Pantai Hospital Kuala Lumpur Lancarkan Sistem Radioterapi Adaptif Pacuan AI untuk Lanjutkan Penjagaan Kanser Terkhusus di Malaysia
Varian Ethos with HyperSight menyokong adaptasi rawatan harian, membantu pakar klinikal menyediakan radioterapi lebih jitu sambil mengurangkan pendedahan yang tidak perlu pada tisu sihat
KUALA LUMPUR, Malaysia, 10 Jun 2026 /PRNewswire/ -- Pantai Hospital Kuala Lumpur, sebahagian daripada rangkaian multinasional IHH Healthcare, telah melancarkan Varian Ethos with HyperSight, sistem radioterapi adaptif berpandukan imej yang membolehkan pelan rawatan kanser disesuaikan mengikut perubahan kepada anatomi pesakit sepanjang rawatan.
Pelancaran hari ini telah dirasmikan oleh YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan Pantai Hospital Kuala Lumpur mengukuhkan khidmat penjagaan onkologi dan meningkatkan capaian kepada rawatan kanser terkhusus di Malaysia.
Sebagai kelengkapan terbaharu yang ditambah di Pusat Kanser hospital, Varian Ethos with Hypersight merupakan generasi baharu teknologi radioterapi yang membolehkan pakar klinikal menyesuaikan pelan rawatan berasaskan perubahan dalam anatomi pesakit, saiz tumor dan pergerakan organ pesakit. Sepanjang rawatan kanser, badan pesakit malah kedudukan tumor juga hakikatnya boleh berubah dari hari ke hari. Varian Ethos with Hypersight direka untuk mengesan perubahan ini dalam masa nyata, membolehkan pakar klinikal memperhalusi rawatan secara berterusan supaya radiasi tetap fokus pada tumor sambil melindungi tisu sihat berhampiran.
Bagi pesakit, kelengkapan ini menyediakan rawatan yang lebih tepat, singkat dan selesa dengan pengalaman yang lebih meyakinkan, kerana pasukan penjagaan dapat menilai keadaan dengan lebih teliti sebelum rawatan diberikan.
"Pelancaran pada hari ini mencerminkan komitmen bersama kami terhadap inovasi berterusan dan khidmat penjagaan lebih prihatin. Menerusi kerjasama awam swasta ini, Pantai Hospital Kuala Lumpur telah berjaya meluaskan perkhidmatan radioterapi dan radio pembedahan percuma kepada pesakit sektor awam, memastikan rawatan serba maju boleh didapati oleh mereka yang paling memerlukan," kata YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib.
Dr Kamal Amzan, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, berkata, "Fasa seterusnya dalam penjagaan kanser tidak lagi ditakrifkan oleh teknologi semata-mata, tetapi cara kita menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk mengubah bagaimana khidmat penjagaan disediakan. Di Pantai Hospital Kuala Lumpur, langkah memperkenalkan Varian Ethos with HyperSight adalah sebahagian daripada peralihan ini. Langkah tersebut mengukuhkan keupayaan kami untuk menyokong pesakit dengan rawatan lebih jitu, sambil menunjukkan bagaimana penjagaan kesihatan swasta boleh menambah keupayaan dan menyumbang dengan cara yang lebih bermakna kepada keperluan penjagaan kanser umum yang lebih luas di Malaysia."
Sejak 2023, Pantai Hospital Kuala Lumpur telah menyokong kerjasama penjagaan kesihatan awam-swasta dengan menyediakan rawatan radioterapi dan radio pembedahan kepada pesakit yang dirujuk daripada hospital awam, membantu menambah baik capaian kepada penjagaan kanser khusus sambil meringankan beban kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Salah satu kelebihan utama radioterapi adaptif terletak pada keupayaannya untuk menyesuaikan rawatan mengikut individu dengan lebih tepat setiap hari, terutamanya bagi kanser yang terletak berhampiran dengan organ kritikal atau tempat yang beralih secara semula jadi di dalam badan.
"Rawatan kanser bukan sahaja bertujuan menyasarkan tumor, tetapi juga untuk mengekalkan kualiti kehidupan semasa dan selepas rawatan. Dengan Radioterapi Ethos Hypersight, kami dapat membuat pelarasan lebih termaklum dalam masa nyata, membantu pesakit menerima rawatan yang teramat jitu sambil mengurangkan pendedahan yang tidak diperlukan kepada tisu-tisu sihat," kata Datuk Dr Lam Kai Seng, Pakar Onkologi Klinikal dan Ketua Jabatan.
Bagi ramai pesakit dan keluarga mereka, sesi rawatan lebih cekap dan tahap gangguan lebih rendah juga membantu mengurangkan ketegangan emosi dan fizikal yang dikaitkan dengan penjagaan kanser jangka panjang.
"Pelancaran Radioterapi Ethos Hypersight membuka lembaran baharu yang sungguh menarik bagi Pusat Kanser kami. Teknologi ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kami untuk menyediakan penjagaan onkologi bertumpukan pesakit bertaraf dunia di mana kejituan, keselesaan dan keprihatinan disepadukan untuk membawa perbezaan bermakna dalam kehidupan para pesakit kami," kata Cik Chong Soon Mei, Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Kuala Lumpur.
Perkhidmatan penjagaan kanser Pantai Hospital Kuala Lumpur terus berkembang maju selama beberapa tahun ini, disokong oleh pasukan daripada pelbagai disiplin meliputi bidang onkologi, pembedahan, hematologi, patologi, radiologi, fizik perubatan, kejururawatan dan kesihatan bersekutu. Perkhidmatan ini disokong oleh barisan pembimbing pesakit, yang sedia membantu pesakit memahami langkah-langkah yang bakal diambil, menyelaraskan penjagaan mereka dan menjalankan rawatan dengan tahap keyakinan lebih tinggi.
Selain radioterapi, Pantai Hospital Kuala Lumpur terus mengukuhkan perkhidmatan onkologi menerusi kajian klinikal, penjagaan onkologi khusus kepada tapak dan pendekatan rawatan lebih baharu, termasuk terapi sel CAR-T. Dengan memperkenalkan Varian Ethos with Hypersight, Pantai Hospital Kuala Lumpur terus mengukuhkan perkhidmatan onkologinya dengan menggembleng kekuatan teknologi, kepakaran klinikal dan penjagaan berbilang disiplin untuk menyokong pesakit kanser menerusi rawatan lebih bersifat peribadi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Varian Ethos with Hypersight di Pantai Hospital Kuala Lumpur, kunjungi
https://www.pantai.com.my/kuala-lumpur/cancer/treatments/ethos-radiotherapy.
Muat turun siaran akhbar dan imej dari pautan ini
-TAMAT-
Mengenai Pantai Hospital Kuala Lumpur
Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), yang ditubuhkan pada 1974 dan merupakan sebahagian daripada rangkaian multinasional IHH Healthcare, adalah salah satu daripada pusat kesihatan terulung (+di) Malaysia bagi khidmat penjagaan terkhusus dan kompleks. Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, hospital ini mempunyai lesen untuk 500 katil dan disokong oleh lebih 200 perunding meliputi pelbagai bidang pengkhususan perubatan dan pembedahan.
Sebagai penyedia penjagaan kepakaran tinggi, PHKL menguruskan keadaan perubatan kompleks dan prosedur lanjutan menerusi penjagaan berbilang disiplin, disokong oleh teknologi perubatan moden dan kepakaran klinikal bersepadu. Hospital kami terus menggalakkan kajian klinikal, inovasi dan pendidikan perubatan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang kian berubah di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Komitmen PHKL kepada kualiti terbukti daripada akreditasinya yang diiktiraf antarabangsa, termasuk daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia. PHKL juga telah dipilih sebagai Hospital Mesra Bayi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejak 2001. Hospital ini diiktiraf dalam kalangan Hospital Terbaik Dunia Newsweek dan Hospital Swasta Utama Asia, dan telah menerima Anugerah Ihsan Pertubuhan Strok Dunia kerana menyediakan khidmat penjagaan strok berasaskan bukti yang tepat pada masanya.
Setelah berkhidmat selama lebih 50 tahun, PHKL kekal komited untuk menyediakan penjagaan bertaraf dunia sambil mengukuhkan kedudukan sebagai institusi penjagaan kesihatan yang diyakini di Malaysia dan di serata rantau.
SOURCE Pantai Hospital Kuala Lumpur
Share this article