KPJ Healthcare dan SingHealth Meterai Kerjasama Strategik bagi Memperkukuh Keupayaan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan
JOHOR BAHRU, Malaysia, 5 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare") melakar permulaan sebuah jalinan strategik bersama SingHealth, kumpulan penjagaan kesihatan terbesar dan terkemuka di Singapura, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman ("MoU") yang membentuk rangka kerja jangka panjang untuk kolaborasi dalam inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan dan simulasi perubatan.
Kerjasama ini menggabungkan rangkaian hospital pakar KPJ Healthcare di seluruh negara serta sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia, iaitu KPJ Health System ("KPJHS"). SingHealth, yang menempatkan rangkaian bersepadu hospital akut, hospital komuniti, pusat pakar kebangsaan dan poliklinik yang menyediakan penjagaan merentasi lebih 40 bidang kepakaran klinikal dan pembedahan, merupakan salah satu kluster penjagaan kesihatan akademik yang tersohor di Asia.
Berteraskan kekuatan yang saling melengkapi serta komitmen bersama terhadap kecemerlangan klinikal, kedua-dua organisasi ini akan berganding tenaga untuk membangunkan bakat penjagaan kesihatan, memacu penyelidikan dan inovasi, memperkukuh keupayaan pakar serta menggalakkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik.
Dalam ucapannya di majlis tersebut, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJHS serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation ("JCorp") berkata, "Cabaran terbesar dalam penjagaan kesihatan tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana institusi secara bersendirian. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kita untuk saling belajar daripada satu sama lain, bersama membangunkan bakat penjagaan kesihatan masa hadapan dan memajukan inovasi yang akhirnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit. Nilai sesebuah kerjasama itu bukan ditentukan oleh dokumen yang kita tandatangani, tetapi oleh masa hadapan yang kita pilih untuk bina bersama."
Prof. London Lucien Ooi, Pengarah Kumpulan bagi Kerjasama Antarabangsa, Pengarah Institut Kesihatan Global SingHealth Duke-NUS dan Perunding Kanan di Jabatan Hepatopankreatobiliari/Pembedahan Transplan di Hospital Besar Singapura dan Pusat Kanser Kebangsaan Singapura menambah, "Pemeteraian Memorandum Persefahaman ini mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan dan simulasi perubatan demi manfaat masyarakat. Ia mewujudkan satu rangka kerjasama dalam beberapa bidang berkepentingan bersama termasuk inovasi penjagaan kesihatan, simulasi, pendidikan dan penyelidikan."
MoU ini membentuk landasan jangka panjang untuk kolaborasi yang merentasi bidang-bidang strategik seperti Pendidikan Klinikal dan Pembangunan Tenaga Kerja, Penyelidikan dan Inovasi, Kerjasama Klinikal, Kesihatan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) serta Perkongsian Ilmu. Bidang-bidang ini akan menyokong pertukaran kepakaran, memperkukuh keupayaan pakar, menggalakkan kerjasama multidisiplin serta membuka peluang baharu dalam inovasi yang memberi manfaat kepada pesakit dan warga profesional dalam penjagaan kesihatan.
Antara inisiatif awal yang akan dilaksanakan termasuk program fellowship, penempatan pakar, pertukaran akademik, penyelidikan bersama, penerbitan saintifik, persidangan, pembangunan kepimpinan penjagaan kesihatan, simulasi perubatan serta pengurusan bersama kes klinikal yang kompleks.
Bagi KPJ Healthcare, kerjasama ini menyokong usaha berterusan untuk memajukan KPJ Health System dengan mempercepatkan integrasi empat tonggak utamanya iaitu Amalan, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi, menerusi perkongsian antarabangsa yang strategik. Inisiatif ini akan dipacu melalui Future Health Institute ("FHI"), platform strategik yang menyatukan keempat-empat tonggak ini serta memudahkan kerjasama dengan rakan akademik dan klinikal terkemuka di serata dunia.
Majlis pertukaran dokumen MoU ini telah berlangsung di Johor Specialist Hospital. Profesor Dato' Dr Hanafiah Harunarashid, Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare telah menyempurnakan acara ini bagi pihak KPJ Healthcare bersama Prof. London Lucien Ooi yang mewakili SingHealth. Pertukaran tersebut disaksikan oleh Dr Nik Fawaz Nik Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi (Operasi Kesihatan Bersekutu dan Peruncitan Kumpulan), KPJ Healthcare serta Vijaya Rao, Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa di SingHealth.
Untuk maklumat lanjut mengenai KPJ Healthcare, sila layari https://kpjhealth.com.my/
Mengenai KPJ Healthcare Berhad
KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di seluruh Malaysia dan empat Ambulatory Care Centre, yang menerima lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun dengan sokongan 1,491 perunding perubatan. Sembilan belas hospital diiktiraf oleh MSQH dan empat oleh JCI. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang membangunkan Academic Health System, KPJHS menggabungkan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi bagi memacu kecemerlangan klinikal dan meningkatkan pengalaman pesakit. Selain rangkaian hospitalnya, KPJ Healthcare turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), pusat dialisis dan klinik bergerak di seluruh negara, serta menawarkan lebih 40 program akademik melalui KPJ Healthcare University (KPJU). KPJ Healthcare juga merupakan konstituen Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good sejak 2016.
SOURCE KPJ Healthcare Berhad
Share this article