Quantinuum dan Oracle Bekerjasama untuk Mempercepat Penerimaan Pengkomputeran Kuantum Hibrid di Oracle Cloud Infrastructure
- Komputer kuantum tercanggih Quantinuum, Helios, akan dilaksanakan di pusat data AI OCI yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk membolehkan beban kerja kuantum-AI hibrid ditawarkan sebagai perkhidmatan OCI.
- Quantinuum dan Oracle berhasrat untuk menyokong aplikasi perusahaan, makmal AI, akademik dan penyelidikan yang merangkumi penemuan ubat, sains bahan, pemodelan kewangan dan pengoptimuman berskala besar, termasuk beban kerja AI.
BROOMFIELD, Colorado dan AUSTIN, Texas, 12 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- Quantinuum (NASDAQ: QNT), sebuah syarikat pengkomputeran kuantum terkemuka, dan Oracle hari ini mengumumkan perkongsian strategik berbilang tahun untuk membawa pengkomputeran kuantum ke Oracle Cloud Infrastructure (OCI). Di bawah perkongsian ini, pelanggan OCI akan dapat mengakses secara langsung Helios milik Quantinuum, komputer kuantum komersial paling tepat di dunia,[1] melalui perkhidmatan kuantum OCI, bersama-sama dengan infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan GPU OCI.
Bersama-sama, Quantinuum dan Oracle merancang untuk meneroka cara infrastruktur kuantum-AI hibrid dapat menangani antara cabaran paling intensif dari segi pengkomputeran yang dihadapi perusahaan serta memperluas akses kepada universiti dan institusi penyelidikan yang memajukan penemuan saintifik dan pendidikan. Perkongsian ini mencerminkan visi bersama bahawa masa depan pengkomputeran perusahaan akan dibina berasaskan penumpuan AI, pengkomputeran super klasik dan pengkomputeran kuantum. Banyak masalah kompleks dalam penemuan bahan, pembangunan ubat, logistik, tenaga dan pemodelan kewangan kini telah mencapai had seni bina pengkomputeran masa kini.
"Kami percaya bahawa fasa seterusnya pengkomputeran perusahaan akan dibentuk melalui penggabungan pengkomputeran kuantum, AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi," kata Dr. Rajeeb Hazra, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Quantinuum. "Pelaksanaan Helios dalam OCI memberikan Quantinuum dan Oracle peluang untuk mewujudkan persekitaran unik yang disepadukan secara mendalam bagi beban kerja hibrid, meneroka kes penggunaan perusahaan bersama pelanggan serta mempercepat penerimaan pakai secara komersial."
Pengkomputeran kuantum menawarkan pendekatan pengkomputeran yang berbeza secara asas dengan potensi untuk menangani masalah yang tidak praktikal jika hanya menggunakan sistem tradisional. Selain itu, pengkomputeran kuantum menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah berbanding superkomputer. Satu sistem Helios dianggarkan menggunakan kuasa kurang daripada satu peratus penggunaan kuasa yang dilaporkan bagi superkomputer terkemuka,[2] sekali gus menawarkan sumber pelengkap berkuasa lebih rendah bagi beban kerja hibrid yang sesuai.
"AI telah mengubah perkara yang dapat dibayangkan oleh organisasi, dan kami percaya pengkomputeran kuantum dapat memperluas perkara yang mampu mereka selesaikan," kata Mahesh Thiagarajan, Naib Presiden Eksekutif Oracle Cloud Infrastructure. "Dengan membawa Helios milik Quantinuum ke Oracle Cloud Infrastructure, kami mahu memberikan pembangun cara yang praktikal dan selamat untuk meneroka cara pengkomputeran kuantum dapat melengkapi beban kerja AI dan HPC sedia ada mereka pada Oracle Cloud Infrastructure, di samping meningkatkan kecekapan pengkomputeran dan penggunaan tenaga."
