Alibaba.com Perkukuh Sokongan kepada PKS Malaysia untuk Memacu Inovasi dan Pengembangan Global
Memperkenalkan Accio serta memperkukuh kerjasama dalam ekosistem tempatan bagi mempercepatkan transformasi digital dan kecemerlangan keusahawanan
KUALA LUMPUR, Malaysia, 20 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Alibaba.com, platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) global terkemuka, telah menganjurkan peringkat akhir pertandingan global startup berasaskan produk, CoCreate Pitch 2026 Malaysia, sempena B2B AI Seller Summit yang dianjurkan bersama MATRADE di Kuala Lumpur. Acara ini menandakan penyertaan sulung Malaysia dalam pertandingan global tersebut, yang turut diperluaskan pada tahun ini ke Korea, Indonesia dan Malaysia. Sidang kemuncak ini mengetengahkan peranan penting kecerdasan buatan (AI), perdagangan digital dan kerjasama rentas industri dalam memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk mengembangkan operasi mereka serta menembusi pasaran antarabangsa. Sambutan luar biasa terhadap edisi sulung ini jelas membuktikan semangat inovasi dan aspirasi keusahawanan yang subur dalam kalangan komuniti PKS Malaysia.
Lebih 2,300 penyertaan telah diterima daripada PKS, startup, usahawan baharu dan pelajar inovator dari seluruh Malaysia, dengan 10 pasukan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir. Selepas proses penjurian, Lettuboost, yang diwakili oleh Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi, Pavithran Julieus Sudhave, muncul sebagai juara; diikuti oleh Global Cerah, yang diwakili oleh Pengasas dan Pengarah Urusan, Willie Ng, di tempat kedua; dan Eartheories, yang diwakili oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Fadz Subari, di tempat ketiga.Tiga pemenang utama akan berpeluang menghadiri CoCreate Global Summit 2026 di London pada November ini. Pertandingan ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 yang diberikan kepada para finalis bagi menyokong fasa pertumbuhan perniagaan mereka yang seterusnya.
"Keusahawanan berasaskan produk hari ini bukan sahaja bergantung kepada kekuatan sesuatu idea, tetapi juga keupayaan untuk mengubah idea tersebut menjadi produk sebenar dan menghubungkannya dengan peluang pasaran global," kata Roger Luo, Head of South and Southeast Asia Business di Alibaba.com. "Di peringkat akhir Malaysia, kami menyaksikan pasukan-pasukan meneroka pendekatan baharu dalam pembangunan produk, termasuk menggunakan AI untuk mengenal pasti pembekal global, mencari rakan pembuatan yang sesuai serta memperkukuh pelan perniagaan mereka. Menerusi CoCreate Pitch 2026, kami berharap dapat membantu PKS dan startup Malaysia mengubah idea menjadi produk yang boleh dipasarkan serta membina perniagaan global yang mampan."
Transformasi Perdagangan dengan Accio
CoCreate Pitch tahun ini menampilkan format yang berteraskan AI, dengan para peserta menggunakan ejen AI Alibaba.com, Accio, untuk membangunkan produk, memperhalusi konsep perniagaan dan menyediakan bahan pembentangan mereka. Selaras dengan perubahan dalam perdagangan global ke arah pembangunan perniagaan berasaskan AI, platform ini membantu pasukan usahawan beroperasi dengan lebih cekap, daripada penyelidikan pasaran dan perancangan produk sehinggalah pencarian pembekal dan usaha mendapatkan pembeli.
Meneruskan momentum ini, Alibaba.com turut melancarkan Accio secara rasmi pada acara tersebut, sekali gus membawa platform AI ejen pintar bertaraf perusahaan itu kepada PKS Malaysia. Lebih daripada sekadar satu set alat, Accio berfungsi sebagai pasukan ejen pintar yang direka untuk membantu mengendalikan operasi perniagaan. Dengan keupayaan menghubungkan platform e-dagang utama dan mengautomasikan operasi kedai melalui rangkaian alat pakar terbina dalam, ia berfungsi sebagai model operasi generasi baharu untuk perdagangan rentas sempadan.
Direka untuk digunakan serta-merta tanpa persediaan yang rumit, platform ini membolehkan PKS mengoptimumkan aliran kerja eksport yang kompleks tanpa memerlukan kemahiran pengaturcaraan atau kepakaran teknikal yang mendalam. Dengan mengubah peranan AI daripada sekadar pembantu kepada rakan operasi yang lebih proaktif, Accio membolehkan perniagaan Malaysia menguruskan proses perniagaan secara menyeluruh dengan lebih autonomi, sekali gus membolehkan usahawan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan inovasi yang lebih strategik.
