KPJ Healthcare Lancar Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi Pertama di bawah KPJ Health System
BUKIT MERTAJAM, Malaysia, 3 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan") hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi yang pertama di KPJ Penang Specialist Hospital ("KPJ Penang"), sekali gus menjadi pusat kecemerlangan ketiga di bawah KPJ Health System ("KPJHS"). Sebagai sistem kesihatan akademik bersepadu swasta pertama di Malaysia, Kumpulan terus memperkukuh perkhidmatan rawatan penjagaan muskuloskeletal dan sendi melalui integrasi Amalan Klinikal, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi.
Ditubuhkan bagi menyokong pengurusan kes yang kompleks, Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi ini menghimpunkan pelbagai subkepakaran ortopedik, reumatologi kepakaran multidisiplin serta perkhidmatan rehabilitasi dalam satu model penjagaan yang terselaras. Dengan menempatkan perkhidmatan konsultasi, kemudahan pengimejan diagnostik, bilik rawatan dan perkhidmatan rehabilitasi ortopedik berteknologi tinggi di satu aras yang sama, pusat ini menawarkan perjalanan rawatan yang lebih lancar kepada pesakit, bermula daripada diagnosis hingga ke fasa rehabilitasi dan pemulihan. Perkhidmatan komprehensif yang disediakan merangkumi ortopedik am, pembedahan tulang belakang, artroplasti (pembedahan penggantian sendi), artroskopi dan pembedahan sukan, pembedahan kaki dan buku lali, pembedahan tangan dan mikrosurgeri, ortopedik pediatrik, pengurusan trauma dan patah tulang, reumatologi serta perkhidmatan pengurusan kesakitan.
Pusat ini turut dilengkapi dengan teknologi robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi pembedahan penggantian sendi, sistem navigasi komputer serta teknik pembedahan invasif minimum yang membantu meningkatkan ketepatan pembedahan, memperbaiki mobiliti pesakit serta mempercepatkan pemulihan fungsi. Bagi melengkapkan perkhidmatan yang ditawarkan, pusat ini turut menyediakan program rehabilitasi khusus yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit, termasuk rehabilitasi selepas pembedahan tulang belakang, kecederaan sukan dan ortopedik pediatrik, dengan sokongan teknologi canggih seperti mesin treadmill anti-graviti.
YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJ Health System, Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn. Bhd. serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation ("JCorp"), berkata, "Aspirasi kami bagi setiap Pusat Kecemerlangan di bawah KPJ Health System, termasuk yang dilancarkan hari ini, bukan sekadar menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan sahaja. Sebaliknya, kami mahu setiap satunya terus berkembang dengan memperkukuh keupayaan klinikal, akademik dan penyelidikannya sehingga akhirnya diangkat menjadi sebuah Institut yang menjadi rujukan dalam bidang kepakaran, menerajui penerbitan penyelidikan berimpak tinggi, melahirkan pemimpin dalam bidang klinikal dan akademik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selain menjadi rakan strategik pilihan kepada industri, institusi akademik dan kerajaan. Inilah makna sebenar sebuah institusi yang bertaraf dunia."
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi ini merupakan kesinambungan kepada pembangunan rangkaian Pusat Kecemerlangan KPJ Healthcare, selepas penubuhan Pusat Kecemerlangan Jantung & Paru-paru di Johor Specialist Hospital serta Pusat Kecemerlangan Neurosains & Strok di Damansara Specialist Hospital 2, selaras dengan strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang 2030 di bawah KPJHS. Melalui model hab bersepadu yang diterajui oleh KPJ Penang Specialist Hospital bersama KPJ Selangor Specialist Hospital, pusat ini membolehkan perkongsian kepakaran, penyeragaman piawaian klinikal, penyelarasan penyelidikan serta kolaborasi multidisiplin merentasi KPJHS, sekali gus memperlihatkan bagaimana perkhidmatan penjagaan khusus dapat disampaikan melalui satu sistem kesihatan akademik bersepadu. Pendekatan bersepadu ini turut menyediakan platform bagi memacu penyelarasan sistem kesihatan yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), genomik dan penjagaan berasaskan nilai, dalam membentuk masa depan penyampaian perkhidmatan kesihatan khusus.
KPJ Penang merupakan sebuah hospital tertiari berkapasiti 270 katil yang disokong oleh lebih 50 pakar residen merangkumi lebih 20 kepakaran perubatan. Penubuhan CoE Ortopedik dan Reumatologi ini terus memperkukuh peranan hospital tersebut dalam KPJHS. Melalui pusat ini, pesakit mendapat akses kepada rawatan ortopedik lanjutan yang lebih maju, dengan pendekatan rawatan yang terbukti meningkatkan hasil klinikal yang dilaporkan oleh pesakit (patient-reported outcomes) serta tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat. Melengkapkan lagi perkhidmatan sedia ada, KPJ Penang juga merupakan hospital pertama di Wilayah Utara yang menawarkan pengurusan luka lanjutan serta, dalam masa yang sama turut berkerjasama dengan KPJ Healthcare University untuk membangunkan program telepenjagaan luka jarak jauh pertama di Malaysia yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
TAMAT
Mengenai KPJ Healthcare Berhad
KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di seluruh Malaysia dan tiga Ambulatory Care Centre, yang menerima lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun dengan sokongan 1,491 perunding perubatan. Sembilan belas hospital diiktiraf oleh MSQH dan empat oleh JCI. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang membangunkan Academic Health System, KPJHS mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi bagi memacu kecemerlangan klinikal dan meningkatkan pengalaman pesakit. Selain rangkaian hospitalnya, KPJ Healthcare turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), pusat dialisis dan klinik bergerak di seluruh negara, serta menawarkan lebih 40 program akademik melalui KPJ Healthcare University (KPJU). KPJ Healthcare juga merupakan konstituen Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good sejak 2016.
SOURCE KPJ Healthcare Berhad
Share this article