Penyelidikan baharu yang menjejaki setengah juta graduan antarabangsa menunjukkan sumbangan mereka kepada ekonomi dan masyarakat, serta peranan mereka dalam menangani kekurangan kemahiran kritikal.
CAMBRIDGE, England, 14 November 2026 /PRNewswire/ -- Pelajar antarabangsa di seluruh dunia yang menamatkan pengajian pada 2024 dijangka menjana sumbangan luar biasa sebanyak US$1.7 trilion kepada ekonomi negara tuan rumah sepanjang hayat bekerja mereka, menurut satu kajian global berskala besar. Sebanyak 60% daripada nilai ini disumbangkan kepada empat destinasi utama pengajian, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.
Sehingga kini, kebanyakan penyelidikan dalam bidang ini mengukur nilai pelajar antarabangsa berdasarkan wang yang mereka jana semasa tempoh pengajian. Laporan baharu bertajuk Talent Beyond Borders, yang dibangunkan oleh Studyportals dan Cambridge IELTS, merupakan laporan pertama yang meneliti perkara yang berlaku kepada pelajar antarabangsa selepas mereka meninggalkan universiti dan ke lokasi mereka membina kerjaya seterusnya.
Sumbangan ekonomi pelajar antarabangsa secara tradisinya dinilai terutamanya berdasarkan yuran pengajian dan perbelanjaan tempatan sepanjang tempoh mereka belajar. Anggaran global yang diterbitkan pada 2019 meletakkan kesan ekonomi pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara semasa tempoh pengajian mereka pada kira-kira US$300 bilion, berdasarkan data 2016.
Analisis baharu ini memperluas perspektif tersebut dengan mengambil kira sumbangan ekonomi graduan antarabangsa sepanjang hayat bekerja mereka. Kohort graduan 2024 sahaja dianggarkan menyumbang US$1.7 trilion menerusi kerjaya mereka di negara tempat mereka belajar.
Apabila digabungkan dengan anggaran terdahulu mengenai kesan ekonomi yang dijana semasa tempoh pengajian, angka ini menunjukkan jumlah sumbangan ekonomi yang dikaitkan dengan pelajar dan graduan antarabangsa sekitar US$2 trilion, sekali gus menggambarkan nilai ekonomi pendidikan antarabangsa yang jauh lebih besar apabila kesan jangka panjangnya turut diambil kira.
Bagaimanapun, pakar yang menghasilkan laporan itu berkata nilai ekonomi hanyalah sebahagian daripada sumbangan mereka kepada masyarakat. Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa impak graduan antarabangsa melangkaui keluaran ekonomi semata-mata. Graduan ini membantu memacu inovasi, keusahawanan, rangkaian antarabangsa, kuasa lunak, persefahaman antara budaya dan daya saing jangka panjang; mereka merupakan pengasas, pemimpin, mentor, pelabur serta penghubung antara negara dan budaya.
Edwin van Rest, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Studyportals, berkata:
"Banyak syarikat, universiti, makmal penyelidikan dan kerajaan paling berjaya di dunia diterajui oleh bekas pelajar antarabangsa. Inilah kali pertama sumbangan tenaga kerja mereka diukur secara kuantitatif. Nilai pelajar antarabangsa sebagai sumber bakat jauh lebih besar daripada yuran pengajian dan perbelanjaan tempatan mereka. Selain itu, mereka membawa impak sosial dan kuasa lunak yang jauh lebih luas, yang tidak dapat dicatatkan dalam mana-mana hamparan elektronik. Kami berharap dapatan ini membantu pembuat dasar dan masyarakat dunia agar tidak hanya melihat pendidikan antarabangsa sebagai eksport, sebaliknya mempertimbangkan sumbangan mereka dengan lebih menyeluruh. Ketika demografi global berubah, impak bakat tersebut akan menjadi semakin penting."
Francesca Woodward, Pengarah Urusan Global, Bahasa Inggeris di Cambridge University Press & Assessment, berkata:
"Pelajar antarabangsa membawa nilai yang besar kepada negara di seluruh dunia. Talent Beyond Borders mengetengahkan hakikat ini dengan jelas. Laporan baharu kami menganggarkan sumbangan ekonomi pelajar antarabangsa kepada ekonomi negara tuan rumah sepanjang hayat mereka sebanyak US$1.7 trilion, suatu angka yang amat mengagumkan. Namun, impak kewangan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan gambaran apabila kita mempertimbangkan kesan sosial dan budaya yang dibawa oleh pelajar kepada negara tempat mereka belajar, bekerja dan menetap.