Membina Ekosistem Tempatan yang Kukuh
Selain itu, Alibaba.com tetap komited untuk membangunkan ekosistem yang kukuh bagi menyediakan perniagaan Malaysia dengan infrastruktur digital dan rangkaian strategik yang diperlukan untuk kejayaan jangka panjang.
Usaha ini diperkukuhkan melalui kerjasama baharu dengan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU). Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan perdagangan digital dan kesiapsiagaan eksport, dengan objektif utama untuk membangunkan sebuah Halal Pavilion khusus di Alibaba.com. Inisiatif ini bertujuan mengetengahkan produk halal Malaysia yang diperakui kepada pembeli antarabangsa, sekali gus meningkatkan pengiktirafan pasaran dan menyokong pengembangan perdagangan yang mampan.
Berteraskan kedudukan Malaysia sebagai peneraju yang diiktiraf dalam ekonomi halal, MATRADE bertekad untuk memperkasa syarikat tempatan agar dapat memanfaatkan peluang di pasaran antarabangsa. MATRADE melihat perdagangan digital sebagai pemangkin penting dalam menghubungkan perniagaan yang bersedia untuk eksport dengan pembeli global, di samping memperkukuh keupayaan operasi serta meningkatkan pendedahan produk Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerjasama dengan Alibaba.com ini merupakan langkah strategik MATRADE untuk meneroka peluang baharu dalam memperkukuh daya saing antarabangsa pengeksport Malaysia, khususnya dalam sektor halal yang terus berkembang.
Melengkapkan usaha ini, UOB Malaysia turut menegaskan semula komitmennya dalam menyokong komuniti perniagaan tempatan. Dengan menggabungkan kepakaran kewangan dan rangkaian serantaunya bersama ekosistem perdagangan digital global Alibaba.com, UOB Malaysia berhasrat menyediakan penyelesaian pembiayaan serta keupayaan digital yang diperlukan oleh PKS untuk mengembangkan operasi mereka dan menjangkau pelanggan global dengan lebih yakin. Secara bersama, kerjasama ini membantu PKS mengharungi kerumitan perdagangan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada landskap perniagaan tempatan yang lebih berdaya tahan dan dinamik.
Digabungkan dengan pelancaran Accio dan kejayaan penganjuran peringkat akhir CoCreate Pitch 2026 Malaysia, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan usaha yang lebih menyeluruh untuk membantu PKS Malaysia menterjemahkan aspirasi kepada tindakan, dengan melengkapkan mereka dengan teknologi, akses pasaran dan rangkaian yang diperlukan untuk mencapai fasa pertumbuhan seterusnya.
Mengenai Alibaba.com
Dilancarkan pada tahun 1999 sebagai perniagaan pertama Alibaba Group, Alibaba.com ialah platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) global yang terkemuka, melayani pembeli dan pembekal dari lebih 200 negara dan wilayah di seluruh dunia. Platform ini menawarkan pelbagai perkhidmatan yang merangkumi setiap aspek perdagangan, termasuk menyediakan alat kepada perniagaan untuk menjangkau pelanggan global bagi produk mereka serta membantu pembeli mencari produk, mengenal pasti pembekal dan membuat pesanan secara dalam talian dengan pantas dan cekap.
Mengenai Accio
Accio ialah pasukan Ejen AI sedia guna yang direka untuk mengautomasikan tugasan perniagaan secara menyeluruh bagi PKS. Dibangunkan khusus untuk kegunaan perniagaan, ia menyokong pelbagai fungsi termasuk penyelidikan pasaran, pencarian sumber dan rundingan, pengurusan kedai, pemasaran serta pemerolehan pelanggan. Accio menggunakan interaksi bahasa semula jadi dan dilengkapi kemahiran perniagaan yang telah tersedia bagi membolehkan pengguna menjalankan tugasan tanpa memerlukan latar belakang teknikal.
Mengenai CoCreate Pitch 2026
CoCreate Pitch ialah pertandingan startup berasaskan produk peringkat global yang dianjurkan oleh Alibaba.com untuk PKS, startup, usahawan baharu dan pasukan startup pelajar dari seluruh dunia. Berteraskan visi "Anyone can create with Alibaba.com", pertandingan ini mengenal pasti produk dan idea perniagaan yang mempunyai inovasi serta potensi pasaran, di samping membantu pasukan yang mengambil bahagian mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran global.
SOURCE Alibaba.com
Share this article