Tourism Selangor mengetengahkan potensi pelancongan kapal persiaran Selangor di Seatrade Cruise Asia 2026
KUALA LUMPUR, Malaysia, 20 November 2026 /PRNewswire/ -- Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, mewakili negeri Selangor di Seatrade Cruise Asia 2026, persidangan industri kapal persiaran terkemuka di rantau Asia yang berlangsung di Waldorf Astoria, Kuala Lumpur pada 16 hingga 17 November 2026. Acara ini menghimpunkan syarikat-syarikat kapal persiaran antarabangsa, pemimpin destinasi, pemain industri pelancongan serta pakar industri bagi membincangkan masa depan pelancongan kapal persiaran di Asia di bawah tema "A New Era of Opportunity".
Sebagai salah seorang panel utama dalam sesi persidangan bertajuk "Malaysia's Cruise Opportunity: What Will It Take to Grow?", Chua Yee Ling berganding bersama barisan pemimpin industri daripada Royal Caribbean International, Destination Asia, Penang Global Tourism dan Destination Asia Malaysia untuk membincangkan strategi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor kapal persiaran serantau.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen Tourism Selangor dalam memposisikan Selangor bukan sekadar sebagai pintu masuk kapal persiaran, tetapi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai daya tarikannya tersendiri. Dengan kedudukan strategik, hubungan jaringan yang kukuh melalui Pelabuhan Klang dan KLIA, serta pelbagai produk dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan, Selangor berada pada kedudukan terbaik untuk meraih manfaat lebih besar daripada pertumbuhan pasaran kapal persiaran.
Menjelang persidangan tersebut, Chua Yee Ling menegaskan bahawa masa depan pelancongan kapal persiaran melangkaui jumlah ketibaan penumpang semata-mata.
"Peluang untuk Selangor bukan hanya terletak pada menarik lebih banyak kapal persiaran berlabuh, tetapi mewujudkan sebab-sebab yang menarik untuk pelancong tinggal lebih lama dan menikmati lebih banyak pengalaman yang ditawarkan oleh negeri ini. Daripada warisan bersejarah Klang dan kepelbagaian gastronominya yang terkenal, kepada Pulau Ketam yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, serta keindahan landskap Geopark Gombak-Hulu Langat, Selangor menawarkan pelbagai pengalaman unik yang mudah diakses dari Pelabuhan Klang," katanya.
Di Seatrade Cruise Asia 2026, Tourism Selangor turut mengadakan sesi libat urus secara aktif bersama pengendali kapal persiaran antarabangsa, perancang destinasi, rakan industri pelancongan dan pihak berkepentingan untuk meneroka peluang kerjasama baharu, mempromosikan pengalaman pra dan pasca pelayaran, serta memperkukuh keterlihatan Selangor dalam jadual perjalanan kapal persiaran global. Program persidangan turut merangkumi perbincangan berkaitan trend penempatan kapal persiaran, pasaran sumber, pembangunan destinasi, impak ekonomi dan peluang meningkatkan nilai pengalaman pelawat melangkaui jumlah penumpang semata-mata.
Salah satu fokus utama Selangor adalah pembangunan pakej cruise-and-stay, yang menggalakkan pelawat memanjangkan tempoh perjalanan mereka sebelum atau selepas pelayaran. Melalui kerjasama antara tarikan pelancongan, penginapan, penyedia pengangkutan dan pengendali kapal persiaran, negeri ini berhasrat untuk mewujudkan pengalaman pelancongan yang lancar dan menyeluruh, sekali gus menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada komuniti tempatan, perniagaan serta pengusaha pelancongan.
Menerusi inisiatif seperti SAIL Selangor, Tourism Selangor terus mempromosikan pengalaman tempatan yang autentik dengan mengetengahkan warisan, budaya dan keunikan makanan di Klang, sambil menggalakkan pelancong kapal persiaran untuk menerokai lebih banyak produk pelancongan di seluruh Selangor.
Penyertaan Tourism Selangor di Seatrade Cruise Asia 2026 mencerminkan aspirasi lebih besar negeri ini untuk muncul sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran utama di Asia Tenggara, di mana pengunjung bukan sahaja memilih untuk tiba, malah memilih untuk tinggal lebih lama, meneroka dan kembali berkunjung ke Selangor.
SOURCE Tourism Selangor


Share this article