Tujuh (7) Syarikat Korporat Terima Anugerah di bawah Program BIG (BIG 2.0) bagi Mempercepat Inovasi Korporat dan Pengkomersialan
Berlandaskan pencapaian BIG 1.0, program yang diperluas ini memperkukuh kerjasama antara industri dengan syarikat pemula melalui sokongan pembiayaan RM15 juta di bawah Belanjawan 2026.
KUALA LUMPUR, Malaysia, 25 November 2026 /PRNewswire/ -- Kementerian Kewangan (MOF), dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) sebagai agensi pelaksana, mencatat satu lagi pencapaian penting dalam landskap inovasi korporat Malaysia dengan pengumuman tujuh (7) syarikat korporat yang dipilih untuk Program BIG (BIG 2.0).
Pengumuman itu dibuat semasa Sidang Kemuncak Cradle LIVE! 2026. Meneruskan momentum BIG 1.0, program ini secara keseluruhannya telah menjangkau lebih 110 syarikat korporat merentasi 11 industri, dengan 14 cadangan diluluskan dan anggaran potensi penciptaan nilai sebanyak RM1.6 bilion bagi kedua-dua fasa, sekali gus menyerlahkan peranannya yang semakin penting dalam memangkin inovasi korporat dan memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia.
Susulan pelancarannya tahun lalu, BIG 2.0 memasuki fasa pelaksanaan dengan skop yang diperluas untuk merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat tersenarai awam (PLC), entiti Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc.) dan syarikat korporat Malaysia. Tujuh syarikat yang dipilih adalah seperti berikut:
- OSK Construction
- PLUS Malaysia Berhad
- SD Guthrie Berhad
- Sime UMW
- Solarvest Holdings Berhad
- Telekom Malaysia Berhad
- Uzma Group
(Sila rujuk Lampiran 1 untuk butiran pernyataan masalah masing-masing)
Peluasan BIG 2.0 mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh ekonomi Malaysia yang dipacu inovasi dengan menggalakkan peneraju industri berkembang, menerima guna teknologi terbaik yang tersedia dan mewujudkan amalan inovatif melalui kerjasama antara industri yang mantap dengan penginovasi baharu. Melalui pembiayaan bersasar dan penyertaan industri, program ini bermatlamat untuk mempercepat penerimagunaan teknologi, membuka peluang komersial dan memastikan inovasi diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang nyata.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, berkata: "Ketika kami melancarkan Program BIG pada Mac 2025, matlamat kami adalah untuk menghimpunkan syarikat korporat dan syarikat pemula bagi menyelesaikan cabaran perniagaan sebenar, dengan syarikat korporat memperuntukkan sumber mereka sendiri. Menerusi BIG 1.0 dan BIG 2.0, 14 syarikat yang mengambil bahagian telah memberikan komitmen hampir RM1.50 daripada sumber sendiri bagi setiap RM1 geran padanan kerajaan. Syarikat korporat sedang membina keupayaan inovasi yang lebih kukuh, manakala syarikat pemula berpeluang mengesahkan, mengkomersialkan dan memperluas skala penyelesaian mereka. Kami mengalu-alukan kohort BIG 2.0 dan berharap syarikat korporat serta syarikat pemula dapat berkembang bersama demi manfaat ekonomi yang lebih luas."
Memperkukuh komitmen ini, YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri MOSTI, berkata, "Kita juga mesti memperkukuh kerjasama antara syarikat pemula dengan syarikat korporat yang mantap. Melalui inisiatif seperti Program BIG, kami menggalakkan penyelesaian inovatif untuk memenuhi keperluan perniagaan sebenar. Dengan menggabungkan kepakaran korporat dan akses pasaran dengan ketangkasan serta teknologi syarikat pemula, kita dapat mempercepat pengkomersialan dan mewujudkan kemakmuran bersama."
Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, menambah, "BIG 1.0 meletakkan asas penting bagi inovasi korporat di Malaysia bersama GLC. Menerusi BIG 2.0, kami memperluas aspirasi tersebut dengan melibatkan lebih banyak PLC berskala besar, mewujudkan laluan kerjasama yang lebih kukuh antara syarikat pemula, penyedia teknologi dan bakal pelanggan korporat."
BIG 1.0 memperlihatkan kemajuan ketara dalam memajukan inovasi korporat, dengan menarik 544 permohonan, yang mana 87 disenarai pendek untuk penilaian lanjut dan temu duga. Daripada jumlah ini, 29 penyelesaian dipilih untuk Pembuktian Konsep (PoC), dengan 13 daripadanya kemudiannya dianugerahkan untuk pelaksanaan, menandakan pencapaian penting ke arah peluasan skala dan pengkomersialan. Hasil ini menyerlahkan peranan program dalam membolehkan syarikat korporat mengenal pasti, mengesahkan dan menerima guna penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran sebenar industri, di samping meletakkan asas bagi inovasi berterusan dan transformasi perniagaan.
