Toys"R"Us Asia Umum Perjanjian untuk Memindahkan Perniagaan Jepun kepada Pan Pacific International Holdings Group
HONG KONG, 1 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Toys"R"Us Asia hari ini mengumumkan bahawa Toys"R"Us-Japan, Ltd., anggota kumpulannya, telah memeterai perjanjian muktamad untuk memindahkan perniagaannya kepada sebuah syarikat sekutu Pan Pacific International Holdings Corporation ("PPIH"). Selepas pemindahan perniagaan itu selesai, perniagaan di Jepun akan beroperasi sebagai sebahagian daripada kumpulan PPIH.
Sehingga transaksi itu dimuktamadkan, operasi perniagaan untuk pelanggan di Jepun akan berjalan seperti biasa. Kedai dijangka terus dibuka, saluran perkhidmatan pelanggan akan kekal beroperasi sepenuhnya dan standard tinggi yang sama bagi kualiti produk, nilai dan perkhidmatan akan dikekalkan.
Menyokong pekerja sepanjang peralihan ini merupakan keutamaan utama. Kami akan bekerjasama rapat dengan PPIH untuk memudahkan peralihan perniagaan secara teratur dan memberikan komunikasi tepat pada masanya serta sokongan yang sewajarnya kepada pekerja di Jepun sepanjang proses tersebut.
Penyempurnaan transaksi itu masih tertakluk kepada syarat penutupan lazim dan kelulusan lain yang diperlukan, serta dilaksanakan berkaitan dengan prosiding pemulihan sivil di Jepun.
Transaksi ini akan menyokong penerusan operasi perniagaan runcit di Jepun di bawah pemilikan baharu, sambil membolehkan Toys"R"Us Asia mempertajam tumpuannya terhadap peluang pertumbuhan jangka panjang merentasi operasinya yang lebih luas di Asia.
Semua operasi, kedai, platform eDagang, aktiviti rantaian bekalan dan hubungan dengan vendor Toys"R"Us Asia di luar Jepun tidak terjejas oleh transaksi ini dan akan terus beroperasi seperti biasa. Toys"R"Us Asia akan terus mengendalikan secara eksklusif jenama ikonik Toys"R"Us di pasaran lain di Asia.
Adam Au dan Johnny Mui, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Toys"R"Us Asia, berkata, "Jepun telah menjadi bahagian penting dalam keluarga Toys"R"Us di Asia selama bertahun-tahun, dan kami amat berterima kasih kepada pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan anggota pasukan kami atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sepanjang perjalanan itu. Walaupun transaksi ini menandakan lembaran baharu bagi perniagaan di Jepun, ia turut membolehkan Toys"R"Us Asia mempertajam tumpuannya terhadap peluang besar yang menanti di seluruh rantau ini. Asia kekal sebagai teras perniagaan kami dan kami kekal teguh dengan komitmen terhadap misi kami untuk mencipta pengalaman penuh keceriaan permainan dan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak, keluarga serta kidult (kanak-kanak dewasa) di seluruh Asia yang lain."
-Tamat-
Latar Belakang Toys"R"Us Asia
Visi Toys"R"Us Asia adalah untuk menyemarakkan imaginasi dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang melalui kuasa permainan dan bermain. Berpandukan janji jenamanya "Live Toyful", kumpulan ini komited untuk menjadikan bermain sebagai gaya hidup bagi semua peringkat umur, menggalakkan kanak-kanak, kidult dan keluarga untuk meneroka, berimaginasi serta meraikan kegembiraan bermain setiap hari.
Beribu pejabat di Hong Kong, Toys"R"Us Asia mengendalikan kedai di pasaran termasuk, tanpa terhad kepada, Tanah Besar China, Malaysia, Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Thailand, dengan operasi sublesen di Filipina dan Macau. Kumpulan ini turut mengekalkan platform eDagang dan kedai dalam talian terkemuka di semua pasarannya.
"Toys"R"Us Asia" merujuk kepada Toys "R" Us Asia (Holding) Limited dan anak-anak syarikatnya, yang secara bersama membentuk sebuah kumpulan bebas yang beroperasi secara berasingan daripada, dan tidak mempunyai hubungan dengan, mana-mana syarikat berjenama Toys"R"Us lain di seluruh dunia.
SOURCE Toys"R"Us Asia
Share this article