Yidan Prize 2026 iktiraf pencetus perubahan yang taktif semula pendidikan dan penjagaan di persimpangan antara kesihatan, pemakanan dan ekonomi
HONG KONG, 4 September 2026 /PRNewswire/ -- Yidan Prize Foundation, sebuah pertubuhan filantropi global, mengumumkan penerima Yidan Prize 2026 pada sidang media di Hong Kong hari ini, sekali gus menandakan tahun ke-10 anugerah itu memperjuangkan pencetus perubahan dalam bidang pendidikan di seluruh dunia. Dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan dan Kemahiran OECD, Andreas Schleicher, Jawatankuasa Penilai bebas memilih Profesor Paul W. Glewwe sebagai penerima Yidan Prize for Education Research 2026 (untuk Penyelidikan Pendidikan 2026) kerana menerobos halangan terhadap pembelajaran dengan membentuk dasar dan intervensi yang berkesan menerusi penyelidikan yang teliti, sekali gus menyerlahkan potensi kanak-kanak dalam komuniti rentan dan membuka laluan ke arah masa depan yang lebih sihat dan lebih makmur. Jawatankuasa itu turut memilih Profesor Susan P. Walker, Profesor Sally Grantham-McGregor dan Dr Susan M. Chang-Lopez sebagai Penerima Yidan Prize for Education Development 2026 (untuk Pembangunan Pendidikan 2026) kerana membangunkan model pendidikan awal kanak-kanak berasaskan bukti yang mentransformasikan perkembangan dan trajektori kehidupan kanak-kanak dalam komuniti yang kekurangan sumber, kehilangan tempat tinggal dan masyarakat peribumi.
Penerima bagi setiap anugerah masing-masing akan menerima HK$30 juta (kira-kira AS$3.8 juta), yang terdiri daripada hadiah wang tunai sebanyak HK$15 juta dan dana projek tanpa sekatan sebanyak HK$15 juta bagi memajukan usaha serta memperluas jangkauan mereka. Sejak 2017, Yidan Prize Foundation telah menganugerahkan sejumlah HK$600 juta (kira-kira AS$77 juta) kepada 25 penerima bagi menyokong usaha mereka di hampir 60 negara dan wilayah.
"Usaha dan impak kolektif daripada para penerima anugerah kami sepanjang dekad lalu telah menjadikan Yidan Prize sebagai panduan yang menerangi laluan ke hadapan dalam bidang pendidikan global. Setiap penerima memperkukuh komitmen ini, membawa idea transformatif dan memperluas cara kita membentuk masa depan pendidikan," kata Dr Charles CHEN Yidan, Pengasas Yidan Prize.
Yidan Prize mengiktiraf pencetus perubahan yang usahanya berorientasikan masa hadapan, inovatif, transformatif dan mampan. Pencalonan bagi Yidan Prize 2027 akan dibuka mulai 27 Oktober 2026 hingga 2 Mac 2027.
Mengetengahkan pendekatan yang berkesan dan menerobos halangan terhadap pembelajaran kanak-kanak pada skala besar
Paul W. Glewwe, Profesor Regents di Jabatan Ekonomi Gunaan, University of Minnesota, dianugerahkan Yidan Prize for Education Research 2026 kerana menunjukkan bagaimana faktor sosioekonomi, kesihatan dan pemakanan di luar input tradisional dalam persekitaran sekolah mempengaruhi hasil pembelajaran kanak-kanak. Beliau memainkan peranan penting dalam memperkenalkan petunjuk literasi, numerasi dan penaakulan abstrak bagi kanak-kanak serta ibu bapa dalam tinjauan isi rumah Bank Dunia, sekali gus membolehkan penggubal dasar memahami dengan lebih baik hubungan antara kemiskinan, ketidaksamaan dan pendidikan. Beliau turut mempelopori penggunaan ujian terkawal rawak (RCT) untuk menilai keberkesanan program dan dasar pendidikan, sekali gus membantu kerajaan dan organisasi pembangunan menyalurkan sumber kepada pendekatan yang terbukti meningkatkan pembelajaran. Selain itu, beliau merupakan antara ahli ekonomi pertama yang menerapkan kemahiran sosial-emosi dalam analisis ekonomi berhubung pendidikan dan pembangunan. Penyelidikan inovatif beliau di lebih 15 negara membangun telah membentuk dasar dan amalan pendidikan di seluruh dunia.
Dr Elizabeth M. King, Ketua Panel Penilai, Yidan Prize for Education Research, menekankan kepentingan usaha Paul. Beliau berkata: "Transformasi sistem dan hasil pendidikan berlaku apabila ketelitian saintifik tanpa kompromi digandingkan dengan komitmen teguh untuk membawa perubahan dalam kehidupan orang ramai. Selama hampir 40 tahun, Paul Glewwe telah menyediakan ketelitian itu. Beliau telah memberikan kepada kerajaan bukti yang diperlukan untuk berbelanja dengan bijak, kepada guru dengan alat yang diperlukan untuk mengajar dengan berkesan, dan kepada jutaan kanak-kanak rentan dengan peluang untuk belajar, berkembang maju serta membebaskan diri daripada perangkap kemiskinan antara generasi."
Menyokong ibu bapa dan penjaga dalam tahun-tahun paling kritikal perkembangan kanak-kanak
Profesor Susan P. Walker, Profesor Sally Grantham-McGregor dan Dr Susan M. Chang-Lopez diiktiraf menerusi Yidan Prize for Education Development 2026 atas intervensi awal kanak-kanak berasaskan bukti mereka, Reach Up. Mereka masing-masing merupakan Profesor Emeritus Pemakanan di Caribbean Institute for Health Research, The University of the West Indies; Profesor Emeritus Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak Antarabangsa di University College London; dan Pensyarah Kanan di Caribbean Institute for Health Research, The University of the West Indies. Setelah memulakan kerjaya penyelidikan mereka dalam bidang kesihatan dan pemakanan, mereka menemui peranan penting rangsangan awal dan interaksi berkualiti dalam perkembangan serta trajektori kehidupan. Berdasarkan bukti ini, mereka membangunkan penyelesaian praktikal untuk meningkatkan keupayaan penjaga bagi menyediakan rangsangan menyediakan rangsangan dari umur 0 hingga 4 tahun. Dengan menggunakan aktiviti kos rendah yang boleh disesuaikan mengikut budaya dan berteraskan rutin harian, Reach Up menyokong penjaga dalam membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan mereka untuk bertutur, bermain dan memberikan respons dengan cara yang dapat memupuk perkembangan kognitif kanak-kanak. Kini, program itu dilaksanakan di lebih 21 negara di Caribbean, Amerika Latin, Asia, Afrika dan Timur Tengah menerusi sistem kesihatan, perlindungan sosial, pendidikan dan kemanusiaan sedia ada. Kurikulum dan bahan Reach Up disediakan secara percuma serta dinilai dan disesuaikan secara berterusan bagi meningkatkan keberkesanan program tersebut.
Dorothy K. Gordon, Ketua Panel Penilai, Yidan Prize for Education Development, memuji sumbangan para penerima terhadap pendidikan awal kanak-kanak. Beliau berkata: "Reach Up mempersiapkan kanak-kanak dengan peluang yang lebih baik untuk memperoleh permulaan yang setara dalam pembelajaran, pendidikan dan kehidupan. Para penerima telah menunjukkan bagaimana perubahan berkekalan boleh dicapai menerusi gabungan antara bukti, kerjasama dan kepimpinan tempatan. Impak global yang amat besar daripada usaha mereka berkaitan dengan kualiti dan ketelitian penyelidikan pelbagai disiplin mereka yang merintis pembaharuan, digabungkan dengan himpunan kaedah intervensi yang dirangka dengan baik."
Membentuk masa depan pembelajaran di Sidang Kemuncak Yidan Prize 2026
Para penerima anugerah 2026 akan menyertai tiga hari perbincangan yang merangsang pemikiran di Sidang Kemuncak Yidan Prize di Hong Kong mulai 3 hingga 5 Disember 2026. Lanjutan daripada perbincangan tahun lalu mengenai masa depan pendidikan di persimpangan, Sidang Kemuncak Yidan Prize 2026 akan mengetengahkan satu perubahan yang sedang berlaku: melihat pendidikan bukan sekadar sebagai suatu tempat, tetapi sebagai daya penggerak bagi ekosistem yang berkembang maju, berteraskan hubungan sesama insan, penciptaan dan pembelajaran mendalam dalam era AI. Majlis Anugerah Yidan Prize 2026 akan berlangsung pada hari terakhir, apabila para penerima 2026 akan menerima anugerah mereka.
Nota kepada editor
Muat turun imej penerima Yidan Prize 2026 dan hakim Yidan Prize di sini.
Baca petikan penuh daripada Dr Elizabeth M. King, ketua panel penilai Yidan Prize for Education Research.
Baca petikan penuh daripada Dorothy K. Gordon, ketua panel penilai Yidan Prize for Education Development.
Latar Belakang Yidan Prize Foundation
Yidan Prize ialah pengiktirafan tertinggi di dunia dalam bidang pendidikan yang mengetengahkan inovator dengan usaha penyelidikan dan pembangunan yang mengubah kehidupan serta masyarakat. Yidan Prize terdiri daripada dua kategori anugerah: Yidan Prize for Education Research dan Yidan Prize for Education Development. Setiap anugerah merangkumi pingat emas dan jumlah keseluruhan sebanyak HK$30 juta — separuh daripadanya ialah hadiah wang tunai sebanyak HK$15 juta, manakala separuh lagi ialah dana projek tanpa sekatan sebanyak HK$15 juta untuk membantu penerima memajukan misi mereka.
Ditubuhkan pada 2016, Yidan Prize Foundation berusaha ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik menerusi pendidikan. Berpaksikan para penerima anugerahnya, yayasan ini menghimpunkan komuniti global yang terdiri daripada pencetus perubahan — penyelidik, pengamal, penggubal dasar dan dermawan — yang saling belajar antara satu sama lain, memperjuangkan piawaian kecemerlangan bersama, membantu membentuk agenda bidang ini dan mempercepat perubahan pada skala besar.
Untuk maklumat lanjut, layari yidanprize.org atau hubungi [email protected].
Ikuti kami @yidanprize di Facebook, Instagram, X, dan LinkedIn.
SOURCE Yidan Prize Foundation
Share this article