Pengumuman itu berlangsung serentak dengan BIG 1.0: Pameran Inovasi, yang meraikan pencapaian tujuh syarikat korporat yang menamatkan perjalanan inovasi mereka: Bank Islam Malaysia Berhad, CelcomDigi Berhad, Cenviro Sdn. Bhd., EDOTCO Group, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad. Pameran tersebut memperlihatkan kemajuan yang dicapai dalam tempoh hanya setahun, menyerlahkan bagaimana kerjasama antara syarikat korporat besar dengan ekosistem inovasi yang lebih luas memudahkan pemindahan pengetahuan, memperkukuh keupayaan inovasi dan mencabar pendekatan konvensional dalam menangani keperluan industri, sekali gus meletakkan asas bagi inovasi dan penerimagunaan teknologi yang berterusan.
Melangkah ke hadapan, Program BIG akan terus memperkukuh kerjasama antara syarikat korporat dengan syarikat pemula, mewujudkan lebih banyak peluang untuk penerimagunaan teknologi, pengkomersialan dan pertumbuhan perniagaan. Dengan menghubungkan keperluan industri dengan penyelesaian baharu, program ini bermatlamat membuka peluang pasaran baharu kepada syarikat pemula sambil membolehkan syarikat korporat meningkatkan kecekapan operasi, membina keupayaan jangka panjang dan kekal berdaya saing dalam landskap perniagaan yang berubah. Melalui kerjasama sektor awam dan swasta yang berterusan, BIG berusaha memacu transformasi industri yang bermakna dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Dengan BIG 2.0 memperluas penyertaan kepada syarikat tersenarai awam dan entiti Diperbadankan MOF, program ini terus membuka ruang baharu untuk kerjasama merentasi pelbagai industri. Peluasan ini menggalakkan lebih banyak syarikat korporat menyertai dan memanfaatkan Program BIG sebagai platform untuk menangani cabaran perniagaan, mengakses teknologi baharu dan membuka peluang pertumbuhan baharu. Melangkaui hubungan perolehan tradisional, program ini bermatlamat memupuk perkongsian strategik yang membolehkan syarikat korporat menyumbang kepakaran industri dan akses pasaran, manakala syarikat pemula membawa penyelesaian inovatif dan keupayaan teknologi. Dengan menerima pendekatan kolaboratif ini, lebih banyak perniagaan Malaysia dapat mempercepat penerimagunaan teknologi, memperkukuh daya saing dan memacu pertumbuhan mampan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kelayakan program, penyertaan dan butiran permohonan, layari https://big.myopeninnovation.com/.
– TAMAT –
LAMPIRAN 1
Syarikat Korporat | Pernyataan Masalah |
OSK Construction | Industri pembinaan Malaysia masih banyak bergantung pada penunjuk susulan untuk mengukur kemajuan projek, apabila projek besar menjana ribuan peristiwa operasi setiap hari yang kekal berpecah-pecah merentasi aliran kerja yang tidak saling berhubung, tanpa konteks spatial yang sama. Pasukan projek kemudiannya perlu menyatukan maklumat yang berpecah-pecah secara manual, menilai semula kebergantungan dan menyediakan program mengejar semula jadual. Beralih daripada penjejakan kemajuan secara reaktif kepada kecerdasan spatial masa nyata, OSKC menyasarkan untuk mewujudkan Rangka Kerja Kecerdasan Spatial berterusan yang peka lokasi, yang mengubah aktiviti pembinaan harian menjadi maklumat kemajuan berstruktur, membolehkan pengesanan risiko jadual lebih awal dan pemulihan projek yang lebih proaktif. |
PLUS Malaysia Berhad | PLUS mengendalikan rangkaian lebuh raya terbesar di Malaysia dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) miliknya merupakan tempat jutaan pengguna lebuh raya berhenti untuk berehat, makan dan memulihkan tenaga. Setiap hari, PLUS menjana sejumlah besar data trafik, kunjungan dan tempat jualan. Namun, aliran data ini berada dalam sistem berasingan, menyebabkan keputusan mengenai gabungan penyewa, promosi dan pelaburan modal masih banyak berpandukan intuisi. Pada masa yang sama, tingkah laku pelanggan berubah dengan pantas. Pemandu kenderaan elektrik (EV) berada lebih lama ketika mengecas, pengembara mengharapkan makanan dan minuman bertaraf kafe, manakala keluarga, pengguna yang berulang-alik dan pemandu jarak jauh masing-masing menginginkan sesuatu yang berbeza daripada persinggahan yang sama. Tanpa gambaran bersepadu tentang tindakan pelanggan dan barangan yang dibeli, tempoh kurang sibuk tidak disedari, prestasi penyewa yang kurang memuaskan tidak ditangani dan naik taraf R&R berisiko diutamakan berdasarkan persepsi, bukannya berdasarkan lokasi yang memberikan pulangan tertinggi. |
