CATL dan Quinbrook Perkukuh Kerjasama Supernode Susulan Pencapaian Utama Peringkat 2 dan Peringkat 3
BRISBANE, Australia, 16 Ogos 2026 /PRNewswire/ -- Projek storan tenaga bateri Supernode milik Quinbrook telah melengkapkan operasi komersial Peringkat 2 dan memuktamadkan perjanjian kewangan bagi tujuan pembiayaan bernilai A$469 juta untuk Peringkat 3, sekali gus menyaksikan pencapaian penting yang selanjutnya dalam pembangunan berperingkat bagi kampus sistem storan tenaga bateri (BESS) terbesar yang sedang beroperasi di Australia.
Dengan kapasiti terancang dijangka melebihi 3 GWh, Supernode disokong oleh CATL sebagai pembekal sistem storan tenaga yang utama bagi ketiga-tiga peringkat dengan menyediakan penyelesaian storan termaju dan sokongan kitaran hayat bagi mengupayakan operasi jangka panjang yang andal.
Terletak di Brendale, utara Brisbane, Supernode ditempatkan bersebelahan dengan pencawang South Pine, iaitu hab utama dalam sistem tenaga Queensland dan nod rujukan serantau bagi faktor kehilangan marginal (MLF). Lokasi ini memberikan kedudukan MLF yang menguntungkan serta kira-kira 4,000MW kapasiti sambungan tersedia untuk pengembangan secara berfasa. Pembangunan projek itu dijalankan serentak dengan peralihan tenaga Queensland yang semakin pesat serta kitaran pelaburan infrastrukturnya.
Peringkat 3 projek telah mencapai pemuktamadan perjanjian kewangan bagi pembiayaan hutang sebanyak A$469 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan projek bagi Supernode Peringkat 1, 2 dan 3 mencecah kira-kira A$1.2 bilion. Dalam tiga peringkat pertama, Supernode dijangka mencapai kapasiti 780MW / 3,074MWh. Kapasiti bagi ketiga-tiga peringkat itu telah dikontrakkan menerusi pengaturan pengambilan bekalan (offtake) jangka panjang.
Nilai jangka panjang aset sedemikian bergantung pada ketersediaan berterusan, kecekapan operasi, keselamatan dan kebolehpercayaan sistem storan tenaganya. CATL telah menyediakan sistem EnerC Plus bagi Peringkat 1 dan 2 serta akan membekalkan sistem TENER S bagi Peringkat 3, sekali gus mewujudkan platform teknologi yang konsisten di seluruh kampus tersebut.
Menerusi kerjasama erat bersama Quinbrook, CATL telah menyokong pengoptimuman reka bentuk khusus projek bagi membolehkan pemasangan dengan kepadatan tinggi dalam kekangan ruang tanah perindustrian sedia ada. EnerC Plus menyokong pemasangan secara belakang-ke-belakang, sekali gus mengurangkan keluasan tapak yang diperlukan sebanyak kira-kira 20% berbanding EnerC. Sistem penyejukan cecair bersepadunya mengekalkan perbezaan suhu bekas dalaman dalam lingkungan 5°C dan direka untuk memberikan operasi yang andal sepanjang kitaran hayat selama 20 tahun.
Sumbangan CATL melibatkan lebih daripada sekadar pembekalan peralatan. Di bawah Perjanjian Perkhidmatan Jangka Panjang (LTSA), CATL akan terus menyokong keseluruhan kitaran hayat aset storan tenaga menerusi pemantauan keadaan, penjejakan prestasi, tindak balas terhadap kerosakan dan penyelenggaraan pencegahan bagi membantu memastikan operasi jangka panjang yang andal. Prestasi produk CATL yang terbukti, keupayaan penyampaian boleh diskala serta model perkhidmatan kitaran hayatnya memberikan keyakinan yang lebih tinggi terhadap kebolehpercayaan dan prestasi jangka panjang aset storan tenaga tersebut.
Tim Hornemand, Pengarah Urusan dan Ketua Serantau, Australia di Quinbrook, berkata:
"Pencapaian operasi komersial bagi Peringkat 2 bermakna kami telah berjaya menyiapkan kedua-dua peringkat yang dikontrakkan oleh Origin mengikut jadual, satu pencapaian yang amat kami banggakan memandangkan terdapat kerumitan dalam pengoperasian projek storan bateri berskala utiliti di Australia. Dengan Peringkat 3 projek yang kini dibiayai sepenuhnya, kami telah mencapai satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan berterusan Supernode. Sokongan berterusan daripada rakan kongsi perbankan kami turut mencerminkan keyakinan terhadap projek Supernode, rekod prestasi penyampaian projek kami serta prospek jangka panjang bagi storan bateri di Australia."
Tan Libin, Ketua Pegawai Komersial dan Presiden Bersama Jualan & Pemasaran CATL, berkata:
"Storan tenaga sedang berkembang daripada pelaksanaan teknologi mandiri kepada aset tenaga strategik. Peringkat pembangunan industri yang seterusnya bukan sahaja akan bergantung pada kemajuan teknologi, malah keupayaan untuk mewujudkan nilai jangka panjang menerusi kerjasama, inovasi dan pelaksanaan yang boleh diskalakan. Di CATL, kami komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi merealisasikan potensi penuh aset storan tenaga dan menyokong peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih fleksibel dan berdaya tahan."
CATL dan Quinbrook turut bekerjasama bagi EnerQB, iaitu penyelesaian storan bateri selama lapan jam yang sedang dipertimbangkan bagi peringkat pembangunan Supernode pada masa hadapan. Inisiatif itu dibangunkan berasaskan peranan CATL sebagai pembekal sistem storan tenaga bagi tiga peringkat pertama Supernode. CATL akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di seluruh dunia untuk menyediakan teknologi yang andal, penyelesaian boleh diskala serta sokongan kitaran hayat.
SOURCE CATL
Share this article