Pelajar Perak Juara Samsung Solve for Tomorrow 2026 dengan Inovasi untuk Individu Cacat Penglihatan
Lima pasukan finalis mengetengahkan penyelesaian inovatif berteraskan STEM, menyerlahkan keupayaan generasi muda Malaysia dalam menyelesaikan masalah dan mencetus perubahan
KUALA LUMPUR, Malaysia, 27 Oktober 2026 /PRNewswire/ -- Samsung Malaysia Electronics menobatkan Pasukan InnovateZ sebagai juara keseluruhan Samsung Solve for Tomorrow 2026. Pasukan ini berjaya mengatasi empat pasukan finalis lain menerusi projek TheVisionSense, sebuah penyelesaian inovatif yang direka menggunakan penderia LiDAR dan ultrabunyi untuk mengesan halangan serta memberikan amaran audio masa nyata, sekali gus membantu individu yang baru mengalami masalah penglihatan bergerak dengan lebih selamat dan berdikari.
Pertandingan ini menggalakkan pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun memanfaatkan kreativiti, pemikiran kritis dan teknologi untuk membangunkan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran dunia sebenar dalam komuniti mereka.
Selepas melalui proses penilaian yang teliti, 10 pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir, di mana mereka memperhalusi idea, membangunkan prototaip dan menyertai Bengkel Pemikiran Reka Bentuk. Lima pasukan finalis kemudiannya mara ke Grand Finale, di mana mereka membentangkan penyelesaian masing-masing di hadapan barisan juri terkemuka.
Selaku juara, Pasukan InnovateZ menerima produk Samsung bernilai sehingga RM47,000. Pasukan ini muncul sebagai pemenang selepas berjaya menarik perhatian barisan juri menerusi kreativiti, penerapan prinsip STEM serta potensi untuk memberikan impak bermakna kepada komuniti.
Mengulas mengenai kejayaan mereka, Pasukan InnovateZ dari MRSM Bagan Datuk berkata, "Kami berasa sangat gembira kerana berjaya meraih tempat pertama, terutamanya selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang perjalanan ini. Kami jarang mendengar tentang penyelesaian untuk individu yang mengalami masalah penglihatan, dan perkara itu telah memberi inspirasi kepada kami untuk menghasilkan set kepala ini bagi membantu mereka. Akhirnya berjaya mencapai apa yang telah kami usahakan selama ini membuatkan kami rasa segala kerja keras kami benar-benar berbaloi. Kami berharap generasi akan datang akan tampil dengan lebih banyak idea yang menarik dan berimpak, serta membantu menjadikan Malaysia lebih dikenali di seluruh dunia menerusi teknologi dan inovasi."
Hadiah Kedua dimenangi oleh Pasukan iSafePath menerusi iSafePath 2.0, sebuah platform keselamatan jalan raya adaptif yang menggunakan pengesanan masa nyata dan amaran dua hala untuk membantu pejalan kaki dan pemandu melalui lintasan berisiko tinggi dengan lebih selamat. Pasukan ini menerima produk Samsung bernilai sehingga RM30,000.
Pasukan Replast meraih Hadiah Ketiga menerusi Replast, sebuah penyelesaian mesra alam yang mengubah sisa plastik kitar semula menjadi bata tahan lasak dan kalis air untuk pembinaan yang lebih mampan. Pasukan ini menerima produk Samsung bernilai sehingga RM19,000.
Hadiah Keempat dianugerahkan kepada Pasukan EcoTerraNitro menerusi EcoTerraNitro, dengan produk Samsung bernilai sehingga RM10,000, manakala Pasukan Primates meraih Hadiah Kelima menerusi idea mereka, Primates, dan membawa pulang produk Samsung bernilai sehingga RM8,000.
Menginspirasi Generasi Muda Malaysia untuk 'Start with CAN'
Dianjurkan oleh Samsung Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya, Samsung Solve for Tomorrow 2026 meneruskan misinya untuk memperkasa generasi muda Malaysia menjadi pencetus perubahan menerusi pendidikan STEM.
Program ini menerima 106 penyertaan daripada 424 pelajar di seluruh negara merangkumi empat tema: Kelestarian Alam Sekitar, Sukan dan Teknologi, Kesihatan serta Pendidikan.
Agnes Wong, Ketua Pemasaran Korporat, Samsung Malaysia Electronics, berkata, "Di Samsung, Kami percaya inovasi bermula dengan keyakinan untuk bertanya, mencabar andaian dan mengambil tindakan. Kami amat berbangga dengan pencapaian para inovator muda ini dan berharap dapat melihat mereka terus berkembang sebagai pencetus perubahan pada masa hadapan."
Profesor Madya Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, berkata, "Kualiti idea yang dibentangkan pada tahun ini mencerminkan bakat, kreativiti dan keazaman generasi muda Malaysia. Menerusi Solve for Tomorrow, para pelajar memperoleh pengalaman praktikal yang berharga dalam mengaplikasikan pengetahuan STEM untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar, di samping membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi inovator dan pencetus perubahan pada masa hadapan."
Menerusi Samsung Solve for Tomorrow, para pelajar memperoleh pengalaman praktikal dalam mengenal pasti cabaran, membangunkan idea dan menghasilkan prototaip. Program ini terus melengkapkan generasi muda Malaysia dengan kemahiran, bimbingan dan peluang yang diperlukan untuk menterjemahkan idea berani kepada impak bermakna dalam dunia sebenar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Samsung Solve for Tomorrow, sila layari: https://www.samsung.com/my/solvefortomorrow/
SOURCE Samsung Malaysia Electronics


Share this article