Drama tari 'Odes to Heroes' akhiri siri jelajah Malaysia di Kuala Lumpur
BEIJING, 11 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Laporan berita daripada China.org.cn:
Drama tari berskala besar China, "Odes to Heroes", dihasilkan dan dipersembahkan oleh Guangzhou Song and Dance Theatre, telah dipentaskan sebanyak tiga kali di Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre di Kuala Lumpur dari 25 hingga 26 September, sekali gus menamatkan siri persembahannya di Malaysia.
Sebagai salah satu acara utama sempena "Minggu Budaya Guangzhou 2026" ("2026 Guangzhou Culture Week"), pihak produksi menggabungkan warisan budaya tidak ketara Lingnan dengan kisah masyarakat Cina di luar negara. Berteraskan tarian Chaoshan Yingge, sejenis tarian rakyat Cina tradisional, persembahan itu mengisahkan perjalanan seorang pemuda bernama Chen Xinyuan merentasi masa dan ruang, sambil menggambarkan perjuangan generasi terdahulu masyarakat Chaoshan yang berhijrah ke Asia Tenggara untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Tiga pucuk qiaopi — surat yang dikirim pulang oleh masyarakat Cina di luar negara, yang sering disertakan dengan kiriman wang — menghubungkan mereka yang meninggalkan kampung halaman dengan keluarga masing-masing, manakala sepasang kayu pemukul Yingge menjadi penghubung antara dua generasi. Opera Chao, ukiran kayu Chaozhou, sulaman Chaozhou dan tanglung kertas minyak dijalin ke dalam jalan cerita, sementara rap Teochew dan kesan multimedia membawa unsur budaya tradisional ke pentas kontemporari.
Dewan teater itu dipenuhi penonton, dengan tepukan gemuruh yang berpanjangan selepas persembahan.
Tan Chai Puan, salah seorang pengasas bersama 24 Festive Drums Malaysia, berkata: "Saya menyangka saya hanya akan menyaksikan formasi yang sudah biasa dilihat dan tenaga yang begitu mengagumkan hasil gabungan seni mempertahankan diri dengan tarian. Apa yang tidak saya jangkakan ialah di sebalik semangat kepahlawanan drama tari ini, terselit aliran emosi yang syahdu dan menyentuh perasaan."
Encik Huang, yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menyaksikan persembahan itu, berkata bahawa nenek moyangnya telah berhijrah ke selatan untuk mencari rezeki dan kemudiannya terputus hubungan dengan saudara-mara mereka di China, "namun perasaan bahawa kami masih terikat oleh pertalian darah itu sentiasa kekal."
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia. Dengan sejarah pertukaran budaya dan hubungan sesama rakyat yang menjangkau berabad-abad lamanya, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang erat. "Odes to Heroes" membawa tradisi dan kisah Lingnan kepada penonton Malaysia melalui tarian, sekali gus menyerlahkan kenangan budaya yang dikongsi bersama serta ikatan emosi antara rakyat kedua-dua negara.
Susulan persembahannya di Singapura dan Malaysia, syarikat produksi telah berlepas ke Bangkok, Thailand untuk persinggahan seterusnya dalam siri jelajah mereka.
SOURCE China.org.cn

Share this article