Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark Perkukuh Status Geopark Kebangsaan
AMPANG JAYA, Malaysia, 29 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGP) telah menjalani Sesi Penilaian Semula Gombak - Hulu Langat Geopark 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 29 Oktober 2026, sebagai sebahagian daripada proses penilaian berkala yang dilaksanakan setiap empat tahun bagi menentukan kelayakan geopark ini untuk mengekalkan status sebagai Geopark Kebangsaan. Penilaian ini dikendalikan oleh Prof. Emeritus Dr. Felix Tongkul selaku Ketua Panel Penilai, bersama Puan Madeline Anak George Pau dan En. Fredolin Javino sebagai pemerhati. Sepanjang tempoh penilaian, panel meneliti tahap pencapaian dan keberkesanan pengurusan GHLGP berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk aspek pemuliharaan warisan geologi dan biodiversiti, pembangunan pelancongan lestari, program pendidikan dan kesedaran awam, penglibatan komuniti, tadbir urus geopark serta kerjasama strategik yang telah dilaksanakan sejak pengiktirafannya sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2022.
Sepanjang sesi penilaian ini, panel penilai mengadakan lawatan lapangan ke beberapa lokasi utama dalam GHLGP bagi menilai secara langsung keberkesanan pelaksanaan program dan inisiatif geopark di lapangan. Antara lokasi yang dilawati termasuk Permatang Kuarza Gombak Selangor (Bukit Tabur), Batu Caves, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Galeri Ulu Parang, Taman Komuniti Geopark, Corong Udara dan Terowong Arang Batu di Batu Arang, Air Terjun Sungai Tekala, Kompleks Mata Air Panas Dusun Tua serta Kolam Air Panas Sungai Lalang. Selain lawatan ke geotapak dan biotapak, panel turut berinteraksi dengan komuniti setempat, Sekolah Geopark, Rakan Geopark dan pengusaha geopelancongan bagi menilai tahap penglibatan komuniti serta impak pembangunan mampan yang dihasilkan melalui pelaksanaan inisiatif geopark.
Selain lawatan lapangan, panel turut mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menilai aspek tadbir urus, pemuliharaan, pendidikan, pembangunan komuniti dan pelancongan lestari dalam kawasan geopark. Sesi ini melibatkan Tourism Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta Sekolah Geopark, Rakan Geopark, komuniti setempat dan pengusaha geopelancongan, yang memainkan peranan penting dalam menyokong pengurusan serta pembangunan mampan Gombak-Hulu Langat Geopark.
Sesi penilaian ini merangkumi pembentangan teknikal, sesi dialog bersama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, komuniti setempat dan pemain industri pelancongan serta lawatan lapangan ke geotapak dan produk geopelancongan utama dalam kawasan geopark yang meliputi lebih 112,000 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat. Antara komponen yang dinilai termasuk aspek tadbir urus dan pengurusan geopark, pemuliharaan warisan geologi dan biodiversiti, penglibatan komuniti, program pendidikan, pembangunan geopelancongan serta jaringan kerjasama strategik yang menyokong pembangunan mampan kawasan geopark. Penilaian ini merupakan platform penting untuk menilai keberkesanan usaha yang telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu, selain memperkukuh kedudukan GHLGP sebagai model pembangunan geopark mampan di Malaysia dan meningkatkan kesiapsiagaannya ke arah pengiktirafan antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, Tourism Selangor turut melancarkan video muzik dan lagu rasmi "Pesona Gombak Hulu Langat Geopark" yang dipersembahkan oleh Layla Sania sebagai medium kreatif untuk memperkenalkan keunikan warisan geologi, biodiversiti dan budaya GHLGP kepada khalayak yang lebih meluas. Video muzik tersebut dirakam dengan sokongan Canon Marketing Malaysia, yang menyediakan kepakaran teknikal serta peralatan penggambaran profesional. Pada majlis yang sama, Tourism Selangor dan Canon Marketing Malaysia turut memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi memperkukuh usaha promosi, dokumentasi dan pemuliharaan warisan semula jadi melalui penghasilan kandungan kreatif, pembangunan bakat fotografi dan videografi serta program kesedaran awam.
GHLGP merupakan Geopark Kebangsaan pertama di Selangor yang merangkumi pelbagai aset geologi, biodiversiti dan warisan budaya bernilai tinggi. Melalui sesi penilaian semula ini, GHLGP bukan sahaja berusaha mengekalkan status Geopark Kebangsaan, malah memperkukuh persediaan ke arah pencalonan sebagai UNESCO Global Geopark menjelang tahun 2028, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk meletakkan negeri ini sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia.
SOURCE Tourism Selangor


Share this article