Malaysia Perluas Strategi Diaspora, Manfaatkan Kepakaran Global Rakyat Malaysia bagi Memperkukuh Bakat Tempatan
- TalentCorp menubuhkan MyHeart Global Connect, sebuah majlis penasihat global yang menghimpunkan rakyat Malaysia terkemuka di luar negara, bagi memperkukuh agenda bakat negara.
SINGAPURA, 8 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- Malaysia memperluas pendekatannya dalam melibatkan rakyat Malaysia di luar negara dengan beralih daripada tumpuan tradisional terhadap kepulangan bakat kepada pendekatan nasional yang lebih tersusun dan berstruktur. Langkah ini bertujuan memanfaatkan kepakaran, pengalaman serta jaringan global rakyat Malaysia bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan meningkatkan daya saing negara.
Sebagai langkah kehadapan, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), menubuhkan MyHeart Global Connect, sebuah majlis penasihat global yang menghimpunkan 15 rakyat Malaysia yang berpangkalan di 10 negara, bersempena penganjuran Salam Dari Malaysia @ Singapore.
Majlis penasihat itu dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan pada 7 Ogos 2026 bersempena program Salam Dari Malaysia @ Singapore, yang turut dihadiri T.Y.T. Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura. Program tersebut menghimpunkan 250 profesional, usahawan, pemimpin industri, ahli akademik, pelajar serta wakil komuniti rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Singapura.
Ketika berucap pada majlis tersebut, YB Dato' Sri Ramanan berkata ekosistem bakat Malaysia melangkaui sempadan negara. Sehubungan itu, penglibatan rakyat Malaysia di luar negara perlu digerakkan melalui usaha nasional yang lebih tersusun dan bersturktur.
"Naratif bakat Malaysia tidak terhenti di persempadanan negara. Rakyat Malaysia di luar negara kekal sebagai sebahagian daripada ekosistem penting bakat negara. Ketika kita memperkukuh bakat tempatan, kita juga perlu mempererat hubungan dengan rakyat Malaysia di seluruh dunia supaya kepakaran, pengalaman dan jaringan global mereka dapat melengkapi pembangunan negara."
Menurut beliau, Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina tenaga kerja yang lebih kukuh, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan melalui pewujudan pekerjaan berkualiti, kerjasama industri yang lebih erat serta pelaburan dalam kemahiran masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa TalentCorp telah ditugaskan untuk bekerjasama rapat dengan KESUMA, kementerian dan agensi berkaitan, perwakilan diplomatik Malaysia, rakan industri serta komuniti diaspora bagi membentuk hala tuju seterusnya dalam penglibatan rakyat Malaysia di luar negara.
"Kita telah membina asas yang kukuh melalui Program Kepulangan Pakar dan MyHeart. Langkah seterusnya ialah memperkukuh asas tersebut melalui pendekatan nasional yang lebih terselaras, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia di luar negara terus menyumbang kepada pembangunan negara dan melengkapi usaha kita dalam memperkasakan bakat tempatan," katanya.
MyHeart Global Connect menghimpunkan rakyat Malaysia berkaliber dari seluruh dunia untuk menyumbangkan pandangan strategik, perspektif antarabangsa serta jaringan global bagi menyokong agenda bakat negara.
Majlis penasihat itu juga akan memperkukuh kerjasama antara Kerajaan, industri, akademia dan diaspora Malaysia, di samping membuka lebih banyak ruang untuk pementoran, pertukaran ilmu, perkongsian strategik serta kerjasama antarabangsa.
Inisiatif ini melengkapi usaha Kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara menerusi pelbagai agenda strategik, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta memperluas peluang untuk rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata penubuhan MyHeart Global Connect menandakan fasa baharu dalam pendekatan Malaysia untuk melibatkan bakat negara di peringkat global.
"Ramai rakyat Malaysia di luar negara telah membina kerjaya yang cemerlang, menguasai kepakaran dalam bidang masing-masing serta membentuk jaringan antarabangsa yang luas. MyHeart Global Connect menyediakan saluran yang lebih tersusun untuk membawa kepakaran tersebut ke dalam perbincangan nasional, memperkukuh kerjasama antara Kerajaan, industri dan akademia, serta melengkapi pembangunan bakat tempatan."
Beliau berkata Singapura kekal sebagai antara komuniti diaspora paling aktif dalam ekosistem TalentCorp, dengan hampir 4,000 rakyat Malaysia berdaftar melalui MyHeart. Singapura juga merekodkan jumlah permohonan tertinggi di bawah Program Kepulangan Pakar.
Program tersebut turut menampilkan sesi perkongsian khas oleh pembikin filem Malaysia, Raymond Tan, pengarah ITAM: A Sun Bear Story, iaitu dokumentari hidupan liar berdurasi panjang pertama Malaysia yang menerima tayangan pawagam di seluruh negara.
Dalam persediaannya untuk kembali ke Malaysia selepas membina kerjaya di peringkat antarabangsa, Tan berkongsi bagaimana pendedahan global, pengalaman profesional serta jaringan antarabangsa dapat membuka peluang baharu kepada ekosistem kreatif negara dan memberi inspirasi kepada generasi bakat tempatan akan datang.
Selepas pelancaran, YB Dato' Sri Ramanan turut menyertai sesi dialog terbuka bersama komuniti Malaysia di Singapura. Sesi tersebut memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai usaha memperkukuh ekosistem bakat negara serta meningkatkan penglibatan rakyat Malaysia di luar negara.
TalentCorp akan terus memperluas MyHeart Global Connect melalui kerjasama dengan KESUMA, agensi Kerajaan, perwakilan Malaysia di luar negara, industri, akademia serta komuniti diaspora.
Usaha ini bertujuan memastikan kepakaran global rakyat Malaysia terus melengkapi pembangunan bakat tempatan dan menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan serta daya saing negara dalam jangka panjang.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyHeart, layari www.myheart.my
SOURCE Talent Corporation Malaysia Berhad
Share this article