Robo.ai Inc. Berikan Perkembangan Terkini Perniagaan dan Umum Jadual Pengeluaran Laporan Interim
Syarikat Meneruskan Penstrukturan Semula Kedudukan Perniagaan, dengan Ekuiti Pemegang Saham Dijangka Berubah kepada Positif; Menyelesaikan Pemerolehan Neurovia AI dan Quantum Core Capital serta Menubuhkan Alif Holding
ABU DHABI, UAE, 21 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- Robo.ai Inc. (Nasdaq: AIIO) ("Robo.ai" atau "Syarikat"), mengumumkan bahawa ia akan melaporkan penyata kewangan tidak diaudit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 pada 24 Ogos 2026, selain memberikan perkembangan terkini mengenai perniagaannya.
Sejak awal 2026, Syarikat telah menyelesaikan beberapa pemerolehan, penyusunan semula dan transaksi penting. Secara keseluruhan, pelupusan operasi legasinya telah menghapuskan sebahagian besar liabiliti lampau Syarikat, manakala impak perniagaan yang baru diperoleh terhadap hasil Syarikat dijangka dapat direalisasikan secara berperingkat. Penyusunan semula aset dan transaksi ini dijangka memberikan impak positif terhadap hasil Syarikat serta mengembalikan ekuiti pemegang saham kepada kedudukan positif:
Pelupusan Perniagaan Legasi: Syarikat telah menyelesaikan pelupusan operasi legasinya, yang telah menanggung sebahagian besar daripada liabiliti lampaunya.
Pemerolehan Neurovia AI: Menerusi pemerolehan ini, Syarikat memperoleh hak eksklusif terhadap teknologi pemprosesan dan pemampatan data AI tertentu, yang dihasratkan untuk diaplikasikan dalam sektor seperti keselamatan awam, pengangkutan, tenaga dan perkhidmatan perbandaran. Pasukan Neurovia AI ketika ini sedang menjalankan ujian projek dan produk bersama pelanggan.
Pemerolehan Quantum Core Capital: Syarikat telah menyelesaikan pemerolehan platform syarikat induk teknologi mendalam (deep-tech) dan pembinaan usaha niaga berkuasa AI ini, dengan entiti operasinya dijangka memulakan operasi perniagaan secara berperingkat di UAE.
Penubuhan Alif Holding: Syarikat menubuhkan kumpulan perindustrian ini yang memberi tumpuan kepada infrastruktur teknologi di UAE serta pembangunan, integrasi dan pembuatan teknologi baharu dan bahan baharu untuk kerajaan, sektor awam dan domain misi-kritikal. Dr. Ahmed Naser Al-Raisi, bekas Presiden INTERPOL, berkhidmat sebagai Pengerusinya, manakala Dr. Jasem Al-Mansory, bekas pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri UAE, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Pelantikan ini terus memperkukuh struktur tadbir urus dan pasukan pengurusan kumpulan itu.
"Separuh pertama 2026 merupakan titik lengkok balas dalam transformasi Robo.ai," kata Benjamin Zhai, Ketua Pegawai Eksekutif Robo.ai. "Kami melupuskan perniagaan legasi yang menanggung sebahagian besar daripada liabiliti lampau kami, sekali gus mengukuhkan kunci kira-kira Syarikat dan meletakkan ekuiti pemegang saham pada landasan untuk mencapai kedudukan positif. Menerusi Neurovia AI, Quantum Core Capital dan Alif Holding pula, kami telah menambah teknologi, pasukan dan platform operasi yang menjadi asas untuk meningkatkan hasil dan keberuntungan Syarikat. Pada separuh kedua tahun ini, keutamaan kami adalah untuk mengintegrasikan perniagaan yang diperoleh dengan cekap, memajukan pengkomersialan dan peningkatan skala teknologi kami serta memperkukuh pembangunan rantaian bekalan, demi mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan untuk pelabur kami."
Berdasarkan skop perubahan terhadap perniagaan Syarikat sepanjang tempoh tersebut, keputusannya bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 tidak boleh dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2025 dan tidak seharusnya digunakan sebagai asas untuk menganggarkan prestasi masa hadapan. Hasil bagi tempoh tersebut terutamanya mencerminkan sebuah perniagaan yang sedang melalui fasa peralihan dan tidak seharusnya dianggap sebagai petunjuk bagi tahap hasil masa hadapan yang diselaraskan dan berterusan.
Syarikat merancang untuk memfailkan penyata kewangan disatukan ringkas yang tidak diaudit dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa A.S. dalam Borang 6-K dan dijangka memberikan butiran tambahan mengenai transaksi ini serta prospek Syarikat ketika itu.
Latar Belakang Robo.ai Inc.
Robo.ai Inc. (Nasdaq: AIIO) ialah kumpulan teknologi yang membangunkan infrastruktur pintar menerusi empat platform: kecerdasan buatan; robotik dan mobiliti pintar; pembuatan termaju; serta modal. Kumpulan perindustriannya, Alif Holding, dikhususkan untuk membangunkan industri pintar menerusi pembangunan, integrasi dan pembuatan sistem AI bagi memenuhi keperluan kerajaan, sektor awam dan domain misi-kritikal. Menerusi subsidiarinya Neurovia AI, Syarikat membangunkan perisian AI dan infrastruktur data visual. Quantum Core Capital ("QC Capital"), platform syarikat induk teknologi mendalam dan pembinaan usaha niaga berkuasa AI, menginkubasi, melabur dalam dan mengendalikan perniagaan merentasi kecerdasan buatan, robotik, infrastruktur digital dan ekonomi digital generasi akan datang. Robo.ai beribu pejabat di Abu Dhabi, dengan pusat serantaunya terletak di Tokyo, Singapura dan New York.
Kenyataan Pandang ke Hadapan
Siaran akhbar ini mengandungi kenyataan pandang ke hadapan dalam pengertian peruntukan "safe harbor" menurut Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Persendirian A.S. 1995, termasuk kenyataan berhubung rancangan, objektif, strategi Syarikat, integrasi dan pengkomersialan perniagaan yang diperoleh, rancangan pembiayaan, rancangan pemfailan serta prestasi operasi masa hadapan. Kenyataan ini umumnya boleh dikenal pasti melalui perkataan seperti "menduga", "menjangkakan", "percaya", "merancang", "berhasrat", "akan" atau ungkapan yang serupa. Kenyataan pandang ke hadapan bukan jaminan terhadap prestasi masa hadapan dan melibatkan risiko serta ketidakpastian yang diketahui dan tidak diketahui, dan keputusan sebenar mungkin berbeza secara ketara daripada yang dinyatakan atau tersirat. Risiko dan ketidakpastian ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, keupayaan Syarikat untuk mengintegrasikan dan membangunkan perniagaan yang diperoleh, menjana keuntungan kendalian dan aliran tunai yang mencukupi, mendapatkan pembiayaan tambahan dan meneruskan operasi perniagaan yang berterusan, selain risiko lain yang dihuraikan dalam pemfailan Syarikat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa A.S., termasuk laporan tahunan menerusi Borang 20-F bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 dan laporannya menerusi Borang 6-K. Semua maklumat dalam siaran akhbar ini diberikan setakat tarikh siaran ini dan Syarikat tidak mempunyai kewajipan untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana kenyataan pandang ke hadapan, sama ada hasil daripada maklumat baharu, peristiwa masa hadapan atau sebaliknya, kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkenaan.
SOURCE Robo.ai Inc.
Share this article