Dengan Helios milik Quantinuum tersedia di OCI, pelanggan dijangka memperoleh akses terurus dan selamat kepada pengkomputeran kuantum yang dihoskan dalam awan tanpa perlu memperoleh, memasang atau mengendalikan perkakasan khusus atau kemudahan khusus. Helios, yang dilancarkan secara komersial pada November 2025, ialah komputer kuantum generasi ketiga Quantinuum. Sistem ion terperangkap dengan 98 qubit fizikal ini telah digunakan dalam demonstrasi yang melibatkan 48 qubit logik dan mencapai purata ketepatan get dua qubit sebanyak 99.921%, melebihi ambang "tiga angka 9" yang sering dirujuk. Helios direka bentuk untuk penyepaduan hibrid dengan persekitaran HPC klasik dan AI.
Dengan beroperasi di premis dalam infrastruktur OCI, Helios dijangka dapat disepadukan dengan lancar dengan perkhidmatan pengkomputeran, rangkaian, storan, identiti dan data OCI sedia ada di bawah tadbir urus dan kawalan akses yang sama yang telah digunakan oleh pelanggan. Oracle merancang untuk memperkenalkan pratonton perkhidmatan kuantum OCI dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus memberikan pembangun cara yang lebih lancar untuk beralih daripada simulasi kepada pelaksanaan pada perkakasan pengkomputeran kuantum sebenar. Perkhidmatan kuantum OCI yang dirancang dijangka menggabungkan tindanan pembangunan Quantinuum dengan sokongan untuk kerangka kerja pengaturcaraan hibrid sumber terbuka, sekali gus membantu pembangun membina, menguji dan memperhalusi aplikasi kuantum-klasik dengan lebih cekap.
Kemungkinan Baharu bagi Pengkomputeran Kuantum-AI Hibrid
"Pelan hala tuju kami merangkumi penerokaan pengkomputeran hibrid klasik-kuantum untuk mempercepat penemuan saintifik," kata Johannes Blaschke, Ketua Pengkomputeran Saintifik, GBI di Ellison Institute of Technology. "QPU berpotensi membuka cerapan baharu kerana perkakasan ini amat berbeza daripada perkakasan yang biasa kami gunakan. Oleh itu, ketersediaan GPU dan QPU dalam OCI akan menyediakan platform semua-dalam-satu, memudahkan pengendalian perkakasan baharu serta membantu kami bergerak dengan pantas daripada konsep kepada pelaksanaan dengan membolehkan penyelidik kami memberikan tumpuan kepada inovasi. Ini berpotensi menandakan permulaan fasa baharu yang menarik bagi kerja kami."
"Apabila pengkomputeran kuantum semakin hampir kepada penerimaan pakai oleh perusahaan, memudahkan cara organisasi mengakses dan menyepadukan sumber kuantum menjadi sama penting dengan memajukan perkakasan itu sendiri," kata Heather West, PhD, Ketua Penyelidikan Kuantum Global di IDC. "Pelaksanaan sistem kuantum dalam persekitaran awan persendirian membolehkan organisasi menyepadukan pengkomputeran kuantum ke dalam aliran kerja AI dan HPC sedia ada melalui infrastruktur awan serta alat pembangunan yang sudah biasa digunakan, sekali gus mengurangkan halangan terhadap penerimaan pakai dan menjadikan pengkomputeran hibrid kuantum-klasik sebagai sebahagian yang praktikal daripada IT perusahaan."
Maklumat Tentang Quantinuum
Quantinuum ialah syarikat pengkomputeran kuantum terkemuka yang menawarkan platform tindanan penuh yang direka bentuk untuk membolehkan pengkomputeran kuantum ditempatkan dalam persekitaran dunia sebenar. Syarikat berkenaan telah menempatkan pelbagai generasi sistem kuantum berasaskan ion terperangkap yang dibina berdasarkan seni bina QCCD terbaik, yang telah dilaksanakan dengan reka bentuk dan keupayaan baharu untuk mencapai tahap ketepatan tertinggi industri berdasarkan fideliti get dua kubit secara purata.[3] Quantinuum mempunyai keterlibatan aktif dengan pemimpin pasaran merentasi farmaseutikal, sains bahan, perkhidmatan kewangan, kerajaan dan pasaran perindustrian. Syarikat ini mempunyai tenaga kerja global kira-kira 800 pekerja, termasuk saintis dan penyelidik terkemuka. Lebih 70% pasukan teknologi syarikat ini memiliki PhD atau Ijazah Sarjana. Ibu pejabat Quantinuum terletak di Broomfield, Colorado, dengan kemudahan tambahan merentasi Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Jepun, Qatar dan Singapura. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.quantinuum.com.
Maklumat tentang Oracle
Oracle menawarkan suite aplikasi bersepadu serta infrastruktur autonomi yang selamat di Oracle Cloud. Untuk maklumat lanjut tentang Oracle, sila lawati kami di www.oracle.com.
Tanda Dagangan
Oracle, Java, MySQL dan NetSuite ialah tanda dagangan berdaftar Oracle Corporation. NetSuite ialah syarikat awan pertama—membuka era baharu pengkomputeran awan.
Pernyataan Peringatan Berkenaan Pernyataan Pandang Ke Hadapan
Siaran akhbar ini mengandungi pernyataan tertentu yang boleh dianggap sebagai "pernyataan pandang ke hadapan" dalam pengertian Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Persendirian 1995. Pernyataan pandang ke hadapan mengandungi semua pernyataan yang bukan fakta sejarah. Perkataan "duga," "andai," "percaya," "teruskan," "boleh," "anggar," "jangka," "berniat," "mungkin boleh," "rancang," "berpotensi," "ramal," "unjurkan," "masa depan," "akan," "cari," "boleh ramal," versi negatif perkataan ini, atau istilah dan frasa yang serupa bertujuan mengenal pasti pernyataan pandang ke hadapan. Pernyataan tersebut adalah berdasarkan andaian dan penilaian tertentu yang dibuat oleh pihak pengurusan kami bersandarkan pada pengalaman dan persepsi mereka mengenai trend sejarah, keadaan ekonomi dan industri semasa, perkembangan masa depan yang dijangkakan dan faktor lain yang dianggap wajar oleh mereka. Pernyataan pandang ke hadapan yang terdapat dalam siaran akhbar ini juga tertakluk kepada beberapa risiko dan ketidaktentuan yang penting, termasuk tetapi tidak terhad kepada faktor ekonomi, persaingan, kerajaan dan teknologi yang mempengaruhi operasi, pasaran, produk, perkhidmatan dan harga kami. Faktor baharu muncul dari masa ke masa dan Quantinuum tidak mungkin dapat meramalkan semua faktor tersebut. Mana-mana pernyataan pandang ke hadapan hanya disampaikan pada tarikh pernyataan itu dibuat dan, kecuali seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, Quantinuum tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula apa-apa pernyataan pandang ke hadapan, sama ada hasil daripada maklumat baharu, peristiwa akan datang atau sebaliknya.
Penafian Produk Masa Hadapan
Perkara di atas bertujuan untuk menggariskan hala tuju umum produk kami. Maklumat ini disediakan untuk tujuan penerangan sahaja dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mana-mana kontrak. Maklumat ini bukan merupakan komitmen untuk menyediakan sebarang bahan, kod atau fungsi, dan tidak seharusnya dijadikan asas dalam membuat keputusan pembelian. Pembangunan, pelancaran, masa pelaksanaan dan penetapan harga bagi sebarang ciri atau fungsi yang diterangkan untuk produk Oracle mungkin berubah dan kekal tertakluk pada budi bicara mutlak Oracle Corporation.
[1] Berdasarkan ketepatan get dua qubit setakat 31 Disember 2025.
[2] Menurut Tchakoute, R.N., et al. (2026), Energy-Aware Computing in the Year 2026, superkomputer terkemuka menggunakan tenaga antara 16 MW hingga 39 MW, manakala satu unit Helios menggunakan kira-kira 60 kW tanpa sistem HVAC.
[3] Setakat 31 Disember 2025.
Share this article