SD Guthrie Berhad | Apabila operasi estet berskala besar semakin dipacu data, terdapat peluang untuk menyepadukan data operasi merangkumi penuaian, pengurusan tenaga kerja, penggunaan aset dan keseluruhan operasi. Platform Palm Digital Guthrie menghimpunkan data lapangan daripada manusia dan mesin pada satu peta. Harvesting Tracker menyediakan setiap penuai dengan alat pengira GPS genggam yang merekodkan setiap tandan berserta masa dan lokasinya, manakala Palm Digital Drive menjejaki laluan dan keluasan dalam hektar yang diliputi oleh traktor serta jentera perladangan lain. Pengurus estet dapat melihat hasil mengikut petak, kumpulan pekerja dan penuai individu, membandingkan liputan dengan kawasan tanaman serta segera mengambil tindakan terhadap jurang yang dikenal pasti. |
Sime UMW | Pemesinan CNC aeroangkasa di Malaysia banyak bergantung pada pengujian pengesahan secara manual, alat digital yang tidak saling berhubung dan parameter pemesinan konservatif, yang mengakibatkan kos lebih tinggi, peningkatan risiko dan inovasi yang lebih perlahan. Sime UMW bermatlamat membangunkan Sistem Pembuatan Digital Gelung Tertutup Termaju yang menyepadukan pengesahan CNC, simulasi mesin, pengoptimuman pemesinan dan kesalinghubungan mesin secara langsung untuk membolehkan pemesinan yang tepat pada percubaan pertama dan pembelajaran berterusan daripada data mesin sebenar. |
Solarvest Holdings Berhad | Kapasiti tenaga boleh baharu Malaysia dijangka meningkat hampir tiga kali ganda menjelang 2031, didorong oleh pusat data, industri dan peralihan tenaga. Aset solar dan bateri berpecah-pecah merentasi pemilik, sistem dan jenama peralatan; Solarvest menyasarkan pembinaan satu platform yang menyatukan aset solar dan bateri teragih serta mengendalikannya sebagai satu sistem, yang meramalkan penjanaan tenaga solar dan penggunaan tenaga setiap tapak sambil mengecas dan menyahcas bateri pada waktu yang paling menjimatkan kos. |
Telekom Malaysia Berhad | Infrastruktur gentian memainkan peranan penting dalam menyediakan kesalinghubungan digital yang boleh dipercayai untuk negara. Namun, faktor luaran seperti kecurian, vandalisme, kerja penggalian dan pembinaan oleh pihak ketiga serta haiwan perosak boleh menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan, meningkatkan kos operasi dan memberi kesan kepada pengalaman pelanggan. Bagi memperkukuh daya tahan rangkaian dan menyokong pengurusan infrastruktur gentian berskala besar yang lebih cekap, TM sedang meneroka penyelesaian inovatif dipacu data yang dapat meningkatkan kecerdasan rangkaian melalui analitik ramalan, pengesanan awal kerosakan dan pemantauan proaktif untuk membina Platform Daya Tahan dan Pemantauan Rangkaian bersepadu. |
Uzma Group | Bandar pintar dan tadbir urus pintar semuanya bergantung pada satu asas: lapisan data geospatial nasional yang tepat dan dikemas kini secara berterusan. Malaysia mempunyai visi tersebut tetapi belum memiliki alat AI berdaulat untuk merealisasikannya kerana alat-alat ini menghadapi kesukaran memetakan ciri geografi tempatan seperti blok rumah kedai, bumbung rumah kampung dan struktur bertiang. Syarikat menyasarkan pembangunan UzmaLENS, model segmentasi neural pemerhatian bumi tempatan, yang bakal menjadi model pengekstrakan ciri AI berdaulat pertama Malaysia untuk imejan satelit. |
Latar Belakang Cradle
Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) ialah agensi peneraju Malaysia bagi syarikat pemula peringkat awal di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Ditubuhkan pada 2003, Cradle telah menyokong lebih 1,300 syarikat pemula teknologi melalui pembiayaan, khidmat nasihat, pembangunan kapasiti dan akses pasaran. Melalui MYStartup, program CIP dan ELEVATE, Cradle menyokong syarikat pemula daripada peringkat penjanaan idea hingga pertumbuhan. Program BIG menghubungkan syarikat pemula dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai awam (PLC) untuk memacu inovasi dan kerjasama, manakala Khidmat Nasihat Inovasi Korporat (CIA) membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkukuh inovasi dan penerimagunaan teknologi. Di peringkat serantau, Startup ASEAN menghubungkan syarikat pemula dan pemain ekosistem di seluruh ASEAN dan melangkauinya.
Untuk maklumat lanjut, layari www.cradle.com.my
Dikeluarkan oleh:
Komunikasi
Strategi Kumpulan dan Projek Khas
Cradle Fund Sdn. Bhd.
Aras 20, Sunway Putra Tower
100 Jalan Putra
50350 Kuala Lumpur
SOURCE Cradle Fund Sdn. Bhd.


Share this article