JAPAN SUI COLLECTION PARIS MEMPERSEMBAHKAN LINEAGE OF GOLD * LINEAGE OF SILVER, 22-23 OKTOBER 2026
PARIS, 29 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Pada 22 hingga 23 Oktober, Pejabat Kabinet Kerajaan Jepun telah menganjurkan Lineage of Gold * Lineage of Silver, sebuah pameran eksklusif kesenian Jepun daripada Sui Collection di Palais de Chaillot, Paris. Acara tersebut menerima kehadiran lebih 300 tetamu daripada sektor barangan mewah, perniagaan, politik, kebudayaan dan industri kreatif di seluruh Eropah, serta pengumpul seni berpengalaman.
Pameran yang dikurasi oleh penulis dan penerbit kebudayaan terkenal, Mari Hashimoto, itu mempersembahkan kraf tradisional Jepun melalui pendekatan kontemporari yang menonjolkan emas dan perak, dua logam yang sangat bernilai dengan ciri tersendiri yang jelas berbeza.
Menghimpunkan objek berharga dari seluruh Jepun, karya yang dipamerkan dalam Lineage of Gold * Lineage of Silver merangkumi koleksi galeri dan institusi serta arkib bengkel kraf tradisional, sekali gus mencerminkan amalan dan tradisi yang menyumbang kepada kekayaan landskap budaya dan sejarah Jepun.
Kira-kira 60 hasil seni dan pertukangan Jepun dipamerkan. Pameran tersebut menampilkan barangan lakuer, hasil kerja logam, seramik, tekstil dan seni pembuatan pedang. Lineage of Gold * Lineage of Silver memperkenalkan teknik dan tradisi yang kurang dikenali seperti kirikane (teknik hiasan menggunakan kepingan emas dan perak untuk menghiasi patung serta lukisan Buddha) dan kinkarakami (teknik timbul bersalut emas).
Para tetamu tertarik dengan karya tekstil, seramik dan hiasan kepingan emas, serta objek yang dihasilkan menggunakan teknik yang sangat rumit. Antaranya termasuk tali anyaman Kumihimo-Nara-gumi hasil karya Dōmyō. Antara pelbagai teknik yang digunakan untuk menghasilkan tali tersebut termasuk pemintalan, penganyaman, penenunan dan pelbagai bentuk jahitan tersembunyi.
Selain itu, tali pinggang obi bersulam hasil karya Kondaya Genbei turut mendapat sambutan. Berakar umbi daripada tradisi purba mengikat tubuh dan konsep Yorishiro dalam kepercayaan Shinto, obi dianggap sebagai wadah kehadiran ketuhanan, dan Kondaya Genbei terus memelihara warisan ini melalui penggunaan bahan inovatif serta kemahiran seni.
Selain karya bersejarah, para tetamu turut tertarik dengan karya yang lebih kontemporari, seperti Remnant: Stone oleh Terumasa Ikeda. Karya yang memukau dan bersifat halus ini menggabungkan seni pertukangan tradisional raden Jepun dengan motif futuristik berinspirasikan digital, menerusi tatahan cangkerang berkilauan serta angka dan garisan halus yang dipotong menggunakan laser pada permukaan lakuer yang sangat nipis.
Para tetamu turut dihidangkan pelbagai sajian istimewa Jepun, termasuk sashimi ikan yellowtail yang diawet dengan kombu dan sushi gulung hosomaki berkaviar, yang disediakan oleh restoran kontemporari terkenal L'Abysse Paris di bawah seliaan Yannick Alléno, tokoh terkemuka dalam gastronomi Perancis moden, dan Yasunari Okazaki, cef sushi Jepun yang inovatif.
Karya-karya tersebut diserlahkan menerusi instalasi seni cahaya yang membangkitkan suasana mempesonakan, hasil ciptaan pereka pencahayaan tersohor Akari-Lisa Ishii dan Motoko Ishii. Instalasi itu mentransformasikan ruang galeri yang dikenali sebagai La Cathédrale dan menyerlahkan objek pameran melalui gabungan bayang-bayang serta suasana yang diatur dengan teliti.
Masaya Kitao, Penasihat Sekretariat Kabinet, menyampaikan ucapan bagi pihak Kerajaan Jepun dengan berkata: "JAPAN SUI COLLECTION bukan sekadar pameran hasil ciptaan yang indah dan menakjubkan. Ia merupakan suatu perjalanan untuk menemukan keindahan dan keanggunan yang tersembunyi di seluruh Jepun, serta mencipta bentuk nilai baharu bersama anda. Kraf tradisional dan sajian yang anda lihat serta nikmati hari ini hanyalah sebahagian kecil daripada kekayaan warisan tersebut. Kisah sebenar sesuatu hasil kraf Jepun bermula apabila ia berada dalam tangan seseorang yang benar-benar memahami nilainya. Setiap pemilik menambah lembaran baharu dalam sejarahnya. Dengan cara ini, objek itu sendiri dapat menjadi sumber nilai baharu. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk memelihara dan mewariskan semangat serta kemahiran pertukangan tradisi ini, membolehkannya berinteraksi dengan budaya lain dan menemukan bentuk keharmonian baharu tanpa kehilangan intipati asalnya."
Para tetamu terpukau dengan persembahan penari Jepun terkenal, Min Tanaka, yang dikenali menerusi karya tarian aslinya yang meneroka tubuh dan pergerakan melalui improvisasi.
Sui Collection ialah inisiatif Pejabat Kabinet Kerajaan Jepun yang bertujuan memperkenalkan kesenian Jepun yang unggul serta hasil ciptaan unik dari seluruh negara. https://japan-sui-collection.go.jp/
Akan Datang: JAPAN SUI COLLECTION di KYOTO
Tarikh: 7 - 8 November 2026
Tempat:Kyoto State Guest House, Kyoto, Jepun (atas jemputan sahaja)
Dianjurkan oleh: Pejabat Kabinet, Kerajaan Jepun
Untuk mengakses kit media lengkap dan imej tambahan, sila gunakan pautan berikut: DI SINI




Share this article