Merapatkan Jurang Literasi Digital Berpotensi Menjana Pertumbuhan KDNK Global Bernilai Trilion Dolar
Laporan baharu, yang dikarang oleh GSMA Intelligence dengan kerjasama Huawei, dibentangkan pada Minggu Pembelajaran Digital UNESCO
PARIS, 11 September 2026 /PRNewswire/ -- Lebih daripada satu dalam tiga (38%) penduduk masih tidak mempunyai akses dalam talian walaupun berada dalam liputan jalur lebar mudah alih – dan kekurangan kemahiran literasi digital selalunya dipersalahkan, menurut penyelidikan baharu yang diterbitkan semalam.
Laporan baharu itu, "Bridging the Divide: Enhancing Digital Literacy in the AI Era" ("Merapatkan Jurang: Meningkatkan Literasi Digital dalam Era AI"), yang dikarang oleh GSMA Intelligence dan dihasilkan dengan kerjasama Huawei, mengenal pasti jurang digital yang menjejaskan 3.1 bilion orang lantaran kekurangan kemahiran digital, kepercayaan pengguna dan literasi AI.
AI meningkatkan akses dan juga risiko
Unjuran industri sedia ada menunjukkan bahawa merapatkan jurang keupayaan boleh menambah kira-kira $3.5 trilion kepada KDNK global menjelang 2030, dengan lebih 90% daripada manfaat tersebut disalurkan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC). Liputan jalur lebar mudah alih fizikal pada masa ini mencapai 96% penduduk di seluruh dunia.
Laporan berkenaan, yang dibentangkan pada Minggu Pembelajaran Digital UNESCO itu mencadangkan bahawa kecerdasan buatan boleh bertindak sebagai jambatan dan juga penghalang bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Pembantu suara berkuasa AI serta aplikasi yang berfungsi dengan imej, audio dan video semuanya boleh membantu pengguna dengan tahap literasi rendah mengatasi keperluan untuk memasukkan teks. Pada masa sama, teknologi tersebut meningkatkan standard keselamatan dan pemikiran kritis yang diperlukan untuk mengambil bahagian secara selamat. Walau bagaimanapun, kajian itu memberi amaran bahawa pengguna kini perlu berupaya memahami privasi data dan mengenal pasti risiko seperti penipuan dan palsu tulen (deepfake).
Penyelidikan itu memetik statistik Bank Dunia yang menunjukkan bahawa literasi GenAI merupakan kategori kemahiran bernilai tertinggi, dengan premium gaji sehingga 36%, jauh mengatasi pulangan bagi kemahiran digital dan kemahiran AI tradisional.
Tanpa intervensi bersasar dalam latihan digital asas, penulis laporan memberi amaran bahawa penggunaan AI secara pesat berisiko memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada walaupun di kawasan yang mendapat liputan rangkaian penuh.
Bilik darjah bergerak membina kemahiran di kawasan terpencil
Inisiatif keterangkuman digital lazimnya menyasarkan golongan yang paling berisiko mengalami peminggiran digital, termasuk komuniti luar bandar dan terpencil, kanak-kanak dan guru di sekolah luar bandar, warga emas serta wanita dan kanak-kanak perempuan.
Laporan itu menekankan keperluan terhadap model penyampaian berteraskan komuniti, dengan memetik inisiatif Skills on Wheels Huawei sebagai contoh yang telah diuji di lapangan — khususnya bilik darjah bergerak DigiTruck berkuasa solar, yang membawa perkakasan, ketersambungan luar bandar dan latihan amali, termasuk literasi AI, ke kawasan di luar grid.
Sejak 2019, kursus latihan yang disampaikan menerusi projek Skills on Wheels telah menjangkau lebih 130,000 orang di 21 negara, dengan lebih ramai lagi mendapat manfaat secara tidak langsung. Jurulatih DigiTruck menggalakkan pelatih berkongsi kemahiran baharu mereka, yang terbukti berlaku secara praktikal. Laporan mengenai DigiTruck oleh Kementerian Maklumat, Komunikasi dan Ekonomi Digital Kenya menunjukkan bahawa 79% daripada pelatih DigiTruck yang disoal selidik telah berkongsi kemahiran digital yang baru diperoleh dengan ahli keluarga dan rakan mereka.
Penggubal dasar digesa menganggap literasi AI sebagai infrastruktur teras
Bagi merapatkan jurang penggunaan, laporan itu menggesa penggubal dasar, pengendali telekomunikasi dan vendor teknologi supaya saling bekerjasama dan memberi tumpuan kepada empat keutamaan:
- Menjadikan kesedaran AI praktikal, keselamatan dalam talian dan pengesahan maklumat sebagai kelayakan asas kebangsaan.
- Mengguna pakai antara muka suara dan perbualan berbilang bahasa dalam perkhidmatan awam bagi meminimumkan hambatan teknikal pada pihak pengguna.
- Memperluas unit pembelajaran bergerak menerusi perkongsian rentas sektor yang menggabungkan ketersambungan pengendali, teknologi vendor dan rangkaian NGO tempatan.
- Mengukur prestasi berdasarkan penyelesaian tugasan secara bebas dan daya tahan terhadap penipuan, bukannya jumlah pelatih.
"Literasi digital tidak lagi boleh ditakrifkan berdasarkan ambang statik," kata Tim Hatt, ketua penyelidikan dan perundingan di GSMA Intelligence. "Ketersambungan semata-mata tidak mencukupi — keupayaan, reka bentuk sistem dan kepercayaan perlu berkembang bersama-sama. Bagi memanfaatkan peluang bernilai beberapa trilion dolar ini, pihak berkepentingan perlu mengintegrasikan literasi AI berlapis secara langsung ke dalam kehidupan harian menerusi saluran komuniti yang dipercayai."
"Bilik darjah bergerak menunjukkan nilai yang amat besar dalam membantu golongan yang kurang mendapat perkhidmatan mengatasi halangan fizikal dan psikologi terhadap teknologi," kata Gavin Allen, Ketua Pengarang Eksekutif di Huawei. "Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan rakan kongsi industri untuk memacu literasi digital, seterusnya memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan ketika kita beralih kepada ekonomi AI."
Program DigiTruck baharu akan dilancarkan di Perancis pada musim luruh ini yang meliputi beberapa bandar di wilayah Île-de-France dan menyasarkan komuniti berpendapatan rendah serta kurang mendapat perkhidmatan dengan latihan kemahiran digital.
Laporan penuh boleh didapati di portal penyelidikan GSMA Intelligence:
https://www.gsmaintelligence.com/research/research-file-download?reportId=83651&assetId=83691
SOURCE Huawei Technologies Co., Ltd
Share this article