Kemajuan teknologi di sebalik Platform ESS Pembentukan Grid Rentetan Pintar generasi akan datang Huawei
Platform ESS Pembentukan Grid Rentetan Pintar baharu Huawei FusionSolar, LUTERRA, terhasil daripada kemajuan teknologi yang direka untuk memacu kejayaan pelanggan.
MUNICH, 16 Julai 2026 /PRNewswire/ -- Huawei melancarkan LUTERRA di Intersolar Europe, Jerman bulan lalu. Dalam artikel ini, Steve Zheng, Presiden Smart ESS Business, Huawei Digital Power, menjelaskan bagaimana Huawei berjaya mencapai kecekapan bertaraf industri dalam penyelesaian storan bateri yang mudah dipasang yang dapat menyampaikan aplikasi pembentukan grid (GFM) pada peringkat loji.
Teknologi pembentukan grid Huawei telahpun terbukti dalam operasi di lapangan, termasuk di mikrogrid tenaga boleh baharu 100% terbesar di dunia di destinasi pusat peranginan The Red Sea, Arab Saudi. Projek The Red Sea itu telah beroperasi secara stabil selama lebih dua tahun, sekali gus membuktikan bahawa penyelarasan berbilang tapak bagi sumber tenaga GFM sememangnya boleh dijayakan pada skala gigawatt-jam.
Walaupun tidak banyak projek akan berkapasiti sebesar 400MW PV solar dan sistem storan tenaga bateri (BESS) 1.3GWh di Arab Saudi, teknologi Huawei dapat memberikan peningkatan hasil, daya pemprosesan yang lebih tinggi dan integrasi lancar dengan solar untuk semua pelanggan.
Ciri-ciri seperti kecekapan pusingan lengkap (RTE) peneraju industri, kawalan tahap cas (SOC) berketepatan tinggi dan pengoptimuman sel-ke-pek dicapai dalam pelbagai disiplin, menurut Zheng, "termasuk elektrokimia, kejuruteraan elektrik, elektronik, termodinamik, teknologi kawalan dan teknologi ramalan."
"Kawalan menyeluruh Huawei terhadap keseluruhan penyelesaian mencapai kecekapan 93.1% pada bahagian voltan rendah PCS pada suhu ambien 25°C, dengan ketepatan SOC mencecah 2.5% pada kedua-dua hujung dan 3% pada bahagian mendatar," kata Zheng.
Reka bentuk bersepadu itu merangkumi pengurusan haba sel ke pek yang menyeluruh, sistem penyejukan cecair dan seni bina pensuisan silikon karbida (SiC) voltan tinggi. Persediaan itu menawarkan kelebihan prestasi yang unik bagi aplikasi storan tenaga tempoh panjang (LDES) berbanding produk lain di pasaran.
"Kami mengekalkan seni bina rentetan serta mengguna pakai pengoptimum bagi setiap pek dan juga pengawal bagi setiap rak. Kaedah pengurusan yang diperhalusi dan berkesan ini dapat menangani ketidakkonsistenan elektrokimia, khususnya ketidakkonsistenan sepanjang kitar hayat bateri," jelas Zheng.
"Bagi penyelesaian generasi akan datang kami, voltan AC dinaikkan kepada 1000 V AC buat pertama kali berasaskan komponen SiC. Usaha ini dapat mengurangkan kehilangan sistem dan meningkatkan kecekapan. Teknologi penyejukan teragih pintar kami yang unik turut meningkatkan luas permukaan pelesapan haba. Di samping itu, RTE yang tinggi, konsistensi yang tinggi, tahap SOC yang tinggi serta ketersediaan yang tinggi meningkatkan daya pemprosesan penyelesaian sebanyak lebih 10% berbanding penyelesaian konvensional."
Walaupun teknologinya bersifat sofistikated, pemasangan dan logistik direka agar menjadi seringkas mungkin, menurut Steve Zheng. Melihat kepada contoh loji BESS 1GWh, Platform ESS Pembentukan Grid Rentetan Pintar LUTERRA mengurangkan tempoh penghantaran sekurang-kurangnya 30%, kos baki loji (BOP) sekurang-kurangnya 20%, serta jejak ruang sebanyak 1 meter persegi bagi setiap megawatt-jam yang dipasang berbanding penyelesaian konvensional.
Menurut Zheng, hasil ini dicapai menerusi Seni Bina palang bas-tembus yang dipatenkan Huawei, yang membolehkan pemasangan fleksibel, pengembangan kapasiti serta kadar-C adaptif untuk pengecasan dan nyahcas sepanjang kitar hayat projek.
Pembentukan grid untuk grid elektrik berteraskan penyongsang stabil
Sebagaimana yang mungkin disedari oleh pembaca setia Energy-Storage.news, teknologi pembentukan grid dan aplikasinya yang berkaitan memainkan peranan yang semakin penting dalam meningkatkan kestabilan grid elektrik di seluruh dunia.
