Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 Melabuhkan Tirai dengan Jayanya di Shenzhen
SHENZHEN, China, 21 November 2026 /PRNewswire/ -- Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 melabuhkan tirainya pada 18 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Qianhai, Shenzhen. Dianjurkan oleh Majlis China bagi Penggalakan Perdagangan Antarabangsa (CCPIT), sidang kemuncak yang berlangsung dari 17 hingga 18 November itu merupakan acara sokongan kepada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33. Presiden Xi Jinping menghadiri majlis perasmian dan menyampaikan ucaptama. Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan lebih 2,000 pemimpin politik dan perniagaan daripada kesemua 21 ekonomi APEC serta 13 ekonomi di luar APEC, termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman dan Switzerland.
Bertemakan "Bersama-sama Mencapai Kemakmuran dan Meraih Masa Depan" (To Prosper and Win the Future Together), sidang kemuncak itu menampilkan majlis perasmian, ucapan pemimpin ekonomi APEC, dialog perniagaan, perbincangan bertema, majlis penutupan dan penyerahan peranan sebagai tuan rumah. Pemimpin ekonomi APEC termasuk Australia; Kanada; Chile; Hong Kong, China; Republik Korea; Malaysia; Mexico; Rusia; Thailand dan Vietnam menghadiri sidang kemuncak tersebut, sama ada untuk menyampaikan ucapan atau pandangan mahupun menyertai perbincangan panel. Lebih 40 ketua syarikat terkemuka dari China dan luar negara serta persatuan perniagaan utama bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi Asia Pasifik dan peluang baharu untuk kerjasama, kesalinghubungan, kecerdasan buatan, pembangunan mampan, Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), ekonomi digital, pembangunan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau, serta transformasi digital dan hijau.
Ren Hongbin, Pengerusi CCPIT merangkap Pengerusi Sidang Kemuncak CEO APEC 2026, mempengerusikan majlis perasmian. Pada majlis penutupan, beliau mengumumkan Inisiatif Shenzhen Sidang Kemuncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 bagi pihak komuniti perniagaan Asia Pasifik. Inisiatif itu menyeru usaha memperdalam pembangunan ekonomi serantau yang terbuka, memacu pertumbuhan inklusif melalui inovasi teknologi, memperkukuh kesalinghubungan serantau dan bekerjasama untuk mencapai kemakmuran bersama. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah 30 tahun sidang kemuncak tersebut hasil persidangan diterbitkan dalam bentuk suatu inisiatif.
Pada majlis penyerahan peranan sebagai tuan rumah, Ren Hongbin menyerahkan tanggungjawab menganjurkan Sidang Kemuncak CEO APEC yang berikutnya kepada Nguyen Quang Vinh, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Vietnam.
Maklumat lanjut: https://www.apecceosummit2026.cn/en/apec2026/
SOURCE CCPIT


Share this article