TalentCorp Lancar Kohort Terbesar WIN Wanita MyWira Bagi Memperkukuh Barisan Pemimpin Wanita Masa Depan Malaysia
KUALA LUMPUR, Malaysia, 7 Julai 2026 /PRNewswire/ -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), telah melancarkan kohort terbesar program Women-Industry Network (WIN) di bawah inisiatif Wanita MyWira, menghimpunkan seramai 500 wanita muda Malaysia bagi memperkukuh saluran kepimpinan masa depan negara dan menyokong peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.
Program bimbingan selama lima minggu ini, yang dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun lalu di IDCC Shah Alam, menghimpunkan seramai 500 peserta terpilih daripada lebih 700 permohonan, sekali gus menjadikannya kohort WIN terbesar sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2021.
Kohort ini menghimpunkan pelajar tahun akhir universiti, graduan baharu dan profesional muda daripada lebih 50 universiti, institusi TVET dan kolej vokasional di seluruh negara. Sepanjang program, mereka akan dibimbing oleh 61 orang mentor dalam kalangan pemimpin dan profesional yang berpengalaman daripada pelbagai industri, bagi memberi pendedahan kerjaya, panduan praktikal serta akses kepada jaringan profesional yang bernilai.
Sebagai platform pembangunan kerjaya jangka panjang, WIN melengkapkan peserta dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kebolehpasaran, selain memberi pendedahan kepada perspektif industri serta realiti dunia pekerjaan. Program ini turut memberi tumpuan kepada sokongan bagi wanita muda yang ingin membina kerjaya dalam bidang STEM, TVET dan sektor teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata usaha memperkasa wanita untuk maju dalam kerjaya merupakan keutamaan penting dalam memperkukuh kumpulan bakat negara dan daya saing ekonomi Malaysia untuk jangka panjang.
"Malaysia tidak akan dapat merealisasikan sepenuhnya potensi bakat negara sekiranya wanita masih berdepan halangan untuk maju dalam kerjaya dan mendapat akses kepada peluang kepimpinan. Melalui WIN, kami menghubungkan bakat muda dengan pemimpin industri berpengalaman yang dapat memberi bimbingan, dorongan dan pandangan praktikal bagi membantu lebih ramai wanita membina kerjaya yang bermakna, mampan dan berdaya saing."
"Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp komited untuk menterjemahkan keutamaan tenaga kerja negara kepada inisiatif yang praktikal dan memberi impak kepada pembangunan bakat Malaysia. WIN mencerminkan keyakinan kami bahawa apabila wanita diberi peluang, sokongan dan jaringan yang tepat, mereka akan lebih bersedia untuk memimpin, berinovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan negara," katanya.
Program ini turut menyokong aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita atau Female Labour Force Participation Rate (FLPR) kepada 60 peratus menjelang 2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Dengan memperkukuh kesiapsiagaan kerjaya dan keupayaan kepimpinan wanita, WIN menyumbang kepada pembinaan tenaga kerja yang lebih inklusif, produktif dan berdaya tahan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, WIN telah berkembang sebagai platform nasional yang menghubungkan wanita profesional yang sedang membina kerjaya dengan pemimpin industri, pengamal sumber manusia, jurulatih eksekutif dan pemimpin wanita berpengalaman. Alumni program ini terus mengiktiraf peranan WIN dalam membantu mereka membina keyakinan, memperluas jaringan profesional dan mengemudi perjalanan kerjaya dengan hala tuju yang lebih jelas.
Yang Arnieda Azaman, alumni WIN Kohort Pertama dan kini Pengarah Urusan Bayu Ignitra Sdn. Bhd., berkata WIN membantu beliau membina semula keyakinan selepas melalui tempoh rehat dari kerjaya.
"WIN menjadi titik perubahan dalam perjalanan kerjaya saya. Melalui bimbingan dan sokongan komuniti, saya dapat membina semula keyakinan, memperkukuh kemahiran komunikasi dan kembali berani untuk memimpin. Hari ini, saya memimpin syarikat sendiri dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk bangkit semula dalam kerjaya mereka."
Bagi Lye Kemin pula, alumni WIN Kohort Ke-11 dan pelajar dalam bidang STEM, pengalaman WIN membantu beliau melihat dunia profesional dengan lebih yakin.
"Kesan terbesar WIN kepada saya ialah perubahan minda daripada rasa ragu-ragu kepada keyakinan untuk memimpin. Melalui sokongan mentor dan komuniti wanita yang positif, saya lebih bersedia untuk melangkah daripada alam pengajian ke dunia profesional."
Sementara itu, Siti Rawiah Zulkipli, alumni WIN Kohort Ke-9, berkata WIN menyediakan ruang selamat untuk wanita muda belajar, bertanya dan berkembang.
"WIN mengubah cara saya melihat dunia dan diri sendiri. Program ini membantu saya memahami kepentingan nilai, komunikasi, empati dan keberanian dalam membuat keputusan, bukan sahaja untuk kerjaya tetapi juga dalam kehidupan seharian."
KESUMA turut melihat program bimbingan TalentCorp ini sebagai pelaburan jangka panjang kepada negara. Apabila lebih ramai wanita dibantu untuk membina kerjaya yang mampan, Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, tetapi turut memperkukuh produktiviti, kepelbagaian perspektif dan daya tahan ekonomi negara.
TalentCorp akan terus memperkukuh rangkaian alumni WIN, memperluas kerjasama bersama industri dan meneroka lebih banyak program susulan seperti lawatan industri, sesi jaringan wanita, pendedahan kepada sektor berpertumbuhan tinggi serta peluang kepimpinan komuniti.
Majlis konvokesyen WIN Kohort Ke-12 Wanita MyWira 2026 dijangka untuk diadakan pada 27 Julai 2026. Untuk makluman lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/win
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
SOURCE Talent Corporation Malaysia Berhad
Share this article