KPJ Healthcare Lancar Perkhidmatan Pemindahan Buah Pinggang Pertama Dalam Rangkaian Hospital
Hospital Pakar Tawakkal perluas akses kepada rawatan pemindahan buah pinggang melalui penjagaan pakar bersepadu
KUALA LUMPUR, Malaysia, 12 Jun 2026 /PRNewswire/ -- KPJ Healthcare Berhad ("KPJ Healthcare" atau "Kumpulan") hari ini melancarkan Perkhidmatan Pemindahan Buah Pinggang pertama dalam rangkaian hospitalnya, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperluas akses kepada rawatan pemindahan yang berkepakaran tinggi serta mencerminkan pembangunan berterusan keupayaan klinikal lanjutan di bawah KPJ Health System ("KPJHS").
Diperkenalkan di Hospital Pakar Tawakkal ("TSH"), perkhidmatan ini menawarkan pemindahan buah pinggang sebagai pilihan rawatan khusus bagi pesakit yang sesuai, khususnya mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang.
Pelancaran ini menyusuli kejayaan pelaksanaan prosedur pemindahan buah pinggang pada awal tahun ini yang melibatkan penderma hidup mempunyai pertalian keluarga, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan hospital dalam menyediakan rawatan pemindahan yang disokong oleh laluan klinikal yang tersusun serta kepakaran pakar.
Prosedur tersebut dilaksanakan oleh Pakar Perunding Urologi Dr Norman Dublin dan Profesor Dr Azad Hassan Abdul Razack bersama Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, dengan sokongan pasukan pelbagai disiplin yang merangkumi pakar bius, pakar radiologi, pakar rawatan rapi, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu.
Bagi pesakit yang sesuai dengan penyakit buah pinggang peringkat akhir, pemindahan buah pinggang diiktiraf sebagai salah satu pilihan rawatan penting yang berpotensi memberikan hasil klinikal jangka panjang yang lebih baik serta mengurangkan kebergantungan kepada dialisis berbanding terapi penggantian buah pinggang konvensional.
Perkhidmatan ini disokong oleh pendekatan penjagaan bersepadu yang merangkumi bidang nefrologi, pembedahan pemindahan, anaestesiologi, radiologi, rawatan rapi, kejururawatan, farmasi, dialisis, rehabilitasi, dietetik, perkhidmatan makmal serta penyelarasan pemindahan. Pendekatan multidisiplin ini memastikan kesinambungan penjagaan bagi penderma dan penerima sepanjang proses rawatan.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, "Pelancaran Perkhidmatan Pemindahan Buah Pinggang ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperluas akses kepada rawatan berkeperluan tinggi serta mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kompleks dalam rangkaian KPJ. Pemindahan buah pinggang memerlukan tadbir urus klinikal yang kukuh, kepakaran pakar serta pemantauan jangka panjang. Perkhidmatan ini menunjukkan bagaimana KPJ Health System menghimpunkan keupayaan tersebut untuk menyokong pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan dan penjagaan berterusan. Berpandukan aspirasi Care for Life, kami kekal komited dalam membangunkan keupayaan yang menyokong pesakit di setiap peringkat perjalanan penjagaan kesihatan mereka," katanya.
Profesor Dato' Dr Hanafiah Harunarashid, Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare berkata bagi pesakit yang sesuai dengan penyakit buah pinggang tahap akhir, pemindahan buah pinggang boleh memberikan peningkatan kualiti hidup yang ketara.
"Perkhidmatan ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pemindahan yang menyeluruh dengan sokongan pasukan pakar sepanjang keseluruhan proses penjagaan," katanya.
Dr Nurhashim Haron, Pengarah Perubatan Hospital Pakar Tawakkal, berkata pelancaran ini turut membawa kesinambungan kepada sejarah panjang hospital dalam penjagaan buah pinggang.
"Hospital Pakar Tawakkal mempunyai penglibatan yang lama dalam bidang ini, termasuk pelaksanaan prosedur pemindahan pada tahun 1980-an di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Dr Hussein Awang, pakar urologi dan pengasas bersama hospital ini, yang telah melaksanakan pemindahan buah pinggang pertama di Malaysia pada tahun 1975. Kami berbesar hati untuk meneruskan legasi ini dengan menyediakan perkhidmatan ini kepada generasi baharu pesakit," katanya.
Perkhidmatan Pemindahan Buah Pinggang ini mencerminkan evolusi berterusan KPJ Health System yang menggabungkan kepakaran klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam menyokong penjagaan kesihatan yang semakin khusus.
Seiring dengan pengukuhan model penjagaan kesihatan bersepadu, inisiatif ini turut memperluas akses kepada rawatan kompleks bagi pesakit di seluruh rangkaian hospital KPJ.
Untuk maklumat lanjut mengenai Hospital Pakar Tawakkal, layari https://kpjhealth.com.my/tawakkal
TAMAT
Mengenai KPJ Healthcare Berhad
KPJ Healthcare mengendalikan 30 hospital di seluruh Malaysia dan tiga Ambulatory Care Centre, yang menerima lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun dengan sokongan 1,491 perunding perubatan. Sembilan belas hospital diiktiraf oleh MSQH dan empat oleh JCI. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta pertama di Malaysia yang membangunkan Academic Health System, KPJHS menggabungkan amalan klinikal, pendidikan serta penyelidikan dan inovasi bagi memacu kecemerlangan klinikal dan meningkatkan pengalaman pesakit. Selain rangkaian hospitalnya, KPJ Healthcare turut mengendalikan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), pusat dialisis dan klinik bergerak di seluruh negara, serta menawarkan lebih 40 program akademik melalui KPJ Healthcare University (KPJU). KPJ Healthcare juga merupakan konstituen Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good sejak 2016.
SOURCE KPJ Healthcare Berhad
Share this article