Zoomlion Pamer Jentera Elektrik Termaju dan Penyelesaian Tenaga Bersepadu di bauma CHINA 2026
SHANGHAI, 28 November 2026 /PRNewswire/ -- Zoomlion Heavy Industry Science & Technology Co., Ltd. ("Zoomlion" atau "Syarikat") memperkenalkan rangkaian inovasi jentera elektrik di bauma CHINA 2026, termasuk kren perangkak 300 tan dengan pacuan elektrik teragih terbesar di dunia dan kren pelabuhan bertayar getah elektrik sepenuhnya dalam kelas 55 tan yang pertama di dunia. Syarikat turut mempamerkan jentera elektrik untuk kerja pembinaan konkrit, pengangkutan dan operasi perlombongan, dengan produk tenaga baharu merangkumi separuh daripada lebih 60 produk dan sistem yang dipamerkan.
Bagaimanakah Zoomlion memajukan elektrifikasi jentera?
Portfolio jentera tenaga baharu Zoomlion kini merangkumi tiga segmen industri terasnya, iaitu jentera pembinaan, pertanian dan perlombongan. Syarikat sedang membangunkan pelbagai teknologi bekalan kuasa dan tenaga, termasuk penyelesaian elektrik berkuasa bateri, bekalan kuasa daripada grid, hibrid dan bahan api hidrogen. Pendekatan yang pelbagai ini membolehkan Zoomlion menyediakan jentera dan penyelesaian yang sesuai dengan aplikasi, keadaan operasi dan infrastruktur bekalan kuasa tertentu kepada pelanggan.
Bagaimanakah kren elektrik dapat memenuhi keperluan pengangkatan yang mencabar?
Kren perangkak ZCC3000AEV 300 tan dengan pacuan elektrik teragih Zoomlion dilengkapi pek bateri 400 kWj yang mampu menyokong operasi sekurang-kurangnya 24 jam dengan sekali pengecasan. Sistem pengecasan pantas DC dengan dua penyambungnya membekalkan kuasa pengecasan sehingga 240 kW, membolehkan bateri dicas sepenuhnya dalam masa dua jam. Kren ini juga boleh dicas sambil beroperasi menerusi sistem pengecasan AC, sekali gus membantu meminimumkan tempoh henti operasi sepanjang projek pembinaan yang berpanjangan. Dibangunkan khusus untuk operasi pelabuhan, kren pelabuhan bertayar getah elektrik sepenuhnya dalam kelas 55 tan Zoomlion dilengkapi sistem pacuan berbilang motor dan menyokong operasi selama lebih 24 jam. Kren ini serasi dengan pelbagai alat tambahan, termasuk alat pengendalian pulpa dan pengangkatan elektromagnet, bagi memenuhi pelbagai keperluan pengendalian kargo, di samping menawarkan operasi tanpa pelepasan gas ekzos dan dengan tahap hingar yang rendah.
Su Min, pengurus besar Bahagian Kren Bergerak Zoomlion, berkata: "Permintaan terhadap elektrifikasi di seluruh pasaran global merangkumi pengurangan pelepasan karbon, pengurangan hingar, perlindungan alam sekitar, akses jalan raya, kecekapan operasi dan ketepatan kawalan. Produk kami dibangunkan berlandaskan keperluan khusus ini bagi mengimbangi manfaat jentera yang lebih mesra alam kepada masyarakat secara lebih meluas dengan prestasi operasi sebenar."
Bagaimanakah elektrifikasi menyokong kerja pembinaan konkrit dan pengangkutan?
Trak pam konkrit elektrik sepenuhnya sepanjang 73 meter yang pertama di dunia daripada Zoomlion dilengkapi sistem pacuan berasingan untuk casis dan peralatan pengepaman yang mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan sebanyak lebih 46 peratus. Bateri litium besi fosfat 352 kWj menyediakan jarak pemanduan melebihi 200 kilometer, manakala sistem sambungan palam 120 kW membolehkan operasi menggunakan bekalan kuasa industri 380 V. Bagi pengangkutan konkrit, Zoomlion turut mempamerkan trak pengadun elektrik yang mampu menambah jarak pemanduan sebanyak 50 kilometer dengan pengecasan selama sembilan minit sahaja. Inovasi ini menawarkan fleksibiliti yang lebih besar kepada pelanggan menerusi kuasa bateri, sambungan terus kepada grid dan pengecasan pantas dengan memenuhi keperluan pengangkutan serta operasi di tapak.
Bagaimanakah jentera elektrik dan mikrogrid dapat menyokong operasi perlombongan?
Jengkaut elektrik ZE4000GEL dalam kelas 400 tan yang mendapat bekalan kuasa melalui kabel daripada Zoomlion, direka untuk persekitaran perlombongan yang mencabar, dilengkapi motor elektrik 1,500 kW. Sistem gelendong kabel automatiknya membolehkan operasi berterusan menggunakan bekalan kuasa daripada grid, di samping membolehkan ekskavator bergerak bebas dalam lingkungan operasi 300 meter. Selain jentera elektrik individu, Zoomlion menyepadukan penjanaan, pengagihan dan penggunaan kuasa, penyimpanan tenaga serta infrastruktur pengecasan ke dalam penyelesaian mikrogrid perlombongan. Penyelesaian mikrogrid ini direka untuk menyelaraskan bekalan kuasa dan operasi jentera menerusi platform perlombongan pintar Syarikat.
Zoomlion akan terus memperluas penggunaan jentera elektrik dan penyelesaian tenaga sokongan bagi memenuhi pelbagai kitaran operasi, keadaan bekalan kuasa dan persekitaran pembinaan pelanggan globalnya.
SOURCE Zoomlion


Share this article