"Pelajar antarabangsa memperkaya komuniti, mengisi jurang kemahiran penting, meningkatkan kepelbagaian dan membantu membina hubungan yang lebih kukuh antara individu dan negara. Laporan ini juga memberikan gambaran menarik tentang laluan yang diambil pelajar selepas tamat pengajian serta menyerlahkan impak positif berterusan mereka terhadap komuniti di seluruh dunia."
Destinasi graduan antarabangsa selepas university
Laporan tersebut mengelaskan laluan graduan antarabangsa kepada tiga kumpulan:
- "Stayers" (41% daripada graduan di seluruh dunia) kekal di negara tempat mereka belajar dan menyertai tenaga kerja tempatan, sekali gus membantu mengisi jurang kemahiran dan mengukuhkan ekonomi.
- "Homecomers" (35% daripada graduan) pulang ke negara asal dengan membawa kemahiran, rangkaian dan perspektif yang diperoleh di luar negara.
- "Nomads" (24% daripada graduan) berpindah ke negara ketiga, dengan memanfaatkan pendidikan antarabangsa mereka sebagai batu loncatan ke pasaran pekerjaan serantau atau global.
Setiap laluan menghasilkan nilai dengan cara yang berbeza: sesetengah graduan mengisi kekurangan kemahiran di negara tempat mereka belajar; yang lain membawa pulang kemahiran dan rangkaian antarabangsa, manakala sebahagian lagi menghubungkan negara menerusi kerjaya yang merentasi sempadan.
Laporan menganggarkan sumbangan ekonomi sebanyak US$1.7 trilion
Laporan itu menganggarkan bahawa daripada 7.3 juta pelajar antarabangsa di seluruh dunia pada 2023, kira-kira 2.67 juta menamatkan pengajian pada 2024. Penyelidikan tersebut mendapati bahawa 41% kekal di destinasi pengajian mereka selepas tamat pengajian, bermakna kira-kira 1.1 juta graduan antarabangsa menyertai pasaran tenaga kerja negara tuan rumah setiap tahun. Satu kohort tahunan graduan yang kekal di negara pengajian ini menjana kira-kira US$110 bilion dalam keluaran ekonomi pada tahun pertama mereka bekerja dan US$1.7 trilion sepanjang hayat bekerja mereka, berdasarkan corak pengekalan mereka.
Laporan tersebut mendapati nilai ini tertumpu di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada. Walaupun empat negara utama "Big Four" ini hanya menempatkan 35% daripada pelajar antarabangsa dunia, negara-negara tersebut menyumbang hampir 60% daripada jumlah keluaran ekonomi pada tahun pertama. Secara keseluruhan, empat destinasi ini menjana anggaran nilai sepanjang hayat sebanyak US$1 trilion daripada pelajar antarabangsa yang menamatkan pengajian pada 2024. Sebagai perbandingan, jumlah itu bersamaan dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Switzerland pada 2025.
Bagi menghasilkan anggaran global yang mewakili keadaan sebenar, analisis ini memfokuskan 15 destinasi utama pengajian antarabangsa yang mempunyai data terbaik dan secara kolektif menempatkan kira-kira 60% daripada pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara di seluruh dunia.
Laporan ini turut membandingkan sumbangan ekonomi sepanjang hayat bagi graduan yang menamatkan pengajian pada 2024 dan memasuki pasaran kerja pada 2025 di negara-negara tersebut. Ia juga menunjukkan peratusan graduan antarabangsa yang kekal bekerja di negara tuan rumah. Kadar kekal tersebut berdasarkan set data global Studyportals yang merangkumi lebih setengah juta graduan antarabangsa.
Graduan antarabangsa membantu mengisi jurang kemahiran kritikal
Talent Beyond Borders turut meneliti bagaimana graduan antarabangsa yang kekal bekerja di negara pengajian memainkan peranan penting dalam sektor yang mengalami kekurangan tenaga mahir, khususnya Perubatan dan Kesihatan, Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan kekurangan tenaga mahir ini, kumpulan yang kekal di negara pengajian merupakan kategori terbesar, merangkumi 48% graduan Perubatan dan Kesihatan, 59% graduan Kejuruteraan dan Teknologi serta 56% graduan Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.
SOURCE Cambridge University Press & Assessment


Share this article