LiuGong Himpunkan Rakan Kongsi Global bagi Membentuk Masa Depan Lebih Hijau dan Pintar pada Persidangan Pengedar Global 2026
LIUZHOU, China, 13 November 2026 /PRNewswire/ -- Persidangan Pengedar Global LiuGong (000528.SZ) 2026 dan Hari Pelanggan Global 11•26 telah berlangsung di Liuzhou, China, dari 10 hingga 12 November dengan tema "E-Intelligence, Empowering Tomorrow" (Kepintaran Elektrik, Memperkasa Hari Esok). Kira-kira 2,000 pengedar dan pelanggan dari seluruh dunia berhimpun untuk meneroka peluang dalam industri peralatan pembinaan serta mengetahui perkembangan terkini LiuGong dalam inovasi teknologi, pembangunan perniagaan global dan kemampanan.
Acara itu bermula pada 10 November dengan upacara di luar bangunan dan demonstrasi peralatan yang dinamik. Zheng Jin, Pengerusi LiuGong, menyampaikan ucapan pembukaan dengan mengimbau perkembangan LiuGong serta menegaskan semula komitmen syarikat untuk memenuhi keperluan pelanggan melalui inovasi, memajukan industri menerusi penyelesaian hijau dan pintar serta memperkukuh kerjasama di seluruh dunia.
Sebanyak 210 jentera dipamerkan, termasuk 96 jentera tenaga baharu, merangkumi lapan sektor aplikasi: perlombongan, pengkuarian dan agregat, pembinaan jalan raya, projek perbandaran, infrastruktur, operasi perindustrian, pertanian dan perhutanan serta minyak dan gas. Sebelas jentera memperagakan operasi perlombongan bersepadu dalam tujuh senario, sekali gus menyerlahkan penggunaan terselaras peralatan elektrik, autonomi dan kawalan jauh dalam persekitaran yang mencabar. Sebanyak 16 jentera lagi disediakan untuk pengalaman pengendalian secara langsung.
Tahun 2026 turut menandakan ulang tahun ke-60 jentera pemuat beroda LiuGong. Sejak membangunkan jentera pemuat beroda pertama China pada 1966, LiuGong terus memajukan produk dan teknologinya. Pada tahun ini, jentera pemuat beroda T-Series syarikat menerima Anugerah Red Dot 2026: Reka Bentuk Produk, sekali gus menandakan kemenangan Anugerah Red Dot ketiga syarikat.
Pada 11 November, persidangan itu memberikan tumpuan kepada strategi korporat dan pembangunan perniagaan. Pasukan pengurusan LiuGong membentangkan perkembangan prestasi keseluruhan perniagaan dan operasi luar negara syarikat, menilai kemajuan pada 2026 serta menggariskan keutamaan bagi pertumbuhan masa depan. Pada separuh pertama 2026, hasil luar negara LiuGong mencapai paras tertinggi dalam sejarah bagi tempoh setengah tahun, merangkumi lebih 50% daripada jumlah hasil syarikat. Pada masa hadapan, LiuGong akan terus melaksanakan strategi dua pemacunya, iaitu pengglobalan dan elektrifikasi, dengan tumpuan kepada inovasi produk, keupayaan perkhidmatan, kecekapan penghantaran dan penyetempatan.
Kemampanan merupakan satu lagi tumpuan utama. Melalui komitmen Green Alliance, LiuGong bersama pengedar dan rakan kongsi globalnya menegaskan semula usaha bersama mereka ke arah masa depan yang lebih mampan. Persidangan itu turut menampilkan pelancaran produk tenaga baharu, sesi kumpulan pemikir industri elektrifikasi serta forum selari yang meneroka teknologi hijau, aplikasi pintar dan peluang pasaran. Majlis penyampaian anugerah mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang, sekali gus memperkukuh penglibatan dalam rangkaian global LiuGong.
Semasa persidangan itu, LiuGong bersama pengedar dan pelanggan globalnya menandatangani surat hasrat yang mencatatkan paras tertinggi baharu dalam sejarah, mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap produk dan penyelesaian LiuGong serta komitmen rakan kongsi globalnya.
Sejak menganjurkan Persidangan Pengedar Global pertamanya pada 2004, LiuGong terus menjadikan acara tahunan itu sebagai platform untuk memperkukuh hubungan dengan rangkaian pengedar globalnya. Tarikh 26 November menandakan ulang tahun penubuhan LiuGong, manakala Hari Pelanggan Global 11•26 meraikan komitmen berterusan syarikat terhadap pelanggan dan rakan kongsinya.
Melangkah ke hadapan, LiuGong akan terus memacu transformasi hijau dan pintar dalam industri melalui inovasi, memperkukuh kerjasama global serta menyediakan produk dan penyelesaian yang berdaya saing kepada pelanggan di seluruh dunia.
SOURCE LiuGong



Share this article