Secara tradisinya, frekuensi dan voltan grid ditetapkan sebagai hasil sampingan jisim berputar pada turbin penjanaan haba. Memandangkan aset yang sebahagian besarnya berasaskan bahan api fosil ini digantikan atau diatasi oleh sumber tenaga boleh baharu berubah-ubah (VRE), cabaran baharu timbul bagi mengekalkan kestabilan sistem.
Mujurlah penyongsang yang dilengkapi keupayaan GFM mampu menyediakan inersia yang sama, nisbah litar pintas (SCR) dan fungsi penting lain seperti keupayaan pemulihan bekalan kuasa tanpa kuasa luar (black start). GFM amat sesuai untuk BESS dan negara serta wilayah termasuk UK, Australia dan China sedang giat menggunakan sumber pembentukan grid.
Di Eropah, empat pengendali sistem penghantaran (TSO) Jerman melancarkan pasaran perkhidmatan inersia jangka panjang awal tahun ini yang membolehkan aset BESS GFM layak beroperasi, manakala persatuan TSO Eropah merentasi 36 negara, ENTSO-E, telah merangka garis panduan teknikal untuk keperluan pembentukan grid.
"Teknologi pembentukan grid menjadi kunci untuk mengekalkan kestabilan grid kuasa yang mengintegrasikan perkadaran tenaga boleh baharu yang tinggi. Teknologi ini berkembang daripada peralatan individu kepada tatasusunan dan seterusnya loji kuasa," kata Steve Zheng.
Huawei mentakrifkan enam keupayaan pembentukan grid: inersia, tahap litar pintas, pengawalaturan frekuensi utama, redaman ayunan kuasa, keupayaan pemulihan bekalan kuasa tanpa kuasa luar, serta penukaran antara mod bersambung dan terasing daripada grid dalam mod penjana segerak maya (VSG).
"Kami percaya bahawa kemajuan teknologi pembentukan grid pada peringkat loji merupakan aspek yang amat penting," kata Zheng.
Dengan melihat kepada contoh loji BESS 100MW, ribuan peranti elektronik kuasa digunakan yang perlu beroperasi dalam mod GFM.
"Cabaran teknikalnya ialah memastikan peranti ini dapat berfungsi bersama untuk menstabilkan grid kuasa melalui kolaborasi antara perkakasan dan perisian," kata Zheng sambil merujuk kepada projek The Red Sea sebagai contohnya.
Teknologi Huawei turut digunakan dalam projek pembentukan grid berskala besar di negara-negara lain termasuk Jerman, Bulgaria, Filipina dan China.
Strategi pelan hala tuju produk Huawei memberi tumpuan kepada pengoptimuman tatasusunan dan peringkat sistem
Syarikat membangunkan penyelesaian storan tenaga GFM terbesar dalam industri yang dioptimumkan untuk BOP pada peringkat sistem. Strategi di sebalik pelan hala tuju produk itu bukan sekadar untuk memberi tumpuan kepada ketumpatan kuasa dan tenaga bagi satu kontena BESS, tetapi juga kepada ketumpatan kuasa dan tenaga bagi keseluruhan tatasusunan atau loji kuasa.
"Hanya apabila penyelesaian tatasusunan berada pada tahap optimum, maka keseluruhan loji akan menjadi optimum. Satu kontena bukanlah sistem storan tenaga sebenar; sel sahaja tidak dapat membentuk sebuah sistem storan tenaga," kata Zheng.
"Justeru itu, kami menganggap setiap tatasusunan sebagai unit asas dalam reka bentuk dan perancangan penyelesaian kami, bukannya mengejar ketumpatan kuasa yang lebih tinggi bagi satu kontena semata-mata."
Reka bentuk Platform ESS Pembentukan Grid Rentetan Pintar menggunakan platform voltan tinggi 1000Vac dwiperingkat. Sistem storan pembentukan grid ini mampu menangani cabaran operasi di-hadapan-meter (FTM) yang kritikal pada loji tenaga boleh baharu utiliti dan pelaksanaan storan C&I, walaupun sistem kuasa mengenakan keperluan sokongan grid yang semakin ketat terhadap aset storan tenaga.
"Dari segi seni bina, kami percaya penyelesaian dwiperingkat menawarkan tahap keselamatan grid yang unggul berbanding penyelesaian satu peringkat konvensional," seperti yang dimaklumkan oleh Steve Zheng.
Pertama, dalam keadaan keupayaan harung voltan tinggi (HVRT), arus lonjakan akan mengalir secara berulang-alik antara grid kuasa dan PCS. Terutamanya apabila SOC bateri rendah, keadaan ini boleh menyebabkan kegagalan penebatan bateri atau mengakibatkan timbulnya isu keselamatan yang serius.
Kedua, dalam keadaan keupayaan harung voltan rendah (LVRT), kuasa aktif malar tertentu diperlukan untuk membantu grid kuasa pulih dengan cepat. Kelebihan ini tidak tersedia dalam seni bina satu peringkat."
SOURCE Huawei
Share this article