PENGUMUMAN OLEH JINGYE STEEL CO., LTD.
SHIJIAZHUANG, China, 26 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- Jingye Steel Co., Ltd. (selepas ini dirujuk sebagai "Jingye") dengan ini mengeluarkan pengumuman berikut berhubung pengambilalihan sepenuhnya British Steel oleh Kerajaan UK menjadi milik negara:
Lima tahun lalu, ketika British Steel berada di ambang ketidakmampuan membayar hutang, Jingye mengambil tindakan tegas untuk campur tangan. Dalam tempoh hanya setahun, Jingye berjaya menamatkan kerugian yang dialami selama sembilan tahun berturut-turut. Sepanjang lima tahun lalu, Jingye telah membuat pelaburan besar untuk menaik taraf barisan pengeluaran, membawa semula operasi yang sebelum ini disumberluarkan untuk dilaksanakan secara dalaman dan memulihkan relau bagas. Pada kemuncaknya, ia menggaji 4,887 pekerja, menyokong kira-kira 30,000 pekerjaan dalam sektor huluan dan hiliran, serta membayar secara kumulatif sebanyak £1.025 bilion dalam bentuk gaji dan pencen, selain £180 juta dalam bentuk cukai. Meskipun berdepan cabaran berterusan akibat pandemik COVID-19, Brexit, perang Rusia-Ukraine dan krisis tenaga, Jingye tetap berpegang pada komitmennya dengan terus mewujudkan nilai untuk British Steel dan masyarakat Britain menerusi tindakan konkrit, sekali gus menunjukkan tanggungjawab dan komitmen sebuah perusahaan China.
Pada Julai 2026, dengan alasan "kepentingan awam", Kerajaan UK menggubal undang-undang darurat untuk mengambil alih sepenuhnya aset Jingye di UK menjadi milik negara, tanpa memberikan pampasan yang adil sehingga kini.
Pada 10:27 malam waktu Beijing, 21 Julai, Jingye mengeluarkan kenyataan rasmi di peringkat global yang mengemukakan fakta serta pendiriannya yang tegas dan jelas. Dalam tempoh hanya beberapa jam, lebih 1,200 saluran media arus perdana di seluruh dunia menerbitkan semula kenyataan itu sepenuhnya, merangkumi lebih 45 negara, termasuk Amerika Syarikat, UK, Perancis, Jerman dan Jepun, sekali gus menarik perhatian antarabangsa pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Jingye menghormati pelaksanaan hak sesebuah negara oleh semua negara selaras dengan undang-undang. Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa tindakan Kerajaan UK untuk meletakkan pelaburan asing yang sah di bawah pemilikan negara menerusi undang-undang darurat — tanpa rundingan atau pampasan terlebih dahulu — adalah tidak selaras dengan konsensus antarabangsa secara meluas mengenai pemberian pampasan bagi pengambilalihan harta, serta menjejaskan prinsip asas keadilan dan kepercayaan bersama yang mendasari hubungan pelaburan antarabangsa. Amalan sedemikian mungkin memberikan kesan jangka panjang terhadap keyakinan pelabur global terhadap iklim pelaburan UK.
Jingye sekali lagi menggesa Kerajaan UK supaya mengakui dan melaksanakan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, menghormati fakta objektif, menunaikan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang dan memberikan pampasan dengan segera, mencukupi dan berkesan bagi semua kerugian yang ditanggung Jingye. Perkara itu merupakan tahap minimum yang sewajarnya diberikan kepada sebuah perusahaan yang bertanggungjawab, dan lebih penting lagi, suatu langkah yang perlu bagi mempertahankan piawaian asas yang mendasari aturan undang-undang antarabangsa.
Jingye akan dengan tegas menggunakan semua saluran undang-undang yang diperlukan untuk melindungi hak dan kepentingan pelaburannya yang sah.
Jingye Steel Co., Ltd.
25 Ogos 2026
(Nota: Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan antara teks asal dalam bahasa Cina dengan terjemahan ini, teks asal bahasa Cina hendaklah diguna pakai.)
SOURCE Jingye Steel Co., Ltd.
Share this article