Pertumbuhan AI Malaysia haruslah mesra alam, pintar dan berfokus aplikasi dunia sebenar - Fahmi
KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 September 2026 /PRNewswire/ -- Malaysia mesti mengubah infrastruktur digital dan kapasiti pengkomputerannya yang semakin berkembang kepada keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang memberikan nilai dunia sebenar merentasi ekonomi, sambil memastikan pertumbuhan AInya kekal bertanggungjawab dan mampan, kata Menteri Komunikasi Dato' Seri Fahmi Fadzil.
"Perbezaan yang perlu kita lakukan sekarang adalah antara memiliki infrastruktur digital dengan menjadi tempat AI dibangunkan, dilaksanakan dan diaplikasikan. Ini bermakna menggunakan AI untuk menjadikan industri semikonduktor dan elektronik kita lebih produktif, memperkukuh pembuatan termaju dan logistik, menambah baik rantaian bekalan, mentransformasikan penjagaan kesihatan, menyokong pertanian dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik," katanya dalam ucaptama pada WAIC CONNECT Malaysia 2026 sulung.
"Kemajuan kita tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kapasiti pengkomputeran, tetapi berdasarkan nilai ekonomi dan peluang yang kita cipta daripadanya. Inilah aspirasi di sebalik Pelan Tindakan AI Negara 2026-2030 daripada Kerajaan, atau AI Nation 2030. Kita menyasarkan tambahan 0.8 hingga 1.2 mata peratusan bagi pertumbuhan KDNK tahunan, bersamaan kira-kira RM13 bilion hingga RM20 bilion setahun. Kita juga menyasarkan untuk mewujudkan 300,000 hingga 500,000 peluang pekerjaan baharu berkaitan AI," tambah beliau.
Beliau berharap persidangan itu dapat membantu mengetengahkan bidang yang memerlukan perhatian lebih tinggi ketika penerimagunaan AI menjadi semakin rancak, termasuk memastikan pertumbuhan AI mewujudkan peluang untuk golongan muda dan menyokong pertumbuhan pekerjaan.
Beliau turut mengetengahkan sokongan daripada Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) terhadap acara itu dan mengalu-alukan matlamat Huawei untuk memupuk 30,000 bakat AI Malaysia serta membangunkan 200 rakan kongsi AI tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi penglibatan, pemindahan ilmu serta kerjasama awan dan AI.
Melangkaui pembangunan AI Malaysia, kemajuan pesat China dalam teknologi pintar menawarkan satu lagi perspektif tentang bagaimana AI diterjemahkan kepada aplikasi praktikal pada skala besar.
"Pada separuh pertama tahun ini, China mengeksport lebih 10,000 robot bionik pintar ke lebih 90 negara dan wilayah. Pembuatan pintar China membawa kemudahan dan kecekapan yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada semakin banyak negara di seluruh dunia," kata Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia dalam ucapannya.
"Ketika firma teknologi moden China melabur secara besar-besaran dalam sektor AI dan infrastruktur pusat data Malaysia, dan universiti dari kedua-dua negara mempercepat inovasi koperatif dalam bidang termaju seperti AI dan kejuruteraan lanjutan, AI muncul dengan pantas sebagai enjin pertumbuhan baharu yang dinamik bagi kerjasama China-Malaysia," katanya.
Presiden Huawei Asia Pacific Region (Huawei APAC), Terry He berkata Asia Pasifik mempunyai peranan strategik dalam membentuk masa depan pintar, dengan kepelbagaian bahasa, budaya, industri dan keperluan pembangunan di rantau itu membuka peluang untuk membangunkan AI yang lebih sesuai dengan konteks tempatan.
"Malaysia, dalam APAC, mempunyai kedudukan yang unik. Dari segi geografi, ia terletak di persimpangan Timur dan Barat, dihubungkan oleh kabel dasar laut bertaraf dunia. Dari segi kuasa pengkomputeran, Johor telah menjadi salah satu hab pusat data AI yang berkembang paling pesat di dunia. Dari segi tenaga, Malaysia menawarkan tenaga yang kompetitif dan semakin mesra alam, dengan bekerjasama bersama peneraju utama yang menjana tenaga mereka sendiri untuk kampus AI. Malaysia berada di landasan untuk menempatkan kira-kira dua pertiga daripada kapasiti pusat data ASEAN menjelang 2035. Dengan kelebihan ini, kami percaya Malaysia berada pada kedudukan yang baik bukan sahaja untuk menjadi peneraju infrastruktur, tetapi juga hab AI serantau, yang memperkasakan pembangunan AI di seluruh rantau ini," katanya.
"Memandang ke hadapan, Huawei akan terus menyumbang dalam tiga bidang utama. Pertama, kami akan memperkukuh asas bagi kecerdasan. Bersama-sama rakan kongsi tempatan, kami akan membina infrastruktur digital yang selamat, berdaya tahan dan hijau merangkumi ketersambungan, pengkomputeran, awan, storan dan tenaga hijau. Kedua, kami akan mempercepat penerimagunaan AI merentasi industri dengan membawa AI ke dalam sektor utama termasuk telekomunikasi, perkhidmatan awam, kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan PKS untuk meningkatkan produktiviti serta mewujudkan nilai ketara kepada masyarakat. Ketiga, kami akan membina ekosistem inovasi yang terbuka dan dipercayai. Kami akan menghubungkan keupayaan global dengan inovasi tempatan, menyokong rakan kongsi, pembangun dan syarikat pemula Malaysia, serta terus memajukan bakat AI, AI yang bertanggungjawab, keselamatan siber dan infrastruktur digital yang selamat—membantu membawa penyelesaian AI "Made by Malaysia" ke ASEAN dan dunia," tegas beliau.
Turut hadir ialah Kang Kai, Ketua Pegawai Komersial Shanghai DLG WAIC Gravitational Co Ltd; Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia); Yang Berbahagia Dato' Abdul Majid Ahmad Khan, Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Malaysia-China dan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China serta Abdul Karim Fakir Ali, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
WAIC Connect Malaysia 2026 ialah peluasan antarabangsa bagi acara industri AI utama China, World Artificial Intelligence Conference (WAIC). Diadakan dari 7 hingga 8 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, acara itu menghimpunkan syarikat AI, perusahaan dan rakan kongsi ekosistem dari China, Malaysia dan pasaran ASEAN lain berdasarkan tema "Innovating for a Green and Intelligent Malaysia" ("Berinovasi demi Malaysia yang Hijau dan Pintar").
Para peserta di acara itu melibatkan wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Huawei APAC, Huawei Malaysia, perusahaan AI China di samping lebih 80 rakan kongsi ekosistem dan 1,000 pakar industri dari seluruh rantau Asia-Pasifik.
Persidangan selama dua hari itu merangkumi persidangan ucapan dasar yang utama, forum, pertukaran di luar lokasi - WAIC City Walk - serta pameran yang menampilkan lebih 40 bahan pameran.
Malaysia kini sedang beralih daripada pembinaan asas untuk AI kepada pelaksanaan keupayaan tersebut dalam amalan merentasi industri, kerajaan dan masyarakat. Berlatarbelakangkan konteks ini, WAIC Connect Malaysia menyediakan platform kepada Malaysia, China dan rantau ASEAN yang lebih luas untuk berkongsi pengalaman, membina perkongsian serta mempercepat penerimagunaan dan pembangunan praktikal AI.
SOURCE Huawei
Share this article