Envision Energy Perkenal Sistem Tenaga Baharu Berkuasa AI untuk Industri Perlombongan dan Peleburan di All Energy Australia
Sistem ini menggabungkan tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan sistem penghantaran tenaga bersepadu bagi menyediakan bekalan elektrik yang andal dan berpatutan serta menyokong penyahkarbonan industri.
MELBOURNE, Australia, 28 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Envision Energy, peneraju global dalam teknologi hijau, memperkenalkan sistem tenaga baharu berkuasa AI untuk industri perlombongan dan peleburan di All Energy Australia. Sistem ini menggabungkan tenaga angin, tenaga solar, penyimpanan tenaga bateri, turbin gas yang menggunakan hidrogen hijau atau ammonia hijau sebagai bahan api, serta sistem penghantaran dan kawalan tenaga bersepadu bagi membantu mengurangkan kos tenaga, memastikan bekalan elektrik yang andal dan mempercepat penyahkarbonan.
Sistem ini menangani cabaran utama dalam sektor perlombongan dan peleburan: Bagaimana membangunkan sistem tenaga baharu hibrid yang mampu menyediakan bekalan elektrik hijau pada kos berpatutan tetapi tetap andal kepada tapak perlombongan terpencil yang mempunyai sambungan grid lemah atau langsung tidak mempunyai sambungan grid?
Pendekatan Envision menyelaraskan penjanaan tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga bateri dan bekalan kuasa sandaran dalam satu sistem tenaga bersepadu. Model asas AI cuaca dan tenaga miliknya, bersama-sama platform AI EnOS, menyokong peramalan penjanaan tenaga boleh baharu dan peramalan permintaan beban, perancangan sistem serta penghantaran tenaga secara masa nyata. Keupayaan-keupayaan ini mengoptimumkan penyelarasan antara penjanaan tenaga, penyimpanan tenaga dan beban perindustrian apabila keadaan cuaca dan operasi berubah, sekali gus membantu mengekalkan kebolehpercayaan bekalan sambil mengurangkan kos tenaga keseluruhan.
Keselamatan dan kebolehpercayaan merupakan aspek penting dalam reka bentuk sistem ini, yang menyokong operasi perlombongan dan peleburan dalam persekitaran bersambung grid, grid lemah dan luar grid. Turbin bersepadu angin-penyimpanan tenaga melancarkan output tenaga angin, manakala penyimpanan tenaga bateri dengan keupayaan pembentukan grid menyokong kestabilan sistem. Rangka kerja perlindungan dan kawalan tujuh lapisan menyelaraskan penghantaran tenaga, kawalan kestabilan, perlindungan dan pemulihan, sekali gus membantu sistem mengurus perubahan beban secara mendadak, mengekalkan operasi luar grid dan memulihkan bekalan selepas gangguan elektrik.
Bagi mengurangkan lagi pelepasan karbon daripada penjanaan kuasa sandaran, Envision turut meneroka penggunaan turbin gas yang menggunakan hidrogen hijau atau ammonia hijau sebagai bahan api untuk menggantikan generator diesel. Keupayaan pengurusan tenaga dan karbon Envision menyokong pengiraan jejak karbon produk serta menyediakan data bagi proses pensijilan hijau. Ini membantu pengeluar memenuhi permintaan pelanggan terhadap mineral dan logam rendah karbon, selain membuktikan prestasi ESG bagi menyokong pembiayaan hijau.
Penawaran Envision merangkumi perancangan, kejuruteraan, pelaksanaan dan operasi berterusan, di samping pilihan pembiayaan. Melalui pengoptimuman sistem mengikut keperluan khusus setiap tapak, sistem tersebut menyasarkan pengurangan kos tenaga keseluruhan sekitar 20%, bahagian penggunaan elektrik daripada sumber boleh baharu melebihi 80% serta tahap kebolehpercayaan bekalan elektrik melebihi 99.95%, bergantung pada sumber tempatan, konfigurasi sistem dan keperluan pengeluaran.
Envision sedang melaksanakan penyelesaian tenaganya merentasi sektor perlombongan dan peleburan, dengan menyesuaikannya mengikut sumber tenaga tempatan dan keperluan operasi. Di wilayah Pilbara, Australia Barat, Envision membekalkan turbin angin untuk Projek Angin Nullagine milik Fortescue, sekali gus menyumbang kepada infrastruktur tenaga boleh baharu yang menyokong strategi Real Zero (Sifar Sebenar) syarikat perlombongan tersebut.
Di Baotou, China, Envision telah mengintegrasikan kuasa angin, penyimpanan tenaga bateri dan beban penggunaan elektrik ke dalam sebuah sistem tenaga bersepadu bagi pengeluaran aloi hijau. Projek tersebut memenuhi lebih 70% daripada keperluan elektriknya menggunakan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida tahunan sebanyak lebih 200,000 tan, sekali gus membuktikan bagaimana tenaga boleh baharu dapat membekalkan tenaga kepada pengeluaran aloi yang menggunakan tenaga secara intensif.
Di All Energy Australia, Envision sedang mengadakan perbincangan dengan pengeluar dalam sektor perlombongan dan peleburan serta rakan kongsi projek bagi membangunkan sistem tenaga baharu berkuasa AI yang disesuaikan dengan sumber tempatan, beban perindustrian dan matlamat penyahkarbonan.
SOURCE Envision Energy

Share this article