecasan-pengangkutan bersepadunya menggabungkan penjanaan elektrik boleh baharu, penyimpanan bateri dan pengecasan kelas megawatt. Platform pengurusan tenaga berpusat menyelaraskan pengagihan kuasa, operasi pengecasan dan penghantaran armada bagi menyokong penggunaan peralatan serta kecekapan pengeluaran.
Antara tarikan teknologi utama ialah trak perlombongan elektrik LGMG dengan pengecasan ultra pantas, yang mampu mengecas baterinya daripada 20% kepada 90% dalam tempoh 23 minit di bawah keadaan ujian. LGMG turut melaporkan bahawa sistem pengecasannya mampu menyalurkan hampir 800 kWh dalam tempoh 18 minit di bawah keadaan operasi ekstrem, dengan kuasa pengecasan puncak mencecah kira-kira 3.6 MW.
Trak tersebut menggabungkan seni bina pengecasan pantas 3C, pek bateri berketumpatan tinggi dan berkapasiti besar serta sistem pengurusan terma khusus yang direkayasa untuk suhu antara -30°C hingga 50°C. Pengecasan yang lebih pantas direka untuk meminimumkan tempoh henti operasi dan membantu mengekalkan produktiviti armada.
Bagi lombong terpencil yang mempunyai kapasiti grid terhad, gabungan penjanaan tenaga boleh baharu di lokasi, penyimpanan tenaga dan pengecasan berkapasiti tinggi dapat mengurangkan kebergantungan terhadap elektrik yang dijana menggunakan diesel. Sistem pengurusan lombong pintar LGMG menyelaraskan operasi peralatan, keperluan pengecasan dan kuasa yang tersedia untuk meningkatkan kecekapan tenaga serta penggunaan peralatan.
LGMG turut memperkenalkan inisiatif perkhidmatan pelanggan global yang dipertingkat, merangkumi alat ganti, penyelenggaraan, operasi perlombongan pintar dan pembuatan semula. Inisiatif tersebut direka untuk menyokong kebolehpercayaan peralatan serta peralihan pelanggan kepada armada berelektrik yang dihubungkan secara digital.
Syarikat sedang memperluas portfolio peralatan elektriknya bagi kerja penyingkiran lapisan tanah penutup, perlombongan arang batu dan operasi di kawasan muka bumi yang mencabar, di samping membangunkan penyelesaian untuk lokasi altitud tinggi dan suhu ekstrem.
Secara keseluruhannya, teknologi ini bertujuan menjadikan elektrifikasi perlombongan berskala besar lebih praktikal, sambil mengurangkan kos operasi dan pelepasan tanpa menjejaskan produktiviti.
SOURCE LGMG